Isu ancaman haiwan jalanan serta hidupan liar seperti kera di bandar bukan perkara baharu, namun di sesetengah kawasan perumahan, permasalahan itu didakwa semakin meruncing apabila aduan penduduk lambat diambil tindakan oleh pihak berwajib.
Artikel pertama daripada laporan khas tiga bahagian ini meneliti permasalahan itu di dua kawasan di Selangor - Subang Jaya dan Kajang - yang dikatakan oleh penduduk kian buruk sehingga menjejaskan kehidupan harian mereka.
Demi memenuhi keperluan manusia, sedikit demi sedikit hutan dijarah yang akhirnya meninggalkan ruangan begitu kecil untuk hidupan liar meneruskan kelangsungan hidup.
Terdesak, kera, lotong malah babi hutan menyelinap ke kawasan perumahan, menceroboh kediaman dan menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan. Belum lagi diambil kira haiwan jalanan seperti anjing dan kucing.
Konflik manusia dan haiwan-haiwan ini bukan sesuatu yang luar biasa, namun adakala pertembungan itu menuntut penyelesaian apabila pertaruhannya ialah keselamatan dan kesihatan awam.
DARI BUMBUNG TERUS KE DAPUR
Isu kera yang dipercayai menghuni Hutan Simpan Bukit Wawasan, Puchong, Selangor misalnya, membelenggu penduduk di kawasan sekitar sejak sekian lama kini dikatakan semakin teruk apabila haiwan berkenaan semakin pintar sehingga mampu mengopak atap rumah untuk menceroboh masuk kediaman.
“Setiap petang haiwan-haiwan ini pasti datang. Panjat pagar, naik ke bumbung, buka tingkap. Kalau dapur tak berkunci, habis makanan kena geledah. Semua ini buat penduduk sentiasa rasa takut dan gelisah dengan keselamatan keluarga masing-masing,” kongsi wakil Badan Pengurusan Bersama sebuah pangsapuri di situ yang hanya mahu dikenali sebagai Adila.
pic-2
Malah katanya, ada kes kanak-kanak dikejar oleh haiwan tersebut yang mahukan roti dipegang kanak-kanak itu.
Selain itu katanya, beberapa penduduk menanggung kerugian ribuan ringgit apabila atap dan siling rumah rosak dikopak oleh kera-kera berkenaan.
“Kami dah beberapa kali buat aduan kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) namun tindakan yang diambil mereka terhad, kerana kata mereka isu itu di bawah Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara).
“Adakala aduan kami dibiarkan tanpa tindakan selama berbulan-bulan. Walaupun MBSJ tidak ada kuasa tangkap kera-kera ini, tapi kami perlu tahu ada atau tidak kerjasama antara agensi (MBSJ dan Perhilitan)?” soalnya.
Berdasarkan pemerhatian penulis, kawasan petempatan itu terletak bersebelahan dengan hutan tersebut dan hanya dipisahkan oleh pagar dawai biasa. Menurut penduduk, tambah memburukkan keadaan apabila ada segelintir penghuni turut memberi makanan kepada haiwan-haiwan berkenaan.
ANJING LIAR
Di kawasan USJ11 dan Bandar Puteri Puchong pula berdepan ancaman anjing liar. Tinjauan Bernama susulan aduan penduduk, mendapati kumpulan haiwan ini berkeliaran di sekitar lorong kawasan perumahan, taman permainan kanak-kanak dan tempat pembuangan sampah.
Malah, di kawasan pangsapuri pula kelihatan anjing-anjing ini tidur di depan tangga bangunan, mengejar motosikal serta menyalak tanpa henti sepanjang penulis berada di situ.
pic-3
Dakwa penduduk, kehadiran anjing liar terbabit juga didorong oleh tindakan beberapa individu yang memberi makan.
Seorang pengusaha gerai makan Nanthasundari a/p Kuppan yang ditemui Bernama berhampiran Apartmen Seri Pulai Hartamas, berkata masalah anjing liar itu wujud sejak lebih 20 tahun lalu.
“Anjing ni kadang-kadang nampak macam senyap, tetapi boleh kejar orang secara tiba-tiba,” katanya yang mendakwa pernah melihat penduduk digigit anjing liar berkenaan.
“Haiwan ini juga datang dekat gerai saya, menimbulkan ketakutan kepada pelanggan,” tambahnya.
Mengharapkan tindakan daripada pihak berwajib, wanita ini bagaimanapun mengecam langkah ekstrem seperti menembak atau membunuh haiwan berkenaan.
“Tangkap elok-elok dan hantar kepada orang yang betul-betul nak jaga. Ada saja orang sanggup bela,” katanya.
Dia juga menitipkan nasihat kepada orang awam agar tidak panik apabila bertemu anjing liar. “Kalau nampak, jangan lari,” pesannya.
AGRESIF
Isu sama turut didepani penduduk di kawasan perumahan Laman 2, Bandar Seri Putra (BSP), Kajang, namun kata mereka anjing liar yang ada di situ agresif.
Kebimbangan mereka berasas, kerana pada 21 Mei lalu dilaporkan seorang kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan serius akibat terjatuh ketika cuba lari daripada sekumpulan anjing liar yang mengejar.
pic-4
“Insiden itu bukti jelas bahawa isu anjing liar bukan sekadar gangguan tapi sudah jadi ancaman keselamatan nyawa,” kata Pengerusi Persatuan Penduduk Laman 2 BSP Dr Mohd Norsam Mohd Sari kepada Bernama.
Menurutnya, kawasan itu yang menempatkan 800 buah rumah dengan jumlah penduduk kira-kira 4,000 orang, “dihuni” oleh kira-kira tujuh ke 14 ekor anjing liar yang bebas berkeliaran tanpa rasa takut.
“Kita ambil tindakan pasang perangkap tapi setakat ini usaha itu tidak membuahkan hasil. Kami bukan benci haiwan tapi ini soal keselamatan. Jangan sampai ada nyawa melayang baru nak ambil tindakan,” katanya yang turut berharap tindakan tegas diambil kepada mereka yang memberi makan kepada anjing-anjing liar terbabit.
Menurutnya, mereka telah beberapa kali membuat aduan namun jawapan yang diterima mereka selalunya "akan maklumkan kepada pihak atasan".
Tidak seperti kera dan hidupan liar lain yang berada di bawah bidang kuasa Perhilitan, Bernama difahamkan tindakan ke atas haiwan jalanan seperti anjing dan kucing terletak di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Namun penduduk mendakwa terlalu banyak prosedur yang perlu mereka ikuti sebelum tindakan diambil.
“Terlalu banyak kerenah birokrasi sedangkan masalah ini kami hadap hari-hari,” keluh Dr Mohd Norsam, mewakili penduduk.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial