BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Beijing perketat kawalan | COVID-19: Kes baharu mingguan meningkat 57.3 peratus - KP Kesihatan | Chow disahkan positif COVID-19 | Penyelidik Taiwan temui kaedah rawat pembekuan darah pesakit COVID-19 | Pemilik premis dibenar tentukan pemakaian pelitup muka | 
META@BERNAMA

Impian tercapai, Fazura bakal anjur konsert

14/08/2022 10:40 AM

Oleh Fatin Nabihah Marzuki

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Pelakon dan penyanyi terkenal Nur Fazura Shariffudin buat julung kalinya akan menganjurkan konsert Faztival Fazura 2022 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 September nanti.

Konsert tersebut bakal menghimpunkan beberapa penyanyi tersohor tanah air dan Indonesia seperti Datuk M. Nasir, Ahmad Band, Mulan Jameela, Ella, Ruffedge, Amir Masdi, Ippo Hafiz dan Zizi Kirana.

Bagi Nur Fazura yang juga seorang usahawan, konsert berkenaan diadakan sebagai menghargai para peminat serta para stokis dan ejen beliau yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya selain menunjukkan prestasi konsisten sepanjang menjadi wakil jualan produknya itu.

Beliau berkata peluang berkongsi pentas dalam satu konsert bersama para penyanyi kegemaran telah  menjadi impiannya sejak sekian lama.

“Selain persembahan nyanyian, ada kejutan yang akan saya tampilkan pada hari (konsert) berkenaan dan ada kaitan dengan saya dan Ahmad Dhani (vokalis Ahmad Band dan Dewa 19) juga. 

“Mengenai harga tiket, tentunya harga yang mampu milik kerana #miliksemua sudah begitu sinonim dengan jenama Fazura,” ujar beliau yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-39 September nanti.          

Beliau enggan mengulas kos anjuran konsert namun menyuarakan hasrat menjadikan konsert itu sebagai acara tahunan.

Dianggarkan 7,000 penonton akan hadir ke konsert berdurasi tiga jam itu nanti. 

-- BERNAMA

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan