SIBU, 24 Mei (Bernama) -- Sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI di Batu Luking, Kanowit dekat sini, melibatkan usaha menaik taraf sistem bekalan air bersih bagi kemudahan penduduk tiga rumah panjang dan sebuah sekolah rendah di kawasan itu.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata projek pembinaan tangki air bersih itu penting bagi memastikan penduduk mendapat akses kepada bekalan air mencukupi, stabil dan selamat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kanowit berkata projek berkenaan melibatkan Rumah Bibi, Rumah Johnny, Rumah Morris dan SK Batu Luking yang menjadi tumpuan utama pelaksanaan inisiatif pembangunan di kawasan itu.
“Inisiatif Program Kampung Angkat MADANI merupakan usaha bersepadu untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar melalui penambahbaikan infrastruktur asas seperti bekalan air bersih, elektrik, jaringan jalan raya, peningkatan capaian digital, pemerkasaan komuniti serta pengukuhan sosioekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Projek Kampung Angkat MADANI Batu Luking di Rumah Bibi King, hari ini.
Aaron berharap projek itu dapat dilaksanakan menjelang akhir tahun ini serta menegaskan program berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap intervensi pembangunan memberi impak langsung terhadap kesejahteraan rakyat, sekali gus memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus pembangunan negara.
Menurutnya, program itu juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan, mengurangkan ketidaksamaan dan memastikan pembangunan inklusif.
Dalam pada itu, beliau berkata Program Kampung Angkat MADANI menunjukkan peningkatan ketara dari segi pelaksanaan dan liputan apabila melibatkan 43 kampung pada fasa permulaan t2024 sebelum diperluas kepada 219 kampung tahun lepas.
“Bagi tahun ini, sasaran peluasan ditetapkan hingga 500 kampung dengan pendekatan lebih agresif termasuk pelaksanaan projek inovatif seperti tenaga solar luar grid bagi kawasan yang memerlukan penyelesaian tenaga alternatif,” katanya.
-- BERNAMA
