JENAYAH & MAHKAMAH

PEMBINAAN BALAI BOMBA DI BARIO DALAM KAJIAN - JBPM SARAWAK 

17/04/2024 09:01 PM

Oleh Ammar Hamzah

KUCHING, 17 April (Bernama) -- Pembinaan sebuah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Bario iaitu sebuah kawasan pedalaman dataran tinggi di utara Sarawak masih di dalam kajian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datuk Khirudin Drahman berkata sebelum pembinaan BBP baharu dapat dilaksanakan, satu penilaian risiko akan dijalankan di kawasan tersebut untuk melihat kesesuaian.

Katanya penilaian risiko tersebut akan melihat kepada beberapa kriteria termasuk jumlah penduduk, jumlah bangunan serta aktiviti ekonomi di kawasan itu.

“Buat masa ini penubuhan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) atau komuniti masih relevan di Bario berdasarkan risiko sedia ada dan juga statistik kes kebakaran yang masih kecil di sana.

“Bario sekarang ini masih belum menepati syarat pembinaan (BBP baharu) kecuali pertimbangan khas diberikan Kerajaan Persekutuaan buat Sarawak (maka boleh bina),” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau mengulas keperluan membina sebuah BBP di Bario susulan kebakaran kediaman Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Gerawat Gala di Pa' Umor, Bario pada awal pagi Ahad.

Menurut JBPM, kediaman tersebut terletak kira-kira 460 kilometer menggunakan jalan balak dari BBP Marudi, balai terdekat ke lokasi kejadian.

Bergantung kepada keadaan cuaca, perjalanan darat ke lokasi kejadian itu dari BBP Marudi mengambil masa 20 jam.

Enam penghuni yang berada di kediaman itu ketika kejadian berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian jam 1.10 pagi Ahad itu.

Sementara itu, Khirudin berkata buat masa ini, PBS di Bario mempunyai peralatan pemadaman kebakaran asas mencukupi yang diselenggara dengan baik.

“Dengan peralatan ini, kebakaran peringkat permulaaan boleh ditangani dengan cekap namun faktor waktu kejadian dan kesiapsiagaan penduduk tempatan juga penting,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan