AM

PAHANG KOMITED PERLUAS PELUANG PEKERJAAN, TARIK LEBIH BANYAK PELABURAN

21/07/2025 10:00 PM

TEMERLOH, 21 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pahang komited memperluas peluang pekerjaan menerusi usaha berterusan menarik pelaburan ke negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata pertambahan pelaburan di negeri itu diyakini mampu membuka lebih banyak ruang pekerjaan sekali gus menawarkan peluang terbaik kepada anak-anak negeri yang kini bekerja di luar untuk kembali menabur bakti di kampung halaman.

"Kita hendak menyediakan peluang pekerjaan yang banyak supaya mereka boleh balik (bekerja) di Pahang.

"Saya difahamkan walaupun bekerja di negeri orang tetapi jika berpeluang dan ada tawaran lebih baik mereka sanggup balik ke Pahang," katanya pada sidang media selepas Karnival Asyura Peringkat Pahang 1447 Hijrah di Surau Kampung Paya Laman, Lanchang di sini.

Karnival yang dijayakan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bersama agensi lain itu diserikan dengan pertandingan memasak bubur asyura yang disertai 33 pasukan, sebagai inisiatif menyemai semangat gotong-royong dan memupuk budaya berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat.

Pada majlis sama, 46 orang jemaah haji yang lewat menerima surat tawaran tahun ini, diraikan menerusi Inisiatif Makmur Pahang dengan masing-masing menerima wang tunai RM750 setiap seorang di bawah Program Baraqah Haji Pahang.

Selain itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri konsisten melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negeri kasar (KDNK) dan menarik lebih banyak pelaburan ke Pahang, yang nilainya mencecah RM4 bilion setakat Jun tahun ini.

Mengulas mengenai pengumuman penghargaan luar biasa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar dalam masa terdekat ini, beliau mengharapkan berita baik itu dapat dinikmati seluruh rakyat termasuk di Pahang.

"Perdana Menteri sudah beritahu ia satu pengumuman yang baik, jadi kita tunggulah. Saya pun tidak tahu, tiada siapa yang tahu," katanya.

-- BERNAMA

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan