Penduduk Berhampiran Tapak Pelupusan Haram Kapar Resah, Udara Dihidu Bawa Maut

<
strong>Artikel ini adalah yang pertama daripada laporan dua bahagian berkenaan tapak pelupusan haram di Kapar, Klang. Bahagian pertama ini mengupas kebimbangan penduduk di kawasan berhampiran tentang kesan tapak itu terhadap kesihatan mereka dan bagaimana gandingan COVID-19 dan ketamakan manusia menyebabkan timbunan sampah kini “menggunung”.

 

KLANG (Bernama) -- Hanya selepas kali ketujuh berjumpa doktor di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini pada tahun lepas barulah Mohamad Mishan Md Nor tahu yang dia sedang diracuni secara perlahan-lahan.

Dia mengalami masalah pernafasan, dan pertama kali dimasukkan ke hospital ialah pada Jun 2021. Tidak lama selepas didiscaj, dia kembali sakit dan dimasukkan semula ke hospital pada bulan berikutnya. Kitaran ini berulang beberapa kali hinggalah kali terakhir dia dimasukkan ke hospital pada Disember tahun lepas.

Pada mulanya warga emas berusia 61 tahun ini menyangka dia mengalami masalah jantung atau COVID-19.  Namun doktor menyanggah tanggapan itu. Jantung bukan punca dia sakit dan dia juga diuji negatif COVID-19 setiap kali jatuh sakit.

Sebaliknya, kata doktor, dia terdedah kepada udara yang tercemar, dan saranan doktor bagi “menyembuhkannya” menyebabkan lelaki itu termangu.

“Dia suruh pindah. Macam mana saya nak pindah? Saya tak ada tanah (lain),” kongsinya dengan Bernama.

Satu-satunya penyelesaian lain ialah mencari punca pencemaran. Sepintas lalu, tidak ada yang luar biasa di kawasan kejiranan Mohamad Mishan yang tinggal di Blok AC, Kampung Sungai Serdang, Kapar itu. Namun di sebalik kedamaian kawasan tersebut dengan langit yang membiru dan pepohon hijau merimbun, ada bahaya menunggu. 

Ketika dia jatuh sakit, jiran-jirannya di Kampung Tok Muda, Kampung Tambak Jawa serta kawasan sekitar - kira-kira tujuh kilometer dari pantai - juga jatuh sakit, dan COVID-19 bukan penyebabnya.

Ada petunjuk tentang punca mereka jatuh sakit. Menurut penduduk, setiap malam, persekitaran perkampungan mereka akan diselubungi asap - hingga sekarang masih begitu - dan mereka percaya ada pihak membakar sampah secara haram.  

Benar bagai yang ditelah kerana selepas dijejaki, kepulan dan bau asap itu membawa penduduk ke sebuah tapak pelupusan sampah haram berhampiran sebuah ladang ternakan ayam. Tapak itu terletak di bawah pilon kabel elektrik TNB serta tidak jauh dari sempadan Kapar-Kuala Selangor. Asap berkepul-kepul keluar dari tapak itu, dan pada masa lalu, penduduk akan menghubungi pasukan bomba yang datang dan memadamkan api di situ.

Namun apa yang dilihat kali ini memeranjatkan mereka. Rahsia tentang tapak itu yang hanya diketahui oleh penduduk Kapar beberapa tahun sebelum pandemik tiba di negara ini, sekarang telah menjadi isu besar. Dalam tempoh negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara 2020 dan 2022 bagi mengekang COVID-19, tapak pelupusan haram itu meluas. 

 “Tapak pembuangan ni (wujud) lebih kurang lima, enam tahun yang lepas. Cuma sikit. Dulu (sampah) tinggi kereta. Sekarang ni, tengok... dah hampir 10 meter (tinggi) lebih kurang,” kata Mohd Masrobi Zakaria, penduduk Kampung Sungai Serdang sambil menuding ke arah timbunan sampah terbabit.

Dianggarkan timbunan sampah di situ setinggi bangunan dua tingkat dan seluas lima hingga lapan buah padang bola.

Dalam tempoh negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara 2020 dan 2022 bagi mengekang COVID-19, tapak pelupusan haram di tanah kegunaan TNB Batu 14 Kapar, Klang itu meluas.--fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

 

SAMPAH AMBUL

Untuk tiba di tapak sampah itu, seseorang perlu memandu ke arah ladang ternakan ayam Lay Hong Feedmill di Batu 14, Kapar. Berhampiran laluan masuk ke ladang itu yang terletak di sebelah kiri jalan dan berpagar, kelihatan seorang pekerja warga Bangladesh menyembur air sabun ke atas tayar kenderaan berat yang melintasi pintu pagar berkenaan. 

Sebaik melepasi ladang ayam, kami disambut oleh jalan yang tidak lagi bertar. Rimbunan pokok yang tebal menghalang pandangan di kedua-dua belah jalan sebelum mata bertemu dengan timbunan sampah; beberapa tong dram plastik biru bergelimpangan dan gumpalan bahan hitam keabuan melimpah dari karung kanvas putih yang berselerak di tengah-tengah pelbagai jenis sampah. 

Pandangan akhirnya tertancap pada “bukit” sampah setinggi kira-kira sembilan meter. Memang sangat besar, namun bagi yang sudah mangli, mereka anggap keadaan itu tidak seteruk tapak pembuangan di sesetengah negara membangun yang mereka lihat menerusi gambar. Akan tetapi, tanggapan itu berubah sebaik keluar dari kenderaan.

Tanah yang dipijak menganjal, mengingatkan kita pada lantai kawasan permainan kanak-kanak di prasekolah. Apabila dilihat dengan lebih teliti, yang disangkakan tanah itu sebenarnya butiran kecil getah dan plastik pelbagai warna, bermakna seluruh “bukit” itu adalah sampah, dan pakar menganggarkan berat keseluruhan sampah terbabit  sekitar 30,000 hingga 50,000 tan.

“Ini dari kilang ni. Dia (sampah) dah shred (dicarik-carik) habis,” kata seorang pakar pengurusan sisa yang tidak mahu dinamakan disebabkan isu itu adalah sensitif.

“Dia (sampah) nampak seperti tanah, bercampur dengan tanah, so kita tak dapat kesan.” tambah beliau.  

Majoriti sampah itu adalah sisa perindustrian. Di tengah-tengah timbunan, kelihatan beberapa longgokan pek tetra daripada sebuah pengeluar produk tenusu. Di satu sudut lain, ada dua bungkusan besar sarung tangan getah pelbagai warna. Turut dikesan ialah sisa bahan binaan serta sedikit sampah isi rumah.

Bau plastik terbakar menyelubungi persekitaran. Tidak berbau busuk tetapi ada wasap. Walaupun kami semua berpelitup muka, beberapa orang daripada kami mengalami rasa loya selepas mengunjungi tapak pelupusan itu.

Punca kepada keadaan itu ditemukan di hujung kawasan pembuangan sampah tersebut, di mana barisan pokok kelapa sawit menjadi sempadan di antara ladang dan tanah lapang. Sekalipun api tidak kelihatan, kami boleh nampak asap keluar daripada timbunan sampah.

Pakar pengurusan sisa memberitahu Bernama yang asap itu mungkin bukan disebabkan oleh pembakaran terbuka sampah, sebaliknya berpunca daripada haba dalaman, atau barangkali diakibatkan oleh tindakan pencari barangan terpakai membakar sarung getah bagi mendapatkan tembaga.

Semua yang berkenaan bersetuju isu tapak pembuangan itu adalah serius. Seorang daripada pakar menggambarkan tapak tersebut sebagai “antara paling teruk” pernah disaksikan beliau, menjadikan tempat tersebut sebagai kawasan berbahaya untuk dikunjungi, apatah lagi tinggal berdekatan.

 

BAHAYA

Pakar alam sekitar bimbang kerana tapak pelupusan haram itu terletak terlalu dekat dengan kawasan petempatan dan pantai. Disebabkan tapak itu tidak berlesen, pembuangan sampah di situ tidak boleh dikawal selia, mencemarkan udara, tanah dan air, serta membahayakan orang awam.

Antara kebimbangan mereka ialah kepulan asap yang tidak putus-putus, boleh dilihat menerusi aplikasi Google Maps, keluar daripada sampah terbabit. Selain itu, ada risiko letupan yang dikaitkan dengan gas tapak pelupusan.

Pakar pengurusan sisa pepejal Prof Dr P. Agamuthu daripada Pusat Pembangunan Lestari Jeffrey Sachs, Sunway University, berkata biasanya sukar untuk memadamkan kebakaran sedemikian kerana gas mentana akan menyebabkan nyalaan yang berterusan.

Kepulan asap yang tidak putus-putus keluar daripada sampah terbabit. Selain itu, ada risiko letupan yang dikaitkan dengan gas tapak pelupusan. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

Selain itu, gas tersebut juga berbahaya jika dihidu.

“Masalah terbesar ialah mentana yang akan dibebaskan oleh gas tapak pelupusan (60 peratus gas mentana dan 30 peratus karbon dioksida). Jika ada kawasan petempatan berhampiran tapak ini, maka penduduk akan terdedah kepada gas tapak pelupusan yang dibawa angin ke kawasan mereka,” katanya.

Antara kesan sampingan akibat keterdedahan jangka pendek ialah batuk, iritasi mata, hidung dan tekak, sakit kepala, loya serta kesukaran bernafas, memburukkan lagi keadaan penghidap asma. Keterdedahan jangka panjang pula boleh menyebabkan gangguan koordinasi gerakan tubuh, loya dan muntah. Kepekatan gas yang tinggi pula boleh membawa maut.

Metana juga menyumbang kepada pemanasan global.

Satu lagi kebimbangan utama ialah leachate atau bahan larut lesap, iaitu cecair berbahaya dan terhasil daripada sampah perbandaran. Bahan ini boleh mendatangkan bahaya besar kepada orang ramai, menyebabkan gangguan perut berdarah, gangguan darah, kecacatan kongenital, malah kanser.

“Saya jangka bahan larut lesap ini akan mengalir ke laut kerana kedudukan pantai yang lebih rendah,” kata Agamuthu.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan Ummi Kalthum Shuib memberitahu Bernama tapak pelupusan berlesen mempunyai sistem paip bagi mengumpulkan dan mengalirkan bahan larut lesap ke loji rawatan yang menjadikan bahan itu selamat untuk digunakan.

“Ikan pun boleh hidup dalam air tu selepas rawatan,” katanya.

Akan tetapi, tanpa sistem rawatan, bahan larut lesap akan meresap ke dalam tanah dan mencemarkan sumber bekalan air. Justeru dalam kes ini, kebimbangan tersebut berasas memandangkan tapak pelupusan haram berkenaan berdekatan dengan pantai.

 

PERLUKAN BANTUAN

Penduduk yang tinggal berdekatan tapak pelupusan terbabit mungkin tidak berdepan situasi ini jika tidak kerana penularan COVID-19.  Gandingan penularan pandemik dan ketamakan manusia memburukkan lagi keadaan di situ.

Ummi Kalthum berkata berdasarkan pengalamannya, syarikat yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan daripada pelaksanaan PKP serta ketiadaan saksi untuk membuang sampah di tapak pelupusan haram sebagai jalan mudah serta memaksimumkan keuntungan.

“Ada yang tak berlesen. Jadi pengutip haram ni, cari tempat yang haram nak buang. Kalau cari yang legal (berlesen) kena bayar kos yang tinggi,” katanya.

Sebanyak RM55 diperlukan sebagai kos menghantar 1,000 tan sampah ke tempat pelupusan di Jeram, iaitu kira-kira 14 kilometer dari tapak pelupusan haram itu. Memandangkan sisa pembinaan dan perindustrian lazimnya banyak dan berat, kos pastinya lebih tinggi. 

 “(PKP) semacam menggalakkan pembuangan (sampah) secara haram, namun sekarang keadaan sudah kembali normal,” kata Agamuthu.

Gambar tapak pelupusan haram yang diambil oleh dron. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

Akan tetapi keadaan “kembali normal” tidak semestinya menggembirakan penduduk, kerana bagi mereka, ini bermakna kembali kepada status quo, iaitu usaha mereka selama ini hanya sia-sia. Mereka memberitahu Bernama yang mereka telah banyak kali memfailkan aduan kepada pelbagai agensi dan wakil rakyat dalam tempoh dua dekad lalu. Akan tetapi tidak banyak tindakan yang diambil dan hanya bersifat jangka pendek, selain dilakukan secara senyap-senyap.  

Pada pertemuan antara komuniti dan aktivis alam sekitar baru-baru ini, Ketua Kampung Sungai Serdang Mohd Rizan Poniran dalam nada suara yang tenang namun disulami rasa kecewa, berkata situasi semasa sudah semakin tidak terkawal.

“Sekarang lagilah amat kritikal kerana semakin lama sampah tu semakin banyak,” katanya.

Beliau menambah semakin ramai penduduk, khususnya warga emas dan kanak-kanak serta penghidap asma, jatuh sakit.

Bernama menghubungi pihak berkuasa tempatan, negeri dan persekutuan berhubung isu pembuangan sampah secara haram serta TNB bagi mengulas tentang tapak pelupusan di Kapar.

Kebanyakan mereka tidak memberi respons setakat laporan ini ditulis, dan ada pula yang enggan mengulas. Ahli Majlis Majlis Perbandaran Klang Datuk Seri Azizi Ayob yang mewakili kawasan berkenaan, memberitahu Bernama yang beliau akan melawat tapak tersebut dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang mewakili penduduk di kampung terjejas, memberitahu Bernama bahawa isu itu adalah “bom jangka”.

“Saya perlu turun kawasan dan tengok sendiri. Semua ini adalah masalah kronik yang tidak pernah diselesaikan. Tengok saja asap yang keluar itu, nampak sangat betapa tidak sihatnya,” kata beliau, merujuk pada klip video dan gambar tapak pelupusan berkenaan. 

Ahli Parlimen Kapar Halimah Ali tidak memberikan sebarang jawapan sementara Ahli Dewan Undangan Negeri Sementa Dr Daroyah Alwi langsung tidak memberi maklum balas kepada permintaan Bernama agar beliau mengulas isu itu.

Penduduk dan komuniti aktivis tidak terperanjat dengan pelbagai respons yang diberikan oleh pihak berkenaan, kerana semua itu mencerminkan cara isu tersebut ditangani. Selepas bertahun-tahun menunggu tindakan yang berkesan, ramai sudah mula hilang sabar. 

“Kita ada bukti, ada penduduk yang buat laporan. Kita ada gambar. Pegawai juga telah melawat tapak. Malah, kita ada orang yang jatuh sakit. Jadi, apa lagi yang kita tunggu?” soal Akmar Saaidin yang menetap di Kampung Sungai Serdang.

“Tunggu mati,” celah Mohamad Mishan.

 

SISIPAN: MPK KOMITED PERANGI SAMPAH HARAM

Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Klang (MPK) Norfiza Mahfiz berkata pihaknya mahu memperhebatkan lagi kempen memerangi sampah, melibatkan komuniti setempat bagi mengatasi isu yang berlaku sejak sekian lama itu.
Katanya MPK mahu meningkatkan kesedaran masyarakat secara serius dan agak agresif kali ini.
“Kita akan menggunakan media sosial untuk menyiarkan perilaku individu pengotor dan tiada kesedaran sivik.
“Orang ramai boleh menghantar video atau gambar ke platform yang akan disediakan kelak untuk disiarkan kepada umum,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Norfiza, tabiat masyarakat tidak berdisiplin dan mengabaikan aspek kebersihan antara punca masalah pengurusan sampah masih menjadi isu kritikal di bandar diraja berkenaan.
“Sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab boleh menimbulkan isu lebih besar termasuk masalah kesihatan penduduk.
“Selain itu, tidak mustahil Klang kelak juga akan dikenali sebagai ‘daerah sampah’,” katanya.
Tambah beliau, Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MPK turut akan memperhebatkan operasi kutu sampah dan penguatkuasaan sampah haram menerusi pemantauan berterusan di lokasi yang telah dikenal pasti.
“Kerjasama dan sokongan masyarakat amat diharapkan dalam memastikan isu itu dapat ditangani dengan sebaik mungkin,” kata beliau. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.