Kelas Jadi Batek Perjelas Nilai Kraf Batik Malaysia

B
agi peminat batik, Terengganu dan Kelantan merupakan destinasi tumpuan mereka sekiranya inginkan produk batik autentik pada harga berpatutan.

Selain itu, tidak kurang juga yang berkunjung ke perusahaan batik di kedua-dua negeri berkenaan bagi melihat dan mengalami sendiri proses membuat batik.

Akan tetapi, tidak semua mampu melakukan perjalanan ke dua negeri pantai timur itu semata-mata untuk mempelajari cara membuat batik.

Sedar akan potensi besar yang ada, peniaga produk batik Colin Yong, 51, memperluas perniagaannya, Jadi Batek, yang terletak di Jalan Inai, Bukit Bintang di sini, dengan turut menawarkan kelas melukis, mencanting dan mewarna batik. 

 

AMBIL ALIH PERNIAGAAN KELUARGA

Berkongsi kisah dengan Bernama, Colin berkata syarikat Jadi Batek diasaskan oleh ibu bapanya - Yong Jo dan Thong Lai Ying - pada 1976 sebagai sebuah kedai menjual pakaian batik di Jalan Sultan Ismail.

“Pada awal penubuhan, Jadi Batek adalah satu-satunya kedai menjual pakaian batik di kawasan itu. Orang tua saya menceburi perniagaan batik kerana ketika itu ramai pelancong asing mula datang ke Malaysia dan mereka cukup meminati hasil kraf Malaysia termasuk batik.

Pelancong dari dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang mempelajari lukisan batik menerusi kelas yang ditawarkan.

"Selain itu, kasino di Genting Highlands juga baru dibuka dan pengunjung diminta memakai baju batik Malaysia. Disebabkan oleh permintaan yang tinggi, ibu bapa saya rebut peluang ceburi perniagaan batik,” jelas beliau, menambah kedua-dua ibu bapanya adalah anak jati Kuala Lumpur dan tidak mempunyai “darah keturunan” pengusaha batik.

Sambung beliau, ketika itu pembekal utama batik ialah Batik Malaysia Berhad, iaitu anak syarikat Mara Holdings Sdn Bhd serta pembekal batik dari Kelantan dan Terengganu.

“Ibu saya menggunakan bakatnya sebagai tukang jahit dengan menghasilkan pelbagai jenis baju dan kraf batik yang cukup diminati oleh pelancong asing,” ujar Colin.

Bercerita lanjut, selepas mengambil alih perniagaan itu pada 2000, Colin berkata beliau memindahkan premis ke Bukit Bintang yang difikirkannya lebih strategik.

Bagi merealisasikan potensi penuh industri itu, beliau mempelbagaikan produk antaranya kain alas meja, patung hiasan, skarf, tali leher dan beg pelbagai saiz, selain membuka kelas batik untuk orang ramai.

“Kelas ini bukan sahaja mendedahkan cara membuat batik kepada orang ramai tetapi turut membolehkan mereka menzahirkan kreativiti masing-masing.

“Selain mencanting dan mewarna menggunakan alat canting, pengunjung juga boleh mencuba aktiviti mengecap batik menggunakan blok besi tembaga yang ditempah khas dari Kelantan,” katanya, menambah rata-rata pengunjung meluahkan rasa teruja dapat mengikuti kelas itu serta membawa pulang karya mereka.

 

SAMBUTAN MENGGALAKKAN

Kelas yang ditawarkan Jadi Batek menerima sambutan yang cukup menggalakkan daripada pengunjung tempatan dan luar negara. Lebih-lebih lagi harga yang dikenakan adalah berpatutan berdasarkan jenis aktiviti.

Bagi aktiviti mewarna batik di atas kain berukuran 20 x 20 cm, harga yang dikenakan ialah RM35 selama satu jam, manakala untuk kegiatan mencanting dan mewarna batik, pengunjung dikenakan bayaran RM68 bagi kelas dua jam.

“Terdapat 10 orang pekerja di sini yang akan mengajar pengunjung cara menggunakan alat canting.

Terdapat juga kaedah membuat batik menggunakan blok terap keluli di Jadi Batek.

“Pengunjung juga boleh melukis dan mewarna batik di atas kain pareo bersaiz 200 x 100 cm mengikut jenis kain yang dipilih. Jika dilukis di atas kain kapas, harga kelas ialah sekitar RM300, manakala untuk kain sutera harganya RM400 hingga RM500 memandangkan aktiviti sebegini boleh memakan masa empat atau lima jam untuk disiapkan disebabkan saiz kain yang cukup besar,” katanya. 

Kegiatan ini juga boleh dijadikan aktiviti keluarga yang disertai oleh kanak-kanak, katanya, menambah aktiviti itu membantu meningkatkan kemahiran motor si anak selain menyerlahkan daya kreativiti mereka. 

“Secara purata, Jadi Batek menerima sekitar 6,000 pengunjung sebulan dengan majoritinya adalah pelancong asing yang datang untuk menyertai aktiviti membatik selain membeli produk batik,” katanya.

Selain itu, Jadi Batek turut menawarkan program  "team building” menerusi kegiatan membatik bagi syarikat yang mahukan kelainan dalam memupuk kerjasama antara pekerja mereka.

“Antara syarikat yang pernah menggunakan khidmat kami ialah Petronas dan Maxis serta syarikat multinasional seperti BP  dan Nestle Malaysia,” ujarnya.  

 

HARGAI BATIK WARISAN ZAMAN

Menurut Colin, menerusi kelas membatik itu juga pengunjung didedahkan bahawa proses menghasilkan batik adalah renyah.

“Masyarakat kita selalu beranggapan harga batik Malaysia mahal berbanding batik dari luar negara. Hakikatnya mereka kurang faham bahawa proses di sebalik pembuatannya yang menjadikan harga batik (Malaysia) cukup kompetitif.

“Tidak boleh bandingkan dengan batik luar kerana kebanyakannya adalah batik jenis cetakan, sebab itu harga batik luar ini agak murah,” jelas beliau.

Colin Yong menukar strategi perniagaan dengan cara mempelbagaikan lagi produk batik termasuklah kain alas meja, patung hiasan, skarf, dan baju kebaya.

Menurutnya, melukis dan mewarna batik menuntut ketelitian termasuk memastikan garisan lilin yang membentuk corak tidak putus bagi mengelakkan warna bercampur dan seterusnya merosakkan hasil kerja.

Selain itu, pemilihan warna juga perlu bertepatan dengan kriteria batik Malaysia yang amnya bercirikan keindahan alam sekitar.

“Selepas selesai proses mencanting dan mewarna batik, proses mematikan warna batik perlu dilakukan bagi memastikan warna tidak mudah pudar apabila dicuci dengan kerap. 

"Pengunjung juga boleh melihat sendiri bagaimana kita lakukan proses matikan warna dengan cara merendam kain batik di dalam tab khas diisi bahan kimia seperti natrium silikat.

“Setelah selesai, kain tersebut akan direbus berkali-kali dan dijemur sebelum dijual kepada pelanggan,” katanya.

Menyifatkan industri batik mempunyai potensi yang cukup besar dan menguntungkan, Colin berhasrat menjadikan Jadi Batek sebagai antara tarikan utama pelancong dan pusat kraf batik terbesar di Lembah Klang.

“Kami juga bercadang untuk membuka cawangan di beberapa buah negeri lain seperti Selangor dan Pulau Pinang, selain menjalin kerjasama dengan penggiat seni kraf batik dari luar negara bagi mengangkat karya batik Malaysia ke persada antarabangsa,” katanya. 

Penulis

Muhammad Basir Roslan
14 November 2023

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.