DUNIA

HARI ASEAN: RAKYAT MALAYSIA KONGSI ASPIRASI UNTUK ASIA TENGGARA YANG AMAN, MAKMUR

07/08/2025 12:24 AM

Oleh Suraidah Roslan & Ahmad Idzwan Arzmi

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Sempena sambutan Hari ASEAN pada 8 Ogos, rakyat Malaysia menyuarakan harapan mereka untuk masa depan yang lebih baik melalui Visi Komuniti ASEAN (ACV) 2045, sebuah pelan hala tuju untuk membentuk rantau yang bersatu, aman dan makmur dalam tempoh dua dekad akan datang.

Penjawat awam Ameelia Roslan, 29, berkata ASEAN melambangkan perpaduan serantau dan harus terus mempromosikan kerjasama, keterangkuman dan pertumbuhan mampan.

“Bagi saya, ASEAN mewakili semangat kebersamaan serantau. Ia mengenai bekerjasama, saling menyokong dan membina masa depan lebih baik untuk Asia Tenggara, terutama dalam memastikan pembangunan mampan yang tidak meminggirkan sesiapa,” katanya kepada Bernama sempena Hari ASEAN.

Bekas penolong pengurus di sebuah universiti swasta, Siti Zatil Iman Mohd Maarof, 39, pula berkata jika diberi peluang menyampaikan mesej kepada pemimpin ASEAN, beliau akan menyeru negara anggota agar memperkukuh kerjasama tanpa terlalu bergantung kepada kuasa luar, khususnya negara Barat.

“ASEAN sebenarnya jauh lebih kaya dan kuat daripada apa yang kita sedari. Jika rantau ini dapat memanfaatkan sepenuhnya sumbernya, tidak mustahil ASEAN boleh muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030.”

Bagi pelajar kolej swasta Nurhikmah Harshah Zulkifli, 20, para pemimpin ASEAN perlu mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai aspek agar negara anggota yang kurang membangun turut mendapat manfaat daripada kemajuan negara lain.

Beliau berharap melalui pelaksanaan Visi ASEAN 2045 yang berjaya, rantau ini akan menjadi lebih harmoni, berdaya tahan dan stabil, serta mampu menangani cabaran masa depan sambil mempromosikan keamanan, perpaduan dan pembangunan mampan dalam kalangan negara anggota.

Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Muhammad Ridzuan Zakaria, 24, pula percaya Malaysia memainkan peranan penting dalam mempromosikan keamanan serantau dan dilihat sebagai contoh yang dihormati, terutama dalam kalangan negara Islam.

“Usaha Malaysia memudahkan penyelesaian pertikaian antara Thailand dan Kemboja mencerminkan pengaruhnya yang semakin meningkat melebihi pembangunan ekonomi semata-mata, menunjukkan kepimpinannya sebagai tuan rumah dan pengantara, serta kemunculannya sebagai contoh kepada negara Islam lain,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Siti Darwinda Mohamed Pero berkata Malaysia memainkan peranan proaktif sebagai Pengerusi ASEAN dengan memperkasakan belia, mendorong inovasi digital dan mempromosikan pembangunan inklusif.

“Bagi merealisasikan ACV 2045, Malaysia telah menyumbang kepada pengukuhan pendidikan serantau, latihan tenaga kerja dan mobiliti pelajar, di samping memberi tumpuan kepada kesalinghubungan fizikal dan digital melalui pelaksanaan Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN.

“Pada masa sama, kita turut mengarusperdanakan nilai tadbir urus yang baik dan hak asasi manusia dalam kerangka dasar ASEAN,” katanya.

Malaysia, katanya, juga secara konsisten menggalakkan penyertaan aktif golongan belia menerusi pelbagai inisiatif seperti ASEAN Youth Fellowship dan Program Mobiliti Belia ASEAN-Malaysia, di samping platform digital yang menggalakkan penglibatan orang ramai dalam proses penggubalan dasar ASEAN.

Siti Darwinda menekankan bahawa penyertaan belia amat penting kerana mereka mewakili kuasa strategik dalam membentuk masa depan ASEAN, merangkumi 34 peratus penduduk rantau ini atau kira-kira 230 juta individu.

Memuji pencapaian utama Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, beliau berkata antara pencapaian itu ialah pemerkasaan integrasi merentasi tiga tonggak Komuniti ASEAN, iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya, dengan Malaysia berjaya memperkukuh penyelarasan menerusi agenda pemerkasaan digital dan pembangunan kapasiti, meliputi infrastruktur serta sumber manusia.

Beliau turut memuji peranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memudahkan penyelesaian pertikaian antara Thailand dan Kemboja, yang menurutnya mencerminkan kepimpinan dan tanggungjawab Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN apabila bertindak sebagai pengantara dalam krisis antara dua negara ASEAN itu.

Bagi Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kampus Seremban, Shahidah Abdul Razak, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN terus memperjuangkan kemasukan China ke dalam Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), sekali gus mengukuhkan komitmen ASEAN terhadap keamanan dan kestabilan serantau.

Mengenai ekonomi digital, beliau berkata Malaysia mengetuai pelaksanaan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), perjanjian pertama seumpamanya di ASEAN untuk menyelaraskan ekosistem digital rantau ini dan menggalakkan perdagangan serta rantaian bekalan digital rentas sempadan yang inklusif.

Shahidah turut mengetengahkan bahawa antara pencapaian Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN ialah pengukuhan hubungan diplomatik serantau melalui pendekatan inklusif dan memastikan kelestarian ASEAN sebagai blok negara Selatan Global yang memainkan peranan penting sebagai penstabil dalam kalangan kuasa besar di rantau Asia Tenggara.

Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian MADANI di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Zainal Abidin Sanusi pula berkata ASEAN perlu mengamalkan diplomasi kelestarian global sebagai pendekatan strategik untuk mengurus tekanan kuasa besar dunia dan memelihara perpaduan serantau.

“Kekuatan ASEAN terletak pada amalan diplomasi saluran belakang. Kebiasaannya, ketegangan antara Thailand dan Kemboja boleh mengambil masa lama untuk diselesaikan melalui saluran rasmi, tetapi hubungan diplomatik neutral dan rangkaian yang dipercayai bersama Malaysia telah membolehkan penyusutan konflik tanpa menjejaskan perpaduan blok ini,” katanya.

Zainal Abidin berkata sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia berpotensi mempercepat pelaksanaan agenda MADANI, strategi pelbagai penjajaran dan reformasi institusi yang mampu membentuk semula hala tuju ASEAN.

“Menerusi pendekatan MADANI, ASEAN sedang memperkukuh strategi pelbagai penjajaran melalui sekretariat yang mantap, mengukuhkan Perjanjian Digital dan Hijau ASEAN, serta menyusun semula diplomasi saluran belakang untuk membentuk norma baharu sebagai antara kuasa utama rantau ini,” katanya.

Tambah beliau untuk merealisasikan ASEAN sebagai pusat pertumbuhan Indo-Pasifik, blok ini boleh menjadi model negara kuasa pertengahan menjelang 2030, tetapi hanya jika ia memperkukuh perpaduan, membangunkan hab kewangan serantau dan bertindak segera dalam krisis tanpa perlu konsensus sepenuhnya, berpandukan Indeks Ketahanan ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan