JENAYAH & MAHKAMAH

DUA MAUT, SEORANG CEDERA KERETA BERTEMBUNG DI BAGAN SERAI

24/05/2026 09:27 PM

IPOH, 24 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas dan wanita maut manakala seorang lagi cedera ringan selepas kenderaan yang mereka naiki bertembung dalam kemalangan di Jalan Taiping-Bagan Serai, petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.56 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata kemalangan tersebut melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova dan kereta Perodua Myvi 

“Setibanya jentera di lokasi, terdapat seorang lelaki berusia 66 tahun yang memandu Perodua Myvi tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Seorang lagi mangsa, seorang wanita berusia 51 tahun yang merupakan penumpang kenderaan sama, telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata pemandu Toyota Innova, lelaki berusia 46 tahun, hanya mengalami kecederaan ringan dan berjaya keluar sendiri daripada kenderaan sebelum anggota penyelamat tiba.

"Operasi menyelamat dijalankan menggunakan konsep SAVER dengan anggota bomba membuka pintu kenderaan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa daripada Perodua Myvi disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata mangsa yang cedera pula dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada 6.15 petang.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan