AM

LRA AKSB SEDIA ADA TIDAK MAMPU TAMPUNG KEPERLUAN RAKYAT KELANTAN - EXCO

24/05/2026 05:10 PM

KOTA BHARU, 24 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Kelantan mengakui bahawa bekalan air daripada syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dengan 43 loji rawatan ketika ini masih gagal menampung keperluan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin berkata Loji Rawatan Air (LRA) berkenaan hanya mampu menghasilkan 529 juta liter air sehari sehingga menyebabkan beberapa jajahan seperti Tumpat dan Pasir Mas serta beberapa kawasan lain mengalami gangguan bekalan.

"Setakat ini, dilaporkan hanya jajahan Jeli dan Gua Musang berada dalam keadaan baik. Secara keseluruhannya, sumber air kita memang belum mencukupi untuk disalurkan kepada rakyat.

"Sehubungan dengan itu, kita terpaksa mengambil pendekatan mengawal penyaluran air berdasarkan keperluan semasa di sesuatu kawasan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat Status Semasa Bekalan Air di Negeri Kelantan dan Persediaan AKSB untuk Hari Raya Aidiladha di sini, hari ini. 

Beliau berkata kerajaan negeri mula melaksanakan pembinaan tambahan 17 LRA baharu pada 2023 bagi meningkatkan kapasiti air untuk disalurkan ke seluruh negeri ini.

Izani berkata kesemua LRA itu dijangka siap pada 2030, menjadikan keseluruhan 60 loji di Kelantan dengan kapasiti bekalan air yang dihasilkan sebanyak 884 juta liter air.

"Kita jangka dengan penambahan ini, jumlah air akan lebih mencukupi dan isu air dapat dikurangkan dengan banyak walaupun mungkin tidak selesai sepenuhnya," katanya.

Mengulas berhubung bekalan air bersempena dengan Aidiladha, beliau berkata pihaknya dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah mengenal pasti kawasan untuk pemasangan tangki statik.

Dalam pada itu, katanya, pengguna AKSB disaran menggunakan aplikasi MyAKSB yang disediakan bagi memudahkan urusan aduan, semakan bil, pembayaran serta penerimaan notifikasi gangguan bekalan air secara terus untuk tindakan lebih cepat dan sistematik.

"Setakat ini, hanya 10 peratus atau 30,000 daripada hampir 300,000 akaun pelanggan AKSB memuat turun aplikasi tersebut.

"Aduan dan kritikan di media sosial tanpa maklumat terperinci menyukarkan pihak AKSB untuk mengambil tindakan susulan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan