Paya Gambut: Ekosistem Penting Kawal Banjir, Suhu Bumi dan Penyerap Karbon Semula Jadi

C
uaca pada pagi 11 Julai itu mendung dengan hujan gerimis, namun peserta Program Penanaman Semula Hutan Paya di Hutan Simpan Raja Musa (HSRM) masih tidak berganjak daripada tempat mereka berkumpul.

Seawal pukul 7.30 pagi lagi, seramai 60 peserta terdiri daripada 24 wakil kumpulan komuniti dan warga Yayasan Petronas sudah melaporkan diri di hadapan Tapak Semaian Anak Pokok Sahabat Hutan Gambut Selangor Utara di Kampung Bukit Belimbing sebagai 'hentian pertama' sebelum aktiviti penanaman pokok di HSRM. 

Aktiviti tersebut adalah sebahagian daripada program sehari Forum Pembelajaran Bersama Komuniti dan Lawatan Sambil Belajar ke kawasan hutan paya di sekitar utara Selangor, anjuran Pusat Alam Sekitar Global (Global Environment Centre GEC) dan Yayasan Petronas.

GEC adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam usaha melindungi alam sekitar ini sejak 19 tahun lalu, serta mempunyai kepakaran dan pengetahuan meluas dalam memulihara sungai, paya gambut, tanah gambut selain pelbagai program kemasyarakatan dan pembangunan.

HSRM meliputi kawasan seluas 35,656 hektar dan adalah sebahagian daripada Hutan Paya Gambut Selangor Utara (HPGSU) yang terletak di bahagian barat laut Negeri Selangor.

Penulis serta empat lagi pengamal media lain berpeluang menyertai program berkenaan dan dapat melihat sendiri bagaimana masyarakat setempat  berganding bahu dengan peserta program 'bergotong-royong' melakukan kerja rehabilitasi Hutan Paya Gambut Selangor Utara.

 

TAPAK SEMAIAN ANAK POKOK HUTAN GAMBUT 

"Selamat datang ke Tapak Semaian Anak Pokok Sahabat Hutan Gambut Selangor Utara," kami disapa seorang lelaki berusia dalam lingkungan umur 60-an dengan jarinya  menunjukkan ke papan tanda di hadapan tapak semai itu sambil tersenyum. 

Beliau memberitahu kami namanya Nordin Bardan dan mengendalikan Tapak Semaian Anak Pokok Sahabat Hutan Gambut Selangor sejak tahun 2012 lagi, ketika  masih lagi berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Belimbing. 

Tapak Semaian Anak Pokok Sahabat Hutan Gambut Selangor Utara di Kampung Bukit Belimbing sebagai 'hentian pertama' sebelum aktiviti penanaman pokok di Hutan Simpan Raja Musa.

Sambil membawa kami melawat ke tapak semaian itu, Nordin, 65,  yang mesra dipanggil  Cikgu itu berkata, sebanyak tujuh spesies anak pokok hutan gambut berjaya ditanam di tapak semaian itu, hasil kerjasama antara GEC, syarikat korporat dan sekolah berdekatan. 

"Antara spesies pokok yang ada di sini termasuklah pokok tenggek burung, pulai, mahang dan alstonia. Lebih 3,000 anak pokok berjaya ditanam di tapak semaian ini setakat ini.

"Di tapak semaian ini juga turut ditanam pokok buah seperti kerdas, petai dan jering hasil kerjasama dengan penduduk kampung," katanya menambah, kebanyakan anak benih pokok dibekalkan oleh GEC. 

Menurut Cikgu Nordin, sebaik sahaja anak pokok mencecah antara 15 hingga 20 sentimeter, 10 peratus daripadanya dibekalkan untuk aktiviti penanaman semula HPGSU, manakala ada juga yang turut disumbangkan ke sekolah berdekatan. 

"Hasil-hasil tanaman seperti petai, buah kerdas dan jengking juga akan turut menjadi sumber makanan buat penduduk kampung di sini," katanya yang menjadi penyelaras tapak semaian itu sepenuh masa sejak bersara lima tahun lepas.

 

PENANAMAN HUTAN PAYA GAMBUT

Sebaik sahaja selesai taklimat dan lawatan tapak semaian, kami bergerak ke HSRM dengan membawa anak-anak pokok untuk aktiviti penanaman pokok. 

Terletak kira-kira 12 kilometer dari Kampung Bukit Belimbing, penulis serta empat lagi rakan-rakan media diaturkan untuk menaiki kenderaan pacuan empat roda yang dipandu sendiri oleh pengarah GEC, Faizal Parish untuk ke HSRM.  Peserta lain pula menaiki bas yang disediakan.

Sepanjang perjalanan kira-kira 15 minit itu, kami berasa teruja kerana sebelum ini tidak pernah melawat ataupun menjejakkan kaki ke hutan tanah gambut, yang sering dilaporkan tentang kemusnahannya akibat pembangunan pesat dan cuaca panas. 

Peserta-peserta gembira menanam anak pokok yang dibawa dari tapak semaian ke Hutan Simpan Raja Musa

"HSRM adalah sebahagian daripada HPGSU. Selain itu, HPGSU juga merangkumi tiga hutan simpan yang lain seperti Hutan Simpan Sungai Karang seluas 37,416 hektar, Hutan Simpan Bukit Belata (Tambahan) (4,342 hektar) dan Hutan Simpan Sungai Dusun (5,091 hektar). 

"Jumlah keseluruhan keluasan HPGSU ini menjadikannya lebih besar sedikit daripada Singapura!" sambil memandu, Parish berkongsi maklumat tentang HPGSU kepada kami. 

Dalam perjalanan menuju ke HSRM, boleh dilihat banyak kawasan bekas ladang kelapa sawit dan kebanyakan pokoknya membengkok akibat ditanam di atas tanah gambut. 

"Pokok kelapa sawit yang ditanam di tanah gambut akan tumbang apabila akar rambut tidak dipegang oleh tanah dan memang banyak masalah untuk menguruskannya.

"Sebab itu adalah penting untuk mengkaji terlebih dahulu struktur tanah sebelum melakukan sesuatu aktiviti pertanian ataupun penanaman," kata Parish yang juga pakar dalam ilmu hutan tanah gambut. 

Menurut beliau, kebiasaannya hutan paya gambut ‘dikorbankan’ untuk memberi laluan kepada pembangunan serta perladangan dan ada juga yang menjadi mangsa aktiviti pertanian haram.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan air disalirkan keluar daripada hutan paya gambut yang bertindak secara semula jadi sebagai ‘pengawal banjir’ dan menyebabkan kawasan berkenaaan akhirnya menjadi kering dan musnah.

Beliau berkata, pemuliharaan dan pemeliharaan hutan paya gambut ini bukan hanya terletak kepada kerajaan semasa sahaja, tetapi juga perlu melibatkan NGO dan masyarakat setempat, lebih-lebih lagi apabila cuaca tidak menentu akibat perubahan iklim. 

"Tidak mungkin untuk kerajaan sahaja memikul tanggungjawab bagi melindungi kawasan hutan termasuk paya gambut dan melindunginya daripada insiden yang tidak diingini selepas kebakaran hutan, pencerobohan dan pembalakan haram. 

"Kami berusaha memperkasakan masyarakat setempat untuk menjadi penjaga hutan, bukan sahaja membantu meronda kawasan tetapi juga memulihkan kawasan yang rosak teruk," katanya. 

 

TERUJA  DAN TERPEGUN

Setibanya di HSRM, semua peserta termasuk kami dibekalkan dengan kasut but sebelum memasuki kawasan hutan gambut yang bahagian permukaannya kelihatan tidak rata, untuk misi penanaman pokok. 

Boleh dikatakan hampir kesemua peserta yang pertama kali menjejakkan kaki ke atas permukaan tanah gambut, begitu teruja kerana berasa seolah-olah memijak di atas span yang dipenuhi air, tambahan pula baru sahaja hujan pada pagi itu. 

Masing-masing juga begitu gembira menanam anak pokok yang dibawa dari tapak semaian, termasuk rakan media, Elena yang berkata, "Tak sabarlah nak melihat anak-anak pokok ini membesar."

Selepas selesai aktiviti penanaman pokok, semua peserta berkumpul di sebuah pondok berhadapan dengan pintu gerbang HSRM bagi mendengar taklimat pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya gambut, yang disampaikan pengurus program hutan dan persisiran pantai GEC, Nagarajan Rengasamy. 

Menurun Nagarajan, sejak tahun 2008, GEC dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor menggerakkan lebih daripada 25,000 sukarelawan, melalui kempen penanaman pokok di HSRM dan menanam lebih 300,000 anak pokok di kawasan seluar 350 hektar. 

Seawal pukul 7.30 pagi lagi, seramai 60 peserta terdiri daripada 24 wakil kumpulan komuniti dan warga Yayasan Petronas sudah melaporkan diri di hadapan Tapak Semaian Anak Pokok Sahabat Hutan Gambut Selangor Utara di Kampung Bukit Belimbing

"Sebelum ini, Hutan Simpan Raja Muda Musa mengalami kebakaran pada tahun 2014, melibatkan lebih 400 hektar dan mengambil masa selama dua bulan bagi memadamnya.

"Objektif aktiviti penanaman semula di Hutan Simpan Raja Musa adalah untuk mengurangkan kejadian jerebu akibat kebakaran hutan tanah gambut, menurunkan suhu bumi dan ‘menghutankan’ semula HPG yang terosot.

"Aktiviti penanaman pokok bukan hanya sekadar menanam pada hari ini sahaja kemudian beredar, tetapi juga melawatnya dan menjaganya secara berterusan bagi memastikan pokok membesar dengan sihat," katanya. 

Beliau berkata, walaupun ada yang menganggap aktiviti menanam pokok hanya satu sumbangan kecil, tetapi jika ia dilakukan secara berterusan mampu memberi impak besar kepada kehidupan, apatah lagi dalam keadaan cuaca dunia yang sentiasa mengalami perubahan kesan tindakan manusia sendiri.

"Kita sering terlepas pandang tentang penjagaan hutan paya gambut walaupun tahu kepentingan dan fungsinya.

“Kami berharap dengan inisiatif ini, lebih ramai orang akan tahu peranan dan sumbangan hutan paya gambut kepada kita, seterusnya mengambil langkah proaktif dalam menyokong melindungi dan memulihara hutan paya gambut.

“Kami gembira apabila semakin banyak syarikat menunjukkan minat yang bukan saja membabitkan penanaman tetapi turut terbabit dalam penjagaan jangka panjang untuk memastikan pokok yang ditanam hidup subur,” katanya.

 

SELAMAT UNTUK DIMAKAN

Ketika taklimat itu, Parish turut memperkenalkan jenis sampel tanah gambut yang terdapat di sekitar kawasan HSRM itu dengan mengambil sedikit dan memasukkan ke dalam mulutnya untuk dimakan. 

Sudah tentu gelagat beliau membuatkan ada peserta yang terpegun, melihat Parish secara selamba memakan serpihan tanah gambut seperti memakan coklat. 

"Jangan risau, ia selamat untuk dimakan. Rasanya masam kerana tahap asidnya yang tinggi menyebabkannya bebas daripada bakteria, kaya dengan fiber dan sangat baik untuk kesihatan manusia," katanya.

Menurut Parish, hutan paya gambut adalah sesuatu ekosistem tanah bencah (wetland) yang unik kerana pembentukannya adalah hasil daripada pengumpulan dan pemendapan bahan organik yang tidak mereput sepenuhnya dan merupakan habitat kepada pelbagai hidupan termasuklah juga yang terancam. 

"Tanah gambut juga adalah penyimpan karbon terpenting di rantau ini, sangat penting untuk pengaturan iklim, kaya dengan kepelbagaian biologi dan sumber kehidupan komuniti setempat.

"Paya gambut contohnya, adalah ekosistem penting untuk mengawal banjir, menjadi ‘rumah’ kepada pelbagai hidupan alam yang unik dan paling utama ia turut membantu mengawal suhu bumi.

Walaupun liputan paya gambut hanya tiga peratus daripada keseluruhan permukaan bumi, ia bertanggungjawab menyerap lima kali ganda karbon dioksida berbanding hutan tropika lain," katanya. 

 

BELAJAR DARI KOMUNITI

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas Shariah Nelly Francis berkata, program penanaman pokok yang juga sebahagian daripada kempen #Walk4Trees Challenge itu perlu melibatkan masyarakat tempatan kerana mereka lebih tahu dan berpengalaman dalam bidang pertanian.

"Penanaman pokok bukan sekadar hanya menanam dan menjana kredit karbon sahaja, tetapi juga penglibatan secara berterusan dengan masyarakat setempat dan NGO untuk memelihara dan memulihara pokok-pokok dalam jangka masa panjang supaya mencapai sasaran menghijaukan bumi kita demi mengatasi masalah perubahan iklim. 

"Banyak yang kita oleh pelajari daripada mereka dan saya sendiri kagum melihat mereka berkongsi pengalaman dalam mewujudkan kumpulan juara alam semula jadi.

"Kebingkasan serta kesediaan mereka untuk memikul peranan menjaga hutan menjadikan mereka ini sebenarnya wira alam semula jadi yang tidak didendang," katanya. 

Aktiviti penanaman pokok dalam Program Penghijauan Malaysia turut dilaksanakan oleh syarikat dan entiti lain bagi menjana kredit karbon yang boleh didagangkan di Bursa Carbon Exchange (BCX), iaitu pasaran karbon sukarela (VCM), untuk mengimbangi pelepasan karbon mereka.

BCX dilancarkan pada 9 Disember 2022 dan dijangka mula berdagang pada Mac tahun ini (2023) dan kredit karbon boleh dibida oleh syarikat. Kredit karbon adalah permit atau sijil yang membenarkan pemiliknya melepaskan karbon atau gas rumah kaca (GHG) pada kadar tertentu.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.