BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Beijing perketat kawalan | COVID-19: Kes baharu mingguan meningkat 57.3 peratus - KP Kesihatan | Chow disahkan positif COVID-19 | Penyelidik Taiwan temui kaedah rawat pembekuan darah pesakit COVID-19 | Pemilik premis dibenar tentukan pemakaian pelitup muka | 
META@BERNAMA

Koleksi fesyen guna botol plastik kitar semula

27/08/2022 08:10 PM

Oleh Jeiilnyly Humaira Masal & Muhammad Zaini

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Pereka fesyen Hatta Dolmat membawa kelainan di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW 2022) dengan menampilkan koleksi terbaharu menggunakan botol plastik kitar semula sebagai usaha melestarikan alam sekitar.

Hatta berkata sebanyak 2,294 botol plastik bersamaan dengan 163 meter kain telah digunakan bagi menghasilkan dua koleksi terbaharu iaitu 'HD Vague RTW' dan 'HD PECULIAR RTW'. 

"HD Vague RTW' berinspirasikan motif songket. Kita tahu songket adalah salah satu budaya kita yang boleh diangkat tetapi songket susah untuk kita pakai hari-hari. Apa yang Hatta usahakan adalah mengambil motif songket yang digabungkan dengan corak moden iaitu monogram, menggunakan fabrik yang lestari.

"Untuk koleksi songket, Hatta keluarkan 12 koleksi high-end untuk golongan yang berada manakala bagi HD PECULIAR RTW dikeluarkan sebanyak 25 koleksi khusus buat golongan muda. 

"Bagi tahun ini kita masih menggunakan sepenuhnya botol plastik kitar semula dan dua jenis kain digunakan iaitu chiffon dan matte satin," katanya kepada Bernama di KLFW2022 baru-baru ini. 

Pengasas bersama KLOTH Malaysia, Nik Suzila Nik Hassan, berkata Budaya fast fashion ialah perniagaan yang tidak dinafikan keuntungannya, oleh itu kami memahami betapa pentingnya dalam mendidik pemain industri mengenai fesyen lestari, budaya slow fashion dan pengetahuan tentang teknologi hijau. 

"Sebanyak 328.31 kilogram karbon dioksida dari alam sekitar yang biasanya dijana dengan penggunaan poliester dara (vPET) telah berjaya dikurangkan dengan penghasilan koleksi Vague RTW dan Peculiar RTW yang menggunakan bahan poliester kitar semula (rPET). 

"Jumlah ini juga bersamaan dengan mengelakkan pelepasan gas rumah hijau dari 10 kali ganda kereta bahan bakar fosil di Malaysia sejauh 12,205 kilometer," tambah Nik Suzila.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Antarabangsa Wardah, Wanda Ismarosa Fatima berkata, syarikatnya  sememangnya sedang mencari rakan niaga di Malaysia yang mempunyai ciri-ciri sama seperti mereka dan Hatta Dolmat adalah pilihan yang tepat kerana hasil kerjanya yang mendukung kelestarian alam sekitar.

“Syarikat kami mempunyai empat pillar (tunjang) iaitu kesihatan, pembelajaran, pemerkasaan wanita dan kelestarian alam sekitar.

“Melalui kerjasama ini, salah satu objektif kami dapat dicapai. Saya berharap ia dapat membawa kesan dan faedah kepada orang lain dan sekeliling terutamanya kepada para pelanggan kami,” katanya.

-- BERNAMA

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan