BERITA COVID–19   COVID-19: Thailand kesan kes pertama varian XAY.2 | Semakin banyak negara laksana sekatan COVID-19 terhadap pelancong China | Kes COVID-19 meningkat, Beijing perketat kawalan | COVID-19: Kes baharu mingguan meningkat 57.3 peratus - KP Kesihatan | Chow disahkan positif COVID-19 | 
META@BERNAMA

Siti Nurhaliza beri bayangan adakan konsert berskala besar pada 2023

08/11/2022 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov -- Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin memberi bayangan akan mengadakan konsert berskala besar sempena ulang tahunnya dalam industri menjelang tahun hadapan.

“Insyaallah, tahun depan Siti berharap dapat mengadakan konsert yang skalanya lebih besar dari malam ini. Sebenarnya Siti masih belum mengadakan konsert sempena dalam industri sempena yang ke-25 yang sepatutnya diadakan dua tahun lalu.


“Situasi COVID-19 dan sebagainya antara sebab kami tidak dapat lakukan dan mungkin konsert yang akan datang ini sempena ulang tahun yang seterusnya,” katanya pada sidang media selepas konsert Music of The Soul: An Evening with Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Konsert amal yang berlangsung pada 5 dan 6 November di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) itu turut menampilkan penyanyi legenda, Datuk Awie.

Dalam masa yang sama, Siti turut menyatakan hasratnya untuk berkolaborasi bersama Datuk Awie dengan merakamkan sebuah lagu berentak irama Malaysia.


“Datuk Awie tidak pernah lagi menyampaikan lagu berentak irama tradisional yang dirakam. Lagu apapun yang dinyanyikan Siti rasa dia sesuai dan sedap didengar.

“Siti pasti peminat juga ‘looking forward’ untuk melihat nyanyian beliau dalam irama Malaysia dan Siti akan mencari lagu yang sedap dan sesuai untuk kami,” katanya.

Selain itu, Siti mengesahkan bahawa akan ke Indonesia pada bulan Disember untuk membuat persembahan di pertandingan akhir D’Academy Asia (Dangdut). 

-- BERNAMA

© 2023 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan