SEGAMAT, 20 Julai (Bernama) -- Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Segamat, di belakang sebuah taman rekreasi di sini, petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Segamat Penolong Penguasa Bomba Mohd Hazim Abd Razak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kehilangan remaja itu pada 4.08 petang.
“Pasukan bomba membuat pencarian di sepanjang sungai menggunakan bot dan mangsa ditemukan di tebing sungai kira-kira lima kilometer dari lokasi dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hazim berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi mencari dan menyelamat melibatkan 11 anggota bomba ditamatkan pada 6.40 petang.
-- BERNAMA