PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan rayuan guru tadika M. Indira Gandhi dalam saman beliau terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga yang lain kerana gagal mengesan bekas suaminya yang melarikan anak perempuan bongsunya selepas memeluk Islam.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 25 Ogos ini untuk pengurusan kes, memandangkan mahkamah memerlukan masa meneliti hujahan kedua-dua pihak.
Dua lagi hakim ialah Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid.
Indira diwakili peguam Rajesh Nagarajan, manakala KPN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia diwakili Peguam Kanan Persekutuan Nur Ezdiani Roleb.
Indira merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak saman beliau bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa KPN ketika itu, Tan Sri Abdul Hamid Bador, cuai dalam jawatan awam kerana gagal melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Ipoh.
Beliau turut menuntut pengisytiharan bahawa tiga responden lain bertanggungjawab secara vikarius terhadap tort cuai itu, selain ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta faedah.
Prasana Diksa dibawa lari Muhammad Riduan ketika berusia 11 bulan pada 2009, tidak lama selepas , beliau memeluk Islam. Remaja itu kini berusia 17 tahun.
Dalam prosiding saman itu, Rajesh berkata Muhammad Riduan masih belum mematuhi perintah mandamus oleh Mahkamah Tinggi pada 2016 untuk mengembalikan Prasana Diksa kepada Indira yang mempunyai hak penjagaan ke atas kanak-kanak itu.
Beliau mendakwa pihak polis gagal menunaikan tanggungjawab mengesan bekas suami wanita itu walaupun bekas KPN tahu keberadaan lelaki itu tetapi tidak melaksanakan perintah komital mahkamah untuk menangkapnya.
Rajesh berkata pihaknya dimaklumkan Muhammad Riduan, yang sebelum ini dikenali sebagai K. Pathmanathan, memiliki beberapa saman tertunggak atas pelbagai kesalahan trafik dan dipercayai membayar saman terbabit pada 2020.
Bagaimanapun, Nur Ezdiani berhujah bahawa Indira gagal membuktikan semua responden cuai atau mengabaikan tindakan sewajarnya untuk mengesan dan menahan Muhammad Riduan.
Katanya PDRM menjalankan pelbagai usaha untuk mengesan lelaki itu termasuk menggunakan sumber siasatan daripada Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) ketika itu.
Berhubung dakwaan saman trafik, Nur Ezdiani berkata Indira tidak pernah memfailkan permohonan penemuan dokumen untuk mengesahkan perkara itu.
Pada Mei 2014, Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh mengeluarkan perintah komital supaya Muhammad Riduan ditahan kerana menghina mahkamah berhubung kegagalan menyerahkan Prasana serta perintah pemulihan untuk polis mencari kanak-kanak itu.
Pada September 2014, Indira memperoleh perintah mandamus di Mahkamah Tinggi yang mengarahkan KPN menguatkuasakan kedua-dua perintah tersebut.
Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan perintah mandamus itu, namun Mahkamah Persekutuan pada April 2016 memulihkan semula perintah tersebut bagi penangkapan Muhammad Riduan.
-- BERNAMA