BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Beijing perketat kawalan | COVID-19: Kes baharu mingguan meningkat 57.3 peratus - KP Kesihatan | Chow disahkan positif COVID-19 | Penyelidik Taiwan temui kaedah rawat pembekuan darah pesakit COVID-19 | Pemilik premis dibenar tentukan pemakaian pelitup muka | 
META@BERNAMA

Bakal anjur persembahan eksklusif hujung tahun ini, Siti Nurhaliza ubati kerinduan peminat

24/06/2022 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin memberi bayangan akan mengadakan persembahan eksklusif pada hujung tahun ini bagi mengubati kerinduan peminatnya. 

Beliau berkata ia susulan ramai dalam kalangan mereka tidak sempat merebut peluang menyaksikan persembahan istimewa ‘Queen of the Night Siti Nurhaliza’ di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 6 Ogos ini.

“Insya-Allah jika jadi, ia akan berlangsung selama dua hari pada November ini. Khusus buat peminat yang dah lama menantikan kemunculan saya. Jangan lupa dapatkan tiket nanti,” katanya kepada Bernama selepas sidang media persembahan istimewa itu, baru-baru ini.


Bernama difahamkan kesemua 458 tiket persembahan istimewa itu dibeli Yayasan Metamorphosis untuk diagihkan secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan anak yatim terpilih di seluruh negara.

Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Razalif Mohamad Zain berkata tujuan pihaknya adalah bagi memberikan golongan terbabit pengalaman bertentang mata dengan Siti Nurhaliza selain menghayati secara langsung kelunakan alunan suara penyanyi kesayangan ramai itu.

Tambah beliau, pihaknya membelanjakan hampir RM1 juta untuk tujuan berkenaan dan golongan terbabit akan dibawa menaiki bas dari negeri masing-masing serta diberi penginapan percuma di hotel tersebut.

-- BERNAMA

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan