Analisis: Pengundi Muda Bantu Gelombang Hijau Pada Pru15, Bagaimana Pula Prn Ini?

S
iti (bukan nama sebenar), mengundi buat pertama kali tahun lepas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang turut merekodkan jumlah keluar mengundi paling ramai bagi kumpulan usianya.

Terikut-ikut dengan keterujaan masyarakat pada pilihan raya itu yang menyaksikan rakyat berusia 18 tahun serta mereka yang layak namun tidak mendaftar sebelum ini keluar mengundi buat pertama kali, dia menyertai keluarga angkatnya menunaikan tanggungjawab tersebut.

Siti, 25, yang merupakan rakyat Selangor, bagaimanapun tidak merasai keterujaan itu pada pilihan raya negeri (PRN)  kali ini, serta tidak pasti sama ada akan pergi mengundi ataupun tidak.

“Tengoklah kalau ada masa,” kongsinya dengan Bernama, menambah pekerjaannya di sebuah restoran biasanya membuatkan dia berasa amat penat pada keesokan pagi.

Di negara demokrasi lain, pengundi muda tidak dianggap sebagai pengundi yang boleh diharap, namun jumlah rakyat Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun yang keluar mengundi pada PRU15 begitu mengejutkan pada 75.6 peratus, menurut analisis pemerhati politik Bridget Welsh. Angka itu hampir menyamai jumlah keluar mengundi  kumpulan usia 41 hingga 50 tahun.

Pada PRU15, undi orang muda menjadi tumpuan, baik pada program politik ataupun platform media sosial, khususnya TikTok, sementara media dan penganalisis pula menggelar mereka sebagai “dalang politik” yang dapat menentukan kemenangan mana-mana pihak.

Bagaimanapun, pada PRN untuk memilih kerajaan negeri Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan esok, suasana agak hambar. Ditambah pula PRN yang secara tradisinya mencatatkan kadar keluar mengundi yang rendah - biasanya kurang sebanyak 10 hingga 20 mata peratusan - membuatkan sesetengah pakar berpendapat jumlah pemilih muda yang akan keluar mengundi adalah lebih rendah berbanding jangkaan.

 

KETERUJAAN 

Pakar yang dihubungi Bernama bersetuju jumlah pengundi muda yang akan mengundi kali ini lebih rendah berbanding PRU15, namun mereka tidak pasti serendah mana. Ada yang berpendapat angka lebih kurang sama dengan jumlah pengundi berusia bawah 30 tahun yang memilih pada PRN Johor, iaitu sekitar 52 peratus. Yang lain pula menjangka kadar jauh lebih rendah. 

Data yang ada juga menyokong unjuran itu. Pengarah TINDAK Malaysia Danesh Prakash Chacko berkata statistik pilihan raya-pilihan raya terdahulu menunjukkan kawasan yang mempunyai sejumlah besar pengundi muda sentiasa merekodkan angka keluar mengundi lebih rendah berbanding kawasan yang tidak ramai pengundi belia.

“Orang dewasa yang lebih teruja untuk mengundi,” katanya.

Esok rakyat Malaysia akan menunaikan tanggungjawab mengundi bagi memilih kerajaan di enam negeri. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

Ada petunjuk lain yang membayangkan jumlah keluar mengundi esok rendah. Pakar menuding ke arah kehambaran suasana PRN kali ini, baik di alam nyata ataupun dunia siber, berbanding PRU15.

“Saya rasa yang mendorong belia keluar mengundi pada ketika itu ialah suasana yang mengujakan…keseluruhan  pengalaman semasa PRU15 begitu menyeronokkan, iaitu satu pengalaman baharu, dan suasana akan menarik  jika keadaan itu berulang (jumlah mengundi ramai),” kata Jason Wee daripada kumpulan belia Architects of Diversity. 

Faktor sama tidak lagi boleh diguna, dan aspek lain seperti percanggahan jadual, tanggungjawab terhadap kerja, hari mengundi bukan hari cuti umum serta masalah untuk pulang mengundi pula menjadi isu. Tidak ketinggalan kelesuan pilihan raya - pengundian esok adalah yang keenam dalam tempoh tiga tahun.

Sehubungan itu, Wee menjangkakan jumlah keluar mengundi berkemungkinan besar hanya meningkat sedikit sahaja berbanding PRN Johor pada 2022, ketika sebahagian sekatan COVID-19 masih berkuat kuasa. 

Beliau memberitahu Bernama sukarelawan yang memantau media sosial berkaitan PRN mendapati aktiviti atau hantaran tentang pilihan raya kali ini tidak sebanyak PRU15.

“Di TikTok, satu-satunya isu yang menyerlah ialah sokongan besar terhadap (Menteri Besar Kedah) Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor). Konsep ‘kesyahidan’ yang dimainkan (berhubung penahanannya) benar-benar menarik perhatian golongan muda di TikTok. Sama ada perhatian tersebut diterjemahkan kepada undi, itu cerita lain,” katanya. 

Kebanyakan pakar bersetuju dan menjangkakan jumlah pemilih muda yang keluar mengundi di Kedah sebagai memuaskan. 

Penganalisis politik Wong Chin Huat meramalkan jumlah keluar mengundi  “yang amat rendah”, terutama dalam kalangan belia. Menurut beliau, angkanya mungkin lebih kurang sama dengan jumlah yang keluar mengundi pada PRN Johor tahun lepas. 

Sepertimana Wee, Wong berkata setakat ini beliau tidak melihat tahap keterujaan yang setara dengan sebelum ini.

“Ini dapat dilihat dari segi kehadiran di ceramah, selain ramai pengundi didapati tidak membuat persediaan untuk keluar mengundi dan macam-macam lagi,” katanya.

Pakar geostrategi Azmi Hassan pula meramalkan jumlah keluar mengundi rendah bagi setiap kumpulan usia. Walaupun bersetuju jumlah undi muda merosot, beliau berkata jumlah keluar mengundi keseluruhan hanya turun sedikit.

“Minat itu ada. Begitu juga dengan kebimbangan terhadap ‘gelombang hijau’,” katanya.

 

MAKSUD TERSIRAT

Terdapat banyak  faktor rumit yang menyukarkan pemerhati membuat ramalan. Selain itu, kumpulan Undi18 pula baru melalui satu PRU dan PRN masing-masing, sekali gus sukar untuk menelah trend.

Pada PRN Johor tahun lepas, orang muda memilih Barisan Nasional (BN), namun pada PRU15, pengundi muda, terutama Melayu, memberi sokongan kepada kerjasama Perikatan Nasional (PN)-PAS. Tinjauan Merdeka Centre berkenaan kecenderungan pengundi menjelang PRU15 menunjukkan 37 peratus orang muda memilih PN, diikuti Pakatan Harapan (PH) 35 peratus dan 23 peratus menyokong BN.

Analisis tentang trend pengundian menunjukkan golongan tua lebih berkemungkinan memangkah BN sementara kelompok usia pertengahan pula memilih PH. Dari situ boleh difahami jumlah besar pengundi muda yang keluar mengundi akan membantu mencetuskan satu lagi gelombang hijau.

Sebahagian sukarelawan Undi18 melakukan persiapan bagi menerima undi rakyat Malaysia dari luar negara sempena Pilihan Raya Negeri. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

Bagaimanapun pakar memberitahu Bernama, sama ada jumlah pengundi muda keluar mengundi tinggi ataupun tidak, ini tidak bermakna keputusan sudah termaktub. Sekalipun sesetengah pemerhati seperti Danesh, percaya kebanyakan undi belia akan memihak PN, Wee dan Azmi pula yakin undi golongan muda masih tidak dapat dipastikan. 

“Kajian terkemudian menunjukkan pengundi muda amnya masih di atas pagar dan boleh berubah,” kata Wee.

Azmi yang juga felow kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, berkata belia masih memikirkan apa yang penting untuk mereka dan parti atau calon mana yang terbaik bagi mewakili mereka. Tambah beliau, pengundi muda juga tidak takut bereksperimen.

“Ada kemungkinan (disebabkan oleh) PN sebuah pakatan baharu (berbanding BN dan PH). Saya rasa mereka mahu mencuba sesuatu yang baharu jadi mereka sokong PN-PAS,” katanya.

Akan tetapi, tanpa pengundi muda juga tidak bermakna gelombang hijau tidak akan berlaku

Suasana sekarang adalah sesuatu yang belum pernah dilalui oleh pengundi lain yang terpaksa berpuas hati dengan kerjasama bekas musuh ketat PH-BN menentang bekas sekutu PN-PAS.

Pensyarah kanan daripada Universiti Sains Malaysia Dr Zaireeni Azmi berkata bukan Melayu yang lazimnya adalah pengundi PH, mungkin berasa kecewa dengan kerjasama PH dan BN. Beliau berkata ada kemungkinan mereka memutuskan untuk “menghukum” kerajaan perpaduan dengan tidak keluar mengundi atau membuat undi rosak. 

“Mereka sangka PH akan melakukan sesuatu yang berbeza bagi membanteras rasuah. Satu daripada sebab utama mereka mengundi PH ialah kerana (dakwaan rasuah) pemimpin UMNO, akan tetapi BN kemudian menjadi sebahagian daripada gabungan,” katanya.

Di sebaliknya pula, pengundi BN, kebanyakannya warga emas dan orang Melayu, mungkin tidak mahu mengundi PH dan beralih kepada PN. Danesh memberi contoh Pilihan Raya Kecil Padang Serai yang berlangsung selepas PRU15.

“PH bersetuju mengundi (calon) BN, namun hal itu tidak diterima di Padang Serai, yang saya percaya mungkin antara faktor Padang Serai jatuh ke tangan PN,” ujarnya.

 

PENDIDIKAN

Sememangnya PRN kurang mendapat perhatian pengundi berbanding PRU - hanya sebilangan kecil pemilih keluar mengundi di kawasan bandar berbanding kawasan luar bandar - kerana kebanyakannya percaya PRN tidak sepenting pilihan raya peringkat persekutuan. Menurut pakar, hal itu tidak benar sama sekali.

Mereka menggesa agar pengundi diberikan penjelasan yang lebih baik. Perkara ini boleh dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, parti-parti politik atau pemerhati pilihan raya. Kata pakar, pengundi perlu faham bagaimana sistem demokrasi di Malaysia berjalan, perbezaan antara kerajaan negeri dan persekutuan, serta impak pengundian.

“Itulah kebimbangan utama yang kami lihat sekarang, terutama libat urus dalam talian serta pembabitan belia; tahap kefahaman pengundi masih pada peringkat ‘Mengapa kita adakan PRN,’  berbanding ‘Siapa yang bertanding di kawasan anda’,”  kata Wee.

Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Pilihanraya Negeri tidak berapa popular di kalangan kommuniti bukan Melayu, menurut pakar politik. --fotoBERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA

Zaireeni berkata jika tidak ditangani, salah faham tentang sistem politik di Malaysia akan melahirkan pengundi yang tidak peduli.

Menurut beliau, pengundi berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan hakikat bahawa realiti politik semasa di Malaysia sudah berubah dengan BN bukan lagi parti dominan. Pengundi juga perlu faham bahawa tanpa sebuah parti yang dominan, sistem parlimen Westminster memerlukan kompromi dan pembentukan gabungan.

“Mereka cuma mahu lihat hitam dan putih,” katanya. “Sebelum ini binari, iaitu sama ada BN atau pembangkang.”

Wong berkata jumlah keluar mengundi merentasi semua demografi adalah penting bagi demokrasi yang sihat serta memastikan kepentingan mereka didengar. Menang dengan sokongan minoriti menyukarkan lagi pentadbiran selain menimbulkan isu keabsahan.

“Ahli politik mungkin melihat (jumlah keluar mengundi rendah) dalam dua cara. Yang pertama, ‘Ini adalah kawasan penting. Saya percaya ada banyak potensi untuk kita semua ke sana bagi mendapatkan sokongan mereka’.

“Namun, keadaan mungkin juga sebaliknya. ‘Mereka ini tidak peduli tentang hak mereka, jadi kita tidak perlu bimbang tentang mereka menghukum kita jika kita tidak buat seperti yang mereka mahu’,” katanya.

Tambah Wong, adalah amat penting untuk mengundi pada PRN kerana undi itu akan menentukan bagaimana kehidupan hari ke hari  seseorang.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab terhadap perkara seperti pengezonan dan pelesenan perniagaan, perlindungan alam sekitar serta perkhidmatan pengurusan sisa pepejal, dan memandangkan “kita tidak ada pilihan raya pihak berkuasa tempatan, apabila kita mengundi bagi memilih kerajaan negeri (yang seterusnya), kita juga mengundi bagi memilih majlis perbandaran kita.”

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.