AM

MALAYSIA SASAR HUBUNGAN INDUSTRI PERTAHANAN YANG KUKUH DENGAN TURKIYE - MOHAMED KHALED

24/05/2026 08:33 PM

Daripada Nur Adila Abdul Wahab

ISTANBUL, 24 Mei (Bernama) -- Malaysia melihat potensi besar untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan dengan Turkiye melalui pertukaran pengetahuan dan pemindahan teknologi, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mohamed Khaled berkata perjalanan luar biasa Turkiye ke arah membangunkan keupayaan pertahanannya sendiri merupakan contoh jelas tentang apa yang boleh dicapai menerusi visi strategik, komitmen negara dan keazaman pihak industri.

Beliau berkata pembinaan tiga Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2) merupakan satu detik bersejarah dalam kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Turkiye.

“Sebagai kerjasama kerajaan antara kerajaan pertama kita dalam perolehan kapal perang untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), ia menjadi bukti kepercayaan mendalam antara kedua-dua negara. Ini terutamanya apabila pada hari ini kepercayaan menjadi antara aset paling berharga dalam hubungan antarabangsa dan tiada tempat yang lebih memerlukan kepercayaan selain diplomasi pertahanan.

“Sehubungan dengan itu, Malaysia amat berterima kasih kepada Turkiye bukan sahaja atas kecemerlangan teknikalnya tetapi juga kerana telah membuktikan bahawa mereka adalah rakan strategik yang dipercayai serta sentiasa menghormati komitmen dan perjanjian yang telah dipersetujui,” katanya dalam ucapan pada majlis penamaan dan pelancaran kapal pertama TLDM LMSB2 di limbungan kapal Istanbul di sini hari ini.

Upacara berkenaan disempurnakan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Kapal berkenaan dinamakan “Tunku Laksamana Abdul Jalil”, sebagai penghormatan tertinggi kepada putera keempat Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah, iaitu Almarhum Tunku Abdul Jalil, yang merupakan anggota keluarga diraja Johor pertama dalam sejarah moden memegang gelaran “Laksamana”.

Nama itu diangkat bagi mengabadikan keberanian, ketabahan dan semangat juang Almarhum termasuk melalui slogan “Fight Like Jalil” serta legasi kebajikan baginda menerusi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata Malaysia melihat kerjasama tersebut dengan penuh optimis dan tekad yang jelas untuk memperkukuh industri pertahanan tempatan. 

Dibina berasaskan reka bentuk kelas-ADA di bawah Program MILGEM Turkiye yang telah terbukti berkesan, beliau berkata kapal berkenaan akan meningkatkan keupayaan pertahanan maritim Malaysia secara signifikan serta menyokong Pelan Transformasi 15 To 5 TLDM.

“Saya gembira melihat projek ini berjalan mengikut jadual. Saya yakin dengan dedikasi yang ditunjukkan oleh Pasukan Projek TLDM, STM (Savunma Teknolojileri Muhendislik), dan Istanbul Shipyard, ketiga-tiga kapal ini akan berjaya diserahkan sepenuhnya menjelang akhir tahun 2027.

“Ia merupakan satu kejayaan yang wajar diraikan oleh TLDM, demi persahabatan berkekalan antara Malaysia dan Turkiye, serta keamanan sejagat,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan