KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 2.1 juta pengunjung memeriahkan Festival FGV 2025 anjuran FGV Holdings Berhad (FGV) bersempena Hari Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) 2025 pada Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) yang berlangsung dari 30 Julai sehingga 3 Ogos lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Fakhrunniam Othman berkata festival anjuran bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta FELDA itu adalah manifestasi komitmen FGV dalam memperkasa komuniti luar bandar dan memacu transformasi industri sawit negara ke persada dunia.
“Festival FGV 2025 memberi ruang untuk kami menyantuni mereka, mendengar secara langsung dan membina kepercayaan yang lebih kukuh.
“Hari ini, lebih 70 peratus buah tandan sawit (BTS) FGV datang daripada peneroka FELDA dan pekebun kecil. Hubungan ini tidak hanya melangkaui angka semata-mata, tetapi amanah besar yang terus menjadi nadi dalam setiap langkah transformasi kami. FGV kekal komited untuk bersama membina masa depan negara yang inklusif dan lestari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara sorotan utama festival itu termasuk pelancaran lima produk baharu SAJI, pengenalan teknologi mekanisasi sektor perladangan, kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Kelantan bagi pembangunan makanan tambahan dan Ditrolic Energy untuk pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 5 megawatt di 11 operasi FGV serta permainan mudah alih pertama, FGV EduGames.
Fakhrunniam berkata sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap festival itu memberi isyarat jelas bahawa masa depan FELDA dan FGV menjadi agenda penting dalam pembangunan negara.
“Transformasi FGV yang sedang dilaksanakan adalah langkah strategik yang memperkukuhkan komitmen mereka kepada para peneroka, pemegang saham, rakan niaga serta ekosistem perniagaan.
“Malah, FGV akan terus komited terhadap amalan perniagaan yang bertanggungjawab, berintegriti dan berpaksikan nilai-nilai teras yang kami pegang iaitu Kerjasama, Hormat, Integriti, Dinamisme dan Semangat (PRIDE),” katanya.
Beliau berkata jenama pengguna FGV seperti SAJI, SERI PELANGI dan GULA PRAI telah membina reputasi kukuh dalam kalangan pengguna tempatan menerusi kualiti, nilai dan kebolehpercayaannya.
“Penggunaan produk itu dalam pertandingan memasak membuktikan keupayaannya dalam pelbagai jenis masakan. Sebagai syarikat pengeluar makanan, kami terus mengukuhkan kedudukan sebagai ‘teman kulinari’ pengguna dengan menyediakan produk yang kompetitif, halal dan diyakini melalui pelbagai platform seperti Kedai FGV,” katanya.
Dalam pada itu, festival berkenaan turut diserikan dengan demonstrasi masakan oleh selebriti kulinari dan pelbagai segmen menarik seperti Sembang Kuali, Lesung Batu Showdown, Canai Toss Off dan Piala Tarik serta persembahan istimewa daripada artis tanah air.
Untuk maklumat lanjut mengenai Festival FGV, layari www.fgvholdings.com atau ikuti platform media sosial rasmi FGV seperti Facebook, Instagram, TikTok, LinkedIn dan YouTube.
-- BERNAMA