KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada skuad regu sepak takraw negara atas kejayaan menjuarai Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, di sini malam tadi.
Dalam hantaran menerusi Facebook hari ini, beliau berkata kejayaan itu bukan sahaja membanggakan arena sukan tanah air, malah membuktikan semangat juang, disiplin dan kesatuan yang tinggi mampu mengangkat Malaysia ke persada dunia.
“Kemenangan ini adalah hadiah bermakna buat seluruh rakyat Malaysia serta bukti bahawa anak watan memiliki keupayaan, ketahanan dan semangat luar biasa apabila membawa cabaran negara.
“Syabas wira negara, teruskan melakar kecemerlangan demi Malaysia tercinta!,” kata beliau.
Malaysia muncul juara acara regu berpasukan selepas Thailand menarik diri ketika aksi final yang berlangsung penuh kontroversi.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad negara menamatkan dominasi Thailand yang muncul juara dalam tiga edisi terdahulu kejohanan berprestij berkenaan.
-- BERNAMA
