Seperti ramai anak muda lain, isu siswazah menganggur pada tahun 2021 akibat beberapa peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak Mac 2020 akibat pandemik COVID-19, turut membelenggu kehidupan Nurfatin Hamzah.
"Saya dan tiga orang rakan saya yang tamat pengajian mengalami kesukaran mencari pekerjaan dan kami tidak tahu ke mana hendak pergi dan dengan siapa yang kami perlu mengadu. Mereka yang masih belajar juga melahirkan kebimbangan memilih subjek elektif/kursus universiti (untuk pastikan peluang pekerjaan yang lebih baik di masa depan).
“Kami mahu menceburi bidang pekerjaan hijau tetapi pada masa yang sama bimbang kerana kebanyakannya tidak menawarkan gaji lumayan dan sering berkait rapat dengan pertubuhan bukan kerajaan (tidak ramai yang hendak mahu menceburi dalam bidang ini)," kata Nurfatin, siswazah bidang biologi dari University of York, England.
“Salah seorang daripada rakan kami, Max Han diterima menyertai satu program mentor dalam talian dan dia begitu teruja dengan pengalamannya dan berkongsi dengan kami faedah program itu.
“Dengan Max dan beberapa orang rakan, kami menubuhkan satu program kebimbingan yang memberi fokus kepada kelestarian dan pekerjaan hijau kepada golongan muda di bawah nama Youths United For Earth (YUFE) pada suku pertama 2021," kata Nurfatin, pengasas bersama YUFE sewaktu berkongsi pengalamannya sebagai panel sesi plenari ASEAN Youth Panel on Green Jobs di Forum ASEAN Green Jobs 2024.
pic-2
Menerusi YUFE, program diatur untuk menggerakkan rakyat Malaysia peka dengan isu-isu alam sekitar. Program berkenaan, antaranya, penceritaan, projek akar umbi dan advokasi dasar. YUFE juga turut melancarkan program mentor kelestarian untuk belia yang pertama di Malaysia untuk menggalakkan anak-anak muda berminat menceburi bidang pekerjaan hijau.
Program itu turut menghubungkan mahasiswa dengan pemimpin global alam sekitar, yang membuka peluang untuk mereka menjalani latihan amali, pekerjaan hijau dan permulaan ekologi. Lebih 210 orang peserta terdiri daripada mahasiwa dengan 140 orang mentor menyertai program ini setakat ini.
Nurfatin yang juga perunding juara iklim UNICEF berpandangan, golongan belia hari ini adalah lebih peka dengan kesulitan serta cabaran perubahan iklim.
"Mereka membesar dengan mengalami sendiri kesan perubahan iklim dan ini menghasilkan generasi pekerja yang lebih cenderung mencari pekerjaan yang ada kaitan dengan nilai sosial dan alam sekitar.
"Tentunya sesuai sekali untuk mereka memainkan peranan yang lebih besar dalam pasaran pekerjaan hijau, trend baru dalam pasaran buruh, akibat krisis iklim, " katanya, sambil menekankan bahawa anak muda masa kini menilai pencapaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sesebuah syarikat sebelum menimbangkan sebarang peluang penggajian.
PASARAN ‘PEKERJAAN HIJAU’
Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), pekerjaan hijau dalam mana-mana sektor ekonomi adalah untuk menyumbang kepada pengekalan serta pemulihan alam sekitar, sehingga membawa kepada tahap mampan.
ILO juga mentakrifkan pekerjaan hijau sebagai pekerjaan yang sesuai dengan pekerja diberi sekurang-kurangnya gaji minimum, keadaan kerja yang selamat dan perlindungan sosial yang menggalak serta menghormati dialog sosial dan hak pekerja.
Pekerjaan hijau juga bermaksud memperbaiki kecekapan dalam penggunaan tenaga serta bahan mentah, mengehadkan pelepasan gas rumah hijau, meminimumkan sisa serta pencemaran, melindungi dan memulihkan sistem ekologi di samping menyokong adaptasi kesan perubahan iklim.
pic-3
Menurut pakar kemahiran kanan dan kebolehkerjaan ILO Dr Akiko Sakamoto, tenaga yang boleh diperbaharui adalah salah satu sektor utama untuk pembangunan pekerjaan baharu di bawah pekerjaan hijau.
"Terdapat banyak potensi pertumbuhan pekerjaan hijau. Menurut Laporan Hijau Global LinkedIn dari tahun 2022, pengurus kelestarian, pakar keselamatan kesihatan alam sekitar, perunding solar, juruteknik turbin udara dan pakar ekologi adalah antara pekerjaan hijau paling pantas berkembang secara global antara tahun 2016 hingga 2021.
"Bagaimanapun, pertumbuhan pekerjaan hijau di Asia Pasifik iaitu 30 peratus kerana kekurangan tenaga mahir hijau di rantau ini, agak ketinggalan di belakang Eropah yang mencatat pertumbuhan 41 peratus sementara Amerika Syarikat, 70 peratus, " katanya.
ILO menganggarkan sebanyak 14.2 juta pekerjaan boleh diwujudkan di rantau Asia Pasifik menjelang tahun 2030 sekiranya negara di rantau berkenaan mengamalkan perubahan dalam penggunaan tenaga yang mengehadkan kenaikan suhu global kepada dua celcius sahaja.
"Menurut Laporan Bank Pembangunan Asia 2021, melabur lebih daripada AS$172 bilion dalam lima peluang pertumbuhan hijau, iaitu pertanian produktif dan regeneratif, lautan sihat dan produktif, pembangunan bandar serta model pengangkutan mampan, model ekonomi bulat dan tenaga boleh diperbaharui dan cekap, boleh menghasilkan 30 juta pekerjaan di Asia Tenggara menjelang 2030, " katanya.
PENUHI JURANG PENGANGGURAN
Menurut Sakamoto, berdasarkan penyelidikan yang dijalankan oleh ILO pada tahun 2019, dijangkakan tujuh juta pekerjaan berdepan risiko pemusnahan dan dua juta pekerjaan boleh terhapus menjelang tahun 2030.
"Bagaimanapun, lima juta pekerjaan boleh diperuntukkan dalam kategori pekerjaan yang sama dalam industri yang sedang berkembang sekiranya latihan semula kemahiran dan peningkatan kemahiran disediakan," katanya, menambah pekerjaan hijau memerlukan kemahiran baharu.
Bagaimanapun, Sakamoto menasihatkan bahawa ia 'mestilah peralihan yang adil dengan impak positif yang jelas terhadap pasaran buruh, yang bermakna beban perubahan yang memanfaatkan semua orang tidak akan terkesan ke atas segelintir pihak sahaja.
pic-4
Kebanyakan pakar pekerjaan percaya ekonomi hijau seperti kelestarian serta penjagaan alam sekitar semakin menjadi penting kepada masyarakat, termasuk Malaysia dan dengan perubahan ini akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan hijau.
Dalam Belanjawan 2024, sebanyak RM230 bilion diperuntukkan bagi agenda pembangunan berkait kelestarian dan daripada jumlah itu, RM30 bilion adalah suntikan fiskal daripada kerajaan sementara RM200 bilion pula, komitmen sektor swasta.
Rangka kerja strategik seperti Pelan Induk Teknologi Hijau (GMTP) 2017-2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dijangka menarik pelaburan sehingga sebanyak RM1.3 trilion, melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada RM220 bilion, dan juga mewujudkan lebih 300,000 peluang pekerjaan hijau di negara ini menjelang tahun 2050.
Ia juga menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran negara yang dicatat 3.3 peratus pada Februari 2024, dengan bilangan penganggur seramai 567,000 orang berbanding 4.6 peratus dan 733,000 orang penganggur pada tahun 2021.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, peralihan kepada pekerjaan hijau di Malaysia dilihat semakin mendesak.
"Rantau kita, seperti yang lain, menghadapi cabaran perubahan iklim saling berkait, kerugian kepelbagaian biologi dan pengurangan sumber. Perubahan iklim semakin ketara berbanding sebelumnya. Malahan hari ini, rantau kita mengalami keadaan cuaca yang tidak menentu di samping cuaca melampau yang berpanjangan.
"Cabaran-cabaran ini menuntut penyelesaian berinovatif, yang bukan sahaja mengurangkan kesan alam sekitar tetapi juga mewujudkan laluan baharu untuk penggajian dan kemakmuran ekonomi, " katanya di majlis berkenaan.
LEBIH BANYAK PELUANG PEKERJAAN HIJAU
Sementara itu, Ketua Sistem Insurans Penggajian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Azirruan Arifin memberitahu Bernama, terdapat sekitar 30,000 pekerjaan hijau, menurut data dari MYFutureJobs tahun lepas.
"Setakat April tahun ini, kami sudah mempunyai 4,000 pekerjaan hijau untuk dipohon," katanya menambah, keutamaan akan diberikan kepada pengambilan calon tempatan, terutama golongan belia yang menganggur serta mereka yang baharu tamat pengajian di universiti, bagi mengisi jurang pengangguran.
Menurut beliau, PERKESO juga aktif dalam memenuhi jurang pengangguran dengan bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia bagi memberi pendedahan kepada banduan mengenai peluang pekerjaan dalam industri hijau.
"Kita tidak mahu banduan terlepas peluang pekerjaan apabila mereka dibebaskan daripada tahanan penjara dan berakhir sebagai penganggur akibat stigma sosial.
"Di samping berkongsi maklumat ini, kami juga menggalakkan syarikat untuk mengambil mereka bekerja bagi menjamin mereka diberi peluang kedua, dengan itu dapat menurunkan kadar pengangguran dalam kalangan masyakarat tempatan," katanya.
pic-5
Beliau berkata, KESUMA juga mengadakan Karnival Kemahiran Hijau 2024 di Avenue K yang berlangsung dari 25-27 April, yang menawarkan 3,000 pekerjaan di sektor hijau dengan gaji bulanan antara RM3,000 hingga RM16,000.
"PERKESO juga menganjurkan beberapa siri Karnival Kerjaya MYFutureJobs KESUMA Madani sempena Hari Pekerja 2024, bermula di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 30 April dan 1 Mei, yang menawarkan lebih 10,000 kekosongan pekerjaan.
" Siri karnival kerjaya ini juga akan dianjurkan di Kelantan pada 4 dan 5 Mei dan di Sarawak pada 18 dan 19 Mei, " katanya.
TVET, LATIHAN SAMBIL BEKERJA
Laporan Kemahiran Hijau Global 2023 turut menekankan keperluan menggabungkan kemahiran hijau dalam sistem pendidikan negara sebagai langkah mempersiapkan pekerja tempatan dengan perubahan landskap pekerjaan.’
Dalam hal ini, institusi-institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) muncul sebagai pemain utama dalam menyediakan pasukan pekerja yang mampu menyumbang kepada pembangunan mampan dan inklusif.
Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis Ahmad Nizam Che Kassim berkata, institusi TVET berada dalam kedudukan unik untuk merapatkan jurang antara pendidikan tradisional dengan keperluan industri yang senantiasa berubah, terutama dalam pekerjaan hijau.
"Dengan mengintegrasikan kemahiran hijau dalam kurikulum mereka, institusi ini boleh memperkasakan pelajar dengan pengetahuan teknikal dan pengalaman amali yang diperlukan berkembang dalam sektor yang penting kepada kelestarian alam sekitar.
"Kursus TVET yang ada kaitan dengan pekerjaan hijau di Malaysia sudah tentunya aspek penting untuk ditimbangkan, bagaimanapun, ianya mungkin tidak mencukupi bagi melengkapkan golongan muda untuk menjadi pasukan pekerja itu, terutama permintaan yang semakin meningkat untuk kemahiran hijau dalam pelbagai industri pada masa ini, " beliau memberitahu Bernama dalam temu bual menerusi emel.
pic-6
Beliau bagaimanapun berkata, kerajan perlu fokus kepada pelaburan, membangun serta memperluaskan kursus-kursus berkenaan dengan mewujudkan lebih banyak dana untuk penyelidikan berkait dengan pekerjaan hijau atau kemahiran menerusi Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
"Bagi saya kerajaan memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara permintaan dan bekalan kemahiran hijau serta peluang pekerjaan.
"Ini mungkin melibatkan inisiatif seperti perkongsian dengan industri bagi membangunkan kurikulum yang relevan, menyediakan insentif untuk institusi menawarkan lebih banyak kursus TVET berkait dengan pekerjaan hijau di samping meningkatkan kolaborasi antara institusi pendidikan dan perniagaan bagi memastikan pelajar yang tamat pengajian dilengkapkan dengan kemahiran yang diperlukan," katanya.
Ahmad Nizam juga berkata, pelepasan cukai atau pemberian insentif kepada syarikat, terutamanya perusahaan kecil sederhana perlu diberikan dalam program latihan yang menumpukan kepada kemahiran hijau.
Langkah itu, tambahnya, dapat membantu meringankan sedikit sebanyak beban kewangan serta menggalakkan lebih banyak perniagaan untuk mengutamakan peningkatan kemahiran atau latihan semula kemahiran pasukan pekerja mereka dalam bidang berkenaan.
Ketua Pegawai Strategi HRD Corp Rony A Gobilee pula menekankan, menerusi penyedia latihan berdaftar, HRD Corp menawarkan banyak latihan berkait pekerjaan hijau yang boleh digunakan oleh majikan untuk pekerja mereka.
"Kami melihat banyak peningkatan dalam latihan berkaitan teknologi hijau, pertanian dan pembinaan pintar dengan lebih 95 peratus kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) dari tahun 2021 hingga 2023. Ini kemajuan yang positif dalam kalangan industri Malaysia, " katanya.
CAGR adalah metrik yang digunakan dalam perniagaan, ekonomi dan pelaburan bagi mengukur purata kadar pertumbuhan tahunan untuk nilai kompaun bagi satu tempoh tertentu.
Ia juga dikenali sebagai kadar pulangan yang "diperlicinkan" kerana ia mengukur pertumbuhan pelaburan seolah-olah ia berkembang pada kadar yang stabil atas asas tahunan yang dikompaunkan.
Bagaimanapun, menurut Rony, berdasarkan pemerhatian serta pengalamannya, majikan perlu melakukan lebih lagi, bukan setakat menghantar pekerja mereka untuk latihan.
Untuk itu, beliau merayu kepada majikan bukan sahaja memastikan pekerja mereka menghadiri latihan tetapi juga melaksanakannya, sebaik sahaja pekerja itu kembali ke tempat kerja.
"Saya perhatikan terdapat aspek yang hilang dalam kalangan pengamal Sumber Manusia, iaitu anda menghantar pekerja tertentu untuk latihan pekerjaan hijau tertentu tanpa menjelaskan mengapa dan apa yang perlu dilakukan kemudian.
"Kita perlu faham bahawa apabila anda dihantar untuk latihan, anda perlu mampu menterjemahkan latihan dan apa yang dipelajari di tempat kerja. Ini yang dikatakan menutup jurang kemahiran. Kita bukan sahaja menutup jurang kemahiran di atas kertas," katanya.
Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial