AM

Cidbh Jalin Kerjasama Dengan Pkbm, Smart Paints Perkukuh Tvet Pembinaan, Kongsi Teknologi 

30/04/2024 10:29 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia Holdings Sdn Bhd (CIDBH) hari ini memeterai kerjasama dengan Smart Paints (M) Sdn Bhd dan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM).

Kerjasama yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) itu antara lain bertujuan menjalin kerjasama dalam teknologi dan kepakaran bagi meningkatkan kualiti serta produktiviti dalam bidang kemasan cat selain membangunkan program latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Pembinaan. 

Majlis MoU itu disaksikan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan. 

Ahmad berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) komited dalam pelan ini yang antaranya bertujuan memperkasakan TVET Pembinaan.

“KKR menerusi CIDB Malaysia telah melahirkan tenaga mahir yang kompeten di Pusat Latihan CIDB iaitu Akademi Binaan Malaysia (ABM) serta CIDB Technologies dan sehingga kini lebih dari 420,000 berjaya dilatih serta diiktiraf sebagai pekerja mahir,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani MoU Antara CIDBH, Smart Paints (M) Sdn Bhd dan PKBM. 

Turut hadir Ketua Eksekutif CIDB Malaysia Datuk Mohd Zaid Zakaria, Pengurus Penjenamaan Smart Paints (M) Sdn Bhd Mohd Shahir Abdul Hamid dan Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Datuk Dr. Azman Yusoff. 

Terdahulu, Ahmad dalam ucapannya berkata kerjasama antara Smart Paints dan CIDBH akan menyaksikan Smart Paints menyediakan mesin cat serta produk mereka ke Akademi Binaan Malaysia (ABM) bagi membimbing pelatih ABM dalam teknik pengecatan dan pengendalian mesin serta membimbing mereka menjadi usahawan dan panel pengecat Smart Paints.

“Bagi kerjasama antara CIDBH dan PKBM adalah untuk berkongsi kepakaran dan teknologi meningkatkan kualiti latihan kemahiran selain menggalakkan penyertaan dalam kalangan ahli PKBM dalam program yang berkaitan. 

“Selain itu, kerjasama antara Smart Paints dan РКВМ pula bagi mewujudkan rangkaian perniagaan secara vendor program dan menjadi ejen perniagaan, pemasaran serta yang berkaitan dengannya selain memberi peluang kepada kontraktor menjadi panel kontraktor bagi projek-projek Smart Paints,” katanya.

Pada majis itu, Ahmad turut melancarkan kempen Smart Paints ‘Smart Malaysia - NegaraKu, Jenamaku’ sebagai usaha mendukung produk keluaran tempatan menggunakan teknologi mesa alam. Inisiatif in selaras dengan komitmen ke arah pematuhan prinsip-prinsip Alam Sekitar, Kestabilan dan Tadbir Urus (ESG).

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan