LUMUT, 19 Julai (Bernama) -- Kempen 'Pembersihan Pukat Hantu & Pantai' di sekitar pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor dan perairan Pulau Sembilan berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya jaring terbiar terhadap hidupan laut sambil memulihara ekosistem marin.
Inisiatif itu merupakan anjuran Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dengan kerjasama Etiqa General Takaful Bhd (ETIQA) dan disokong Nature & Oceanography Advocate Society (NOAS), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) serta Perbadanan Taman Negeri Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata kempen itu dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara alam sekitar, khususnya ekosistem marin yang semakin terancam akibat pencemaran.
“Kempen ini melambangkan komitmen industri takaful terhadap kelestarian alam sekitar selari dengan Pelan Transformasi Hijrah27 di bawah Teras Strategik 8 (Kelestarian & ESG) dalam usaha menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 14: Kehidupan di Bawah Air yang menekankan kepentingan memelihara sumber marin.
“Sebagai industri berasaskan nilai, sektor takaful bukan sahaja melindungi manusia, tetapi juga alam sekitar. Kami berharap inisiatif ini memberi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk mengintegrasikan kelestarian dalam operasi mereka,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ETIQA Shahrul Azuan Mohamed, Naib Canselor USAS Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Industri USAS Prof Dr Shamsul Jamili Yeop.
Program itu melibatkan penyertaan lebih 80 sukarelawan termasuk 50 pelajar, 12 penyelam bertauliah, 11 penyelam profesional NOAS dan wakil agensi berkaitan.
Mohd Radzuan berkata MTA dengan kerjasama rakan strategik akan meneruskan program pemuliharaan berkenaan di lokasi lain sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
Beliau berkata program itu juga merupakan kesinambungan daripada Pameran Foto Echoes of the Deep yang dilancarkan di Pusat Ilmu AICB, Kuala Lumpur pada Jun lepas.
Menerusi pelaksanaan program itu, sebanyak 328 kilogram (kg) pukat hantu berjaya dikeluarkan dari dasar laut perairan Pulau Sembilan, selain lebih 125 kg sampah, sisa makanan dan minuman serta barangan terbuang dikutip sepanjang satu kilometer (km) di pantai Teluk Nipah.
Pukat hantu merujuk kepada jaring yang ditinggalkan atau hilang di laut tetapi terus memerangkap hidupan marin seperti penyu dan ikan, merosakkan batu karang dan mengakibatkan kemusnahan serius terhadap terumbu karang serta ekosistem marin.
Sementara itu, Shahrul Azuan berkata selaras dengan visi ETIQA untuk 'Menjadikan Dunia Tempat Yang Lebih Baik’ atau Making the World a Better Place, komitmen pihaknya terhadap kelestarian alam sekitar bukan sekadar kata-kata, tetapi disandarkan kepada tindakan yang bermakna.
“Kami berbangga menerajui inisiatif ini khususnya di Pulau Sembilan dan Teluk Nipah, berada di barisan hadapan dalam pemuliharaan marin dalam industri takaful.
“Laut telah sekian lama menjadi sumber rezeki komuniti kita, kini tiba masanya untuk kita melindunginya demi generasi akan datang. Malah sejak 2022, Etiqa giat memperjuangkan pemuliharaan laut menerusi tiga Projek Pemuliharaan Marin bersama pakar marin.
“Daripada pemantauan kesihatan terumbu karang, bengkel pendidikan sehingga kepada program jangkauan komuniti, kami mencetuskan gelombang perubahan di tempat paling memerlukan,” katanya.
Wan Sabri pula menyifatkan penyertaan pelajar dalam program itu sebagai peluang pembelajaran bermakna yang menggabungkan sains, pendidikan dan tanggungjawab sosial.
“Pembersihan pantai bukan sekadar mengutip sampah tetapi mendidik masyarakat khususnya golongan muda tentang kesan plastik dan pukat hantu terhadap ekosistem marin,” katanya.
-- BERNAMA