EKONOMI

EKSPORT SEL PV KE INDIA NAIK 88 PERATUS PADA 2024, IMBANGI PENURUNAN EKSPORT KE PASARAN AS

06/08/2025 10:40 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) — Malaysia mencatatkan peningkatan eksport sel fotovoltaik (PV) ke India sebanyak 88 peratus atau RM4.65 bilion pada 2024 berbanding RM2.47 bilion pada 2023, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

MITI berkata menerusi kategori teknologi hijau dalam program Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan penglibatan syarikat solar tempatan, pihaknya telah mengenal pasti negara-negara Asia Barat seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi sebagai prospek untuk pasaran eksport baharu.

Kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat berkata usaha itu bertujuan untuk mengatasi penurunan eksport sel PV ke pasaran Amerika Syarikat (AS). 

“MITI ambil maklum bahawa pasaran terbesar untuk sel PV ini ialah AS. Eksport ke AS telah mula terjejas sebelum negara itu memperkenalkan tarif timbal balik iaitu apabila ia menamatkan pengecualian cukai bagi produk solar dari Asia Tenggara pada Jun 2024.

“AS telah memberi pengecualian cukai kepada import sel PV dari negara Malaysia, Thailand dan Vietnam bermula 7 Jun, 2022 hingga 6 Jun, 2024 untuk merancakkan industri solar di AS,” katanya.

Kementerian itu berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) berhubung kedudukan terkini eksport solar panel dan negara pengimport utama produk dari Malaysia itu.

Pada masa yang sama, beliau turut bertanyakan mengenai usaha MITI dalam memastikan jumlah eksport dan pendapatan syarikat pengeluar solar tempatan tidak terjejas teruk jika AS mengenakan tarif import produk panel solar.

Berdasarkan data Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), jumlah eksport sel PV dalam bentuk modul dan panel pada 2024 bernilai RM11.2 bilion.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM5.05 bilion (45 peratus) dieksport ke AS, RM3.69 bilion (33 peratus) ke India, RM1.34 bilion (12 peratus) ke Vietnam dan baki sekitar 10 peratus ke negara-negara lain seperti Pakistan, Ukraine, Turkiye, Filipina, Korea Selatan dan Argentina.

Di samping itu, MITI juga telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama kementerian berkaitan seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air untuk memperkenalkan dasar-dasar yang menyokong industri solar tempatan.

Ia merangkumi dasar lokalisasi dengan meletakkan kuota barangan tempatan untuk projek-projek dalam negara.

— BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan