KOTA BHARU, 20 Julai (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 merampas kira-kira 100,000 batang rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM222,000 selepas menahan sebuah kenderaan yang mencurigakan di Kampung Bunut Sarang Burung menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada Jumaat lepas.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata rampasan dilakukan pada 6 pagi selepas suspek melarikan diri dan meninggalkan kenderaan di tepi jalan.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati 100,000 batang rokok putih berada di dalam kenderaan suspek dan dipercayai untuk dijual ke pasaran tempatan.
“Kesemua rokok berkenaan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ros Azhan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 108(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA