AM

INISIATIF RUMAH BAKAT MADANI LAMBANG KOMITMEN KERAJAAN - NGA

19/07/2025 06:45 PM

BUTTERWORTH, 19 Julai (Bernama) -- Inisiatif Rumah Bakat MADANI merupakan projek perumahan mampu milik terbesar di Malaysia, mencerminkan komitmen teguh serta kualiti kepimpinan Perdana Menteri untuk memberikan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata ia sekali gus merekodkan sejarah oleh Kerajaan MADANI menerusi pembinaan 37,368 unit kediaman merangkumi 6,368 unit di Seberang Jaya dan 31,000 lagi di Batu Kawan oleh SkyWorld Development Bhd (SkyWorld) selaku syarikat pelaksana.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kerajaan telah menetapkan sasaran penyediaan 500,000 unit rumah mampu milik menjelang 2025 dan sehingga 31 Mac, 492,360 buah telah disediakan, iaitu 98.5 peratus.

“Daripada jumlah itu, 179,769 unit telah siap dibina, 235,862 sedang dibina dan 76,729 sedang dirancang, sekali gus membuatkan sasaran serta komitmen Kerajaan MADANI dalam penyediaan rumah mampu milik dilihat pasti menjadi kenyataan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Projek Rumah Bakat MADANI di Jalan Todak, Seberang Jaya di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Beliau berkata Rumah Bakat MADANI menyediakan kemudahan kondominium sepenuhnya bersaiz 900 kaki persegi pada harga mampu milik bermula RM225,000 hingga RM420,000 sebuah serta berstatus pegangan kekal.

Nga berkata projek itu turut akan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, gelanggang sukan, dewan serbaguna, tadika, surau, gerai jualan, taman permainan kanak-kanak serta dua elemen unik iaitu penyediaan taman awam dan sekolah menegak.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada reformasi perumahan di bawah RMK13, KPKT dan SkyWorld telah bersetuju dengan tiga perkara utama dalam pembinaan Rumah Bakat MADANI merangkumi jaminan pembinaan selama 10 tahun bagi isu kebocoran air dan sistem perpaipan.

"Kedua, kos penyelenggaraan hanya 18 sen sekaki persegi atau RM162 sebulan untuk 10 tahun dengan kemudahan rumah kelab seperti gim, kolam renang dan gelanggang sukan dikenakan bayaran ikut penggunaan (pay per use) dan ketiga, SkyWorld menjamin kualiti pembinaan dengan skor QLASSIC 85 peratus.

“Berdasarkan konsep Malaysia MADANI yang dirangka sebagai ikhtiar strategik untuk mentadbir negara secara berkesan, saya melihat cadangan Rumah Bakat MADANI ini sebagai satu penyelesaian berdaya maju bagi membantu golongan B40 dan M40 khususnya anak muda untuk memiliki kediaman pertama mereka dengan lebih mudah dan pada harga mampu milik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan