AM

JPJ CADANG PERLUAS PEMAKAIAN TALI PINGGANG KELEDAR BAS MILIK IPT, SEKOLAH BERASRAMA PENUH

20/07/2025 02:44 PM

KUANTAN, 20 Julai (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang untuk memperluas  penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar kepada semua bas milik Institusi Pengajian Tinggi dan sekolah berasrama penuh. 

Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya akan menggerakkan pasukan teknikal dan penguatkuasaan JPJ negeri bermula Ogos untuk berkolaborasi dengan institusi pengajian tinggi dan institusi pendidikan untuk memeriksa bas di institusi masing-masing.

“Boleh dikatakan semua IPT ini dan sekolah berasrama penuh mempunyai bas sendiri … kita ingin pastikan bas yang diselenggara oleh pihak IPT dan institut pendidikan ini mematuhi spesifikasi dan pemandunya juga mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen (B2) di sebuah hotel di sini hari ini. 

Pada masa sama, beliau berkata pemeriksaan akan dilakukan secara berperingkat memandangkan keupayaan tenaga kerja JPJ yang terhad.

Selain itu, beliau berkata pihaknya sedang merangka kaedah untuk menggantung atau membatalkan lesen sekiranya pemegang lesen bagi mereka yang menyertai program MyLesen B2 didapati terlibat dengan aktiviti haram seperti lumba haram atau rempit. 

“Kita tidak mahu usaha kerajaan ini menjadi sia-sia kerana program Mylesen B2 itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan. Daripada latihan sehingga ujian, calon yang mendapat lesen berkenaan tidak mengeluarkan belanja,” katanya. 

Aedy Fadly turut berharap semua yang menyertai program itu dapat mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak melakukan apa-apa aktiviti yang bertentangan undang-undang. 

“ Kita masih memperincikan (denda), mungkin kita gantung atau batalkan kesemua. Sekiranya dia nak balik lesen berkenaan dia kena mohon seperti biasa, seperti orang awam yang lain. Ini satu kerugian apabila kita bagi kepada calon yang tidak menghargai usaha kerajaan,” katanya. 

Pada majlis sama, sebanyak 940 daripada 1,000 calon yang mengikuti program Mylesen B2 berjaya menerima lesen memandu B2. 

Sementara itu, selaras dengan pengumuman Menteri Pengangkutan Antony Loke untuk menambah 10,000 kuota baharu bagi tahun ini, beliau berkata pihaknya akan mengutamakan kepada pelajar sekolah menengah, khususnya mereka yang menyertai Kadet JPJ. 

“Keutamaan diberikan kepada Kadet JPJ, terutamanya mereka yang sudah menjalani latihan sejak Tingkatan Empat. Mereka ini telah mendapat pendedahan awal tentang undang-undang dan keselamatan jalan raya dan ini menjadikan mereka calon sesuai untuk menerima bantuan lesen B2 di bawah program itu.

“Setakat ini di Pahang terdapat 25 sekolah dengan 1,000 anggota Kadet JPJ. Di seluruh negara terdapat lebih 300 sekolah yang mempunyai unit Kadet JPJ,” katanya. 

Bagaimanapun, penilaian dan saringan akhir bagi program itu akan dibuat oleh JPJ negeri. 

Pada 10 Julai lepas, Loke dilaporkan berkata pihaknya melalui JPJ akan menambah sebanyak 10,000 lagi kuota program MyLesen (B2) di seluruh negara dengan melibatkan peruntukan RM3.5 juta

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan