S
etiap kali memandu pulang ke kampung halaman di Kuala Krai, Kelantan, penulis pasti berasa terpegun melihat kehijauan hutan dan deretan gua batu kapur yang terdapat di sepanjang Jalan Merapoh-Gua Musang sepanjang 69 kilometer itu.
Sekian lama juga terpendam keinginan untuk meredah hutan, menikmati keindahan alam semula jadi hutan simpan serta meneroka gua batu kapur yang pastinya menyimpan pelbagai rahsia khazanah alam.
Impian itu menjadi kenyataan apabila penulis baru-baru ini berpeluang menyertai Ekspedisi Lembah Tanum yang terletak berhampiran Kuala Lipis dan Gua Musang, kawasan yang menggabungkan antara Sungai Temau, Chegar Perah, Sungai Yu dan Kubang Rusa.
Program selama tiga hari (12-15 September) yang dianjurkan oleh Improving Connectivity in the Central Forest Spine (IC-CFS) dengan kerjasama Tourism Pahang, Tuah Travel dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang turut disertai lima wakil media lain.
Gua Sisik Naga mempunyai keindahan dinding yang menyerupai bahagian tulang belakang dan sisik naga.
Meskipun sudah agak lama tidak menyertai aktiviti lasak, menyertai ekspedisi itu antara pengalaman yang sangat berharga, meredah hutan simpan sekitar Lebuh Raya Central Spine Road (CSR), peluang mengenali gua batu kapur yang berusia lebih 100 tahun, berkayak di Sungai Tanum, serta berkunjung ke perkampungan orang asli suku kaum Batek di Kampung Kepong, Chegar Perah.
Difahamkan lebih 500 gua terdapat di sekitar Merapoh namun sehingga hari ini hanya 100 yang ditemui antaranya Gua Tahi Bintang, Gua Sisik Naga, Gua Temalong, Gua Jinjang Pelamin dan Gua Hari Malaysia.
Rasa teruja bermula saat menaiki tren dari Stesen Sentral Kuala Lumpur menuju Kampung Sungai Temau yang mengambil masa kira-kira 12 jam. Dari KL Sentral, kami dan beberapa orang wakil penganjur menaiki perkhidmatan tren elektrik (ETS) pada pukul 9:30 malam dan sampai di Stesen Gemas pada tengah malam, sebelum menaiki tren Ekpress Rakyat Timuran pada pukul 1:00 pagi, untuk ke Stesen Keretapi Sungai Temau.
AKTIVITI LASAK BERKAYAK
Kami tiba di Stesen Keretapi Sungai Temau pada pukul 7 pagi, dalam suasana pagi yang berkabus. Selepas sarapan pagi di balai raya dan mendengar taklimat berhubung produk ekopelancongan Lembah Tanum, kami bergerak ke Kuala Sungai Yu untuk aktiviti berkayak, terletak kira-kira 10 kilometer dari kampung itu.
Kunjungan ke Lembah Tanum dianggap tidak lengkap sekiranya tidak mencuba aktiviti berkayak dari Kuala Sungai Yu ke Jeti Sungai Tanum baik bagi pelancong tempatan mahupun luar negara sebelum meneroka gua berdekatan.
Perasaan penulis bercampur baur antara teruja dan bimbang kerana buat pertama kalinya berkayak di sungai walaupun sebelum ini pernah melakukan aktiviti itu di tasik dan ketika membuat liputan banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam kira-kira dua tahun lepas.
Kunjungan ke Lembah Tanum dianggap tidak lengkap sekiranya tidak mencuba aktiviti berkayak dari Kuala Sungai Yu ke Jeti Sungai Tanum baik bagi pelancong tempatan mahupun luar negara sebelum meneroka gua berdekatan.
Setelah mengenakan jaket keselamatan, kami memulakan aktiviti berkayak dari Kuala Sungai Yu ke Jeti Sungai Tanum yang mengambil masa kira-kira 50 minit.
Kami dimaklumkan laluan berkayak di sepanjang sungai itu akan menjadi lebih mencabar jika ada pokok tumbang menjadi penghalang di dalam air, dan perlu mengharungi beberapa jeram kecil serta boleh membahayakan jika hujan menyebabkan paras air menjadi lebih tinggi.
Namun kami bernasib baik kerana cuaca baik pada sehari sebelumnya menjadikan paras air lebih cetek dan tenang.
Biarpun sedikit penat, namun keindahan alam semula jadi di sepanjang perjalanan menjadikan rasa lelah itu berbaloi.
Majoriti peserta basah lencun selepas melakukan aktiviti berkayak, namun tetap bersemangat untuk meneroka Gua Temalong, antara gua yang terkenal dengan pokok ara yang mengelilinginya serta merupakan habitat hidupan liar seperti landak, kelawar dan babi hutan.
Sebelum sampai ke di Gua Temalong, kami perlu melakukan aktiviti meredah hutan (jungle trekking) selama kira-kira 20 minit. Mereka yang merancang untuk ke gua itu perlu memakai kasut yang sesuai kerana laluan licin terutama ketika menyusuri batu jeram di sepanjang gua.
Selain terpaksa melalui laluan yang mencabar untuk memasuki gua, pembentukan saiz batu kapur akibat hakisan air dan angin menyebabkan peserta perlu lebih berhati-hati ketika berjalan di dalam gua, ditambah pula keadaan gua yang kelam, dingin dan ruang yang sempit.
Antara keindahan dan keunikan gua batu kapur ialah formasi stalaktit dan stalagmit yang terbentuk ratusan juta tahun. Keistimewaan Gua Temalong pula tidak hanya terletak di bahagian dalamnya sahaja, sebaliknya deretan pokok ara yang mengelilingi gua, menjadikan landskap kawasan itu begitu menakjubkan dan sememangnya menjadi pengemar fotografi.
Keistimewaan Gua Temalong pula tidak hanya terletak di bahagian dalamnya sahaja, sebaliknya deretan pokok ara yang mengelilingi gua
KESELAMATAN DALAM GUA
Misi kami diteruskan pada keesokan harinya apabila dibawa menerokai Gua Sisik Naga dan Gua Tahi Bintang.
Sebelum bergerak, kami dibekalkan dengan topi keselamatan yang dilengkapi dengan lampu suluh berikutan keadaan gua yang agak gelap.
Menurut jurupandu gua Muhammad Othman, selain peralatan keselamatan, pemakaian baju, seluar dan kasut yang sesuai juga amat penting sebelum memasuki gua bagi menjamin keselamatan dan mengelak kecederaan berlaku.
Beliau berkata, aktiviti meneroka gua berisiko berdepan bahaya seperti gua dinaiki air, selain struktur gua daripada batu kapur mengundang risiko permukaan dan dinding gua menjadi rapuh menyebabkan batu kecil boleh jatuh dari siling gua.
Jurupandu gua Muhammad Othman (tengah) memperkenalkan Gua Sisik Naga kepada peserta
"Peserta hanya boleh memasuki gua dengan jurupandu berpengalaman yang menerangkan peraturan dan ciri keselamatan ketika menjelajah gua. Khidmat jurupandu gua adalah perkara terpenting dalam meneroka gua bagi menjamin semua aktiviti yang dilakukan berjalan lancar dan selamat," katanya.
Sebaik tiba di Gua Sisik Naga, kami berasa terpegun melihat rupa dinding yang seakan bahagian tulang belakang dan sisik naga.
Menurut Muhammad, struktur itu terhasil akibat daripada deras arus air sungai yang pernah mengalir di dalam gua berkenaan suatu ketika dahulu.
"Pada sekitar tahun 1960-an, gua ini menjadi tempat untuk mencari rezeki bagi penduduk tempatan, antaranya mengutip sisa najis kelawar untuk dijual sebagai baja pertanian," katanya sambil menunjukkan beberapa botol air kaca yang pecah selepas dijadikan pelita di dalam gua.
Beliau menambah, lazimnya formasi stalaktit dan stalagmit yang unik dan pelbagai bentuk sehingga ada yang menyerupai flora dan fauna menjadi pendorong kepada orang ramai untuk menghayati keindahan gua.
"Dalam gua juga ada sungai dan air terjun yang cantik dan mengagumkan. Selain itu, gua juga dijadikan habitat dan tempat tinggal sementara buat hidupan liar seperti landak, rusa, babi hutan, harimau dan gajah.
"Jika gua berusia lebih ratusan tahun ini dapat dipelihara dengan baik, maka keindahannya akan kekal sampai bila-bila dan hidupan liar tidak akan diancam," katanya.
CAPAI SITUASI MENANG-MENANG
Sementara itu, Ketua Seksyen CFS Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Rusli Tahir berkata, pihaknya menerusi projek IC-CFS yang berkonsepkan 'Masyarakat Setempat' membantu memajukan sosioekonomi masyarakat tempatan dan orang asli di sekitar tapak CFS. Ia sekali gus mencapai situasi ‘menang-menang’ dalam memelihara serta memulihara landskap menerusi produk ekopelancongan.
Menurut beliau, konsep IC-CFS dengan dana daripada Global Environment Facility (GEF) yang disokong Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) sejak tahun 2014 itu bermatlamat untuk melindungi hidupan liar yang terancam, memulihara biodiversiti dan stok karbon serta mengekalkan aliran berterusan pelbagai perkhidmatan ekosistem dalam landskap CFS.
"Sejumlah Dolar Amerika Syarikat 10.68 juta (RM50.22 juta) diperuntukkan oleh GEF menerusi UNDP dengan penilaian semula dibuat pada tahun 2020 dan akan tamat tempoh pada penghujung tahun ini.
"Ia menyokong pelaksanaan Pelan Induk CFS yang meliputi habitat Harimau Malaya dalam aspek seperti pembangunan kapasiti kakitangan agensi persekutuan dan agensi negeri, meningkatkan penguatkuasaan, pengurusan hutan secara berkekalan, menyediakan Rancangan Pengurusan Koridor Ekologi, meningkatkan taraf hidup komuniti serta menyediakan Rancangan Kewangan Konservasi bagi Negeri.
"Antara keberhasilan utama projek ini adalah pewartaan 32,783 hektar kawasan hutan tanah kerajaan kepada hutan simpanan kekal (HSK) dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan melalui Spatial Monitoring and Reporting Tool (SMART) dan program rondaan bersama komuniti setempat di negeri Perak, Pahang dan Johor,” katanya.
Beliau pada masa sama menambah, Lembah Tanum yang terletak di kawasan tapak projek IC-CFS itu kaya dengan produk ekopelancongan yang boleh membantu komuniti tempatan di sekitarnya untuk menjana pendapatan.
"Dari Merapoh hingga ke Lembah Tanum di Kuala Lipis, banyak produk ekopelancongan yang dapat menjana pendapatan masyarakat setempat seperti penerokaan gua batu kapur dan aktiviti berkayak, namun sebelum ini mereka tiada pengetahuan untuk mempromosikan produk mereka.
"Jadi menerusi projek ini, kami memberi kursus dan khidmat latihan kepada komuniti kampung di sekitar Lembah Tanum, termasuk komuniti orang asli suku kaum Batek menerusi kerjasama daripada pelbagai pihak seperti Majlis Daerah Lipis, Tourism Pahang, ejen pelancongan Tuah Travel and Tours Sdn Bhd untuk mempromosikan produk mereka.
Projek itu turut mengiktiraf peranan komuniti orang asli khususnya kaum wanita sebagai tunjang utama dalam menggerakkan sosioekonomi penduduk kampung terlibat.
"Mereka pula berperanan membantu kami memelihara dan memulihara hutan simpan dengan menjadi 'mata-mata' dalam memerangi kegiatan pemburuan haram seterusnya dapat melindungi hidupan liar dan menjaga landskap CFS," katanya.
PROMOSI BUDAYA ORANG ASLI
Bagi Penyelaras Projek negeri Pahang IC-CFS Muhammad Syafwan Ismail, projek itu bukan sahaja berjaya menjumpai 'harta karun' Lembah Tanum yang kaya dengan produk ekopelancongan, bahkan mengangkat peranan komuniti orang asli khususnya kaum wanita sebagai tunjang utama dalam menggerakkan sosioekonomi penduduk kampung terlibat.
"Dalam projek dana daripada GEF menerusi UNDP, antara syarat utama ialah mengiktiraf sumbangan kaum wanita dan kaum orang asli untuk menggerakkan pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti.
"Ketika kami memberi latihan dan kursus kepada mereka pada tahun lepas, kami dapati sumbangan kaum wanita dalam menggerakkan ekopelancongan dan menjana pendapatan adalah lebih menonjol, jadi kami cuba membantu dari segi mempromosikan hasil jualan makanan tradisi kampung mereka seperti sambal, keropok, kek dan sebagainya kepada pelancong.
"Kami menggerakkan hampir kesemua penduduk kampung di sekitar Lembah Tanum dari segi pengendalian inap desa, menjadi jurucakap bagi produk pelancongan, pemandu pelancong untuk penerokaan gua batu kapur serta logistik bagi pelancong yang mahu melawat ke kampung mereka," katanya.
Menurut Muhammad Syafwan lagi, peranan orang asli suku kaum Batek di Kampung Kepong Chegar Perah tidak dilupakan apabila pihaknya bekerjasama dengan memperkenalkan budaya dan produk berasaskan buluh dan rotan kepada pelancong yang melawat ke penempatan mereka.
"Dari segi pertanian dan mencari hasil makanan, mereka boleh mencari di hutan di sekitar penempatan mereka namun memerlukan pendapatan sampingan untuk membeli beras. Jadi kami turut membantu menjana pendapatan dengan mempromosikan produk dan memperkenalkan budaya mereka kepada pelancong.
"Sebagai ‘pulangan’, mereka membantu menjadi 'mata-mata' kepada aktiviti pemburuan haram yang berlaku di sekitar landskap CFS yang kebanyakannya menggunakan modus operandi mencari gaharu dan seterusnya memasang jerat untuk memburu harimau bagi penyeludupan haram," katanya.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff