FOKUS BERNAMA

Batik Malaysia: Jadilah Jauhari Yang Mengenal Manikam

14/09/2023 03:10 PM
Daripada Muhammad Basir Roslan

Pada sesi taklimat media bersama Kraftangan Malaysia tentang industri batik negara ini, ramai pengamal media termasuk penulis, gagal membezakan antara batik Malaysia dan batik cetak - batik yang dibawa masuk dari negara serantau - ketika diminta berbuat demikian.  

Pada pandangan mata kami, kedua-dua jenis batik yang ditunjukkan itu nampak sama dan sempurna, khususnya dari segi lakaran corak.

Barangkali tahu akan dangkalnya ilmu masyarakat tentang batik, ada peniaga termasuk pengusaha butik terkenal, turut menjual batik cetak yang dianggap oleh pembeli sebagai batik Malaysia, sementelah produk kraf import itu juga dijual semahal batik asli Malaysia.

Ditambah pula permintaan tinggi terhadap batik. Misalnya untuk tahun ini, nilai jualan bagi tempoh lapan bulan pertama sudah mencecah RM67.4 juta. Industri itu merekodkan nilai jualan tertinggi berjumlah RM176.4 juta pada 2019.

Hakikatnya, lambakan batik cetak sudah menjadi isu di negara ini sejak sekian lama, sekali gus memberi cabaran hebat kepada pihak berwajib dalam mengekalkan kelangsungan warisan tradisional yang dikongsi bersama Indonesia itu. 

 

EKSPLOITASI 

Susulan dasar kerajaan mewajibkan penjawat awam berpakaian batik Malaysia pada setiap Khamis berkuat kuasa 21 Ogos lepas, suara kebimbangan tentang peniaga mengeksplotasi dasar itu dengan mengetengahkan batik cetak sebagai batik Malaysia kembali kuat kedengaran.

Menurut Kraftangan Malaysia, mereka menerima maklumat orang awam yang meluahkan rasa kecewa di media sosial kerana terpedaya membeli batik cetak pada harga yang agak tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Kraftangan Malaysia Abdul Halim Ali ketika ditemu ramah Bernama, berkata perbuatan peniaga tidak bertanggungjawab terbabit boleh dianggap sebagai memperdaya, dan jika dilakukan oleh mereka yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia, pengusaha berkenaan akan dikenakan tindakan. 

“Kami dapati ada beberapa peniaga di bawah Kraftangan Malaysia menjual batik cetak, dan antara tindakan yang diambil ialah memberi amaran, dan sekiranya didapati masih mengulangi, mereka akan digantung penyertaan serta tidak boleh lagi mengikuti mana-mana program promosi kami,” katanya.

pic-2

Sambil menunjukkan jenis kain batik, Abdul Halim berkata terdapat beberapa perbezaan ketara antara batik Malaysia dan batik cetak, antaranya ialah fabrik yang digunakan. 

Batik cetak menggunakan fabrik daripada poliester selain bahagian belakang kain juga tidak ditembusi warna, katanya.

Jelas beliau, batik cetak juga digelar salinan fotostat oleh pengusaha batik kerana lakaran corak atau motif tidak mempunyai sebarang cacat cela, iaitu seragam dan sempurna kerana produk itu dihasilkan oleh mesin, sedangkan batik Malaysia adalah kraf kerja tangan manusia sepenuhnya. 

“Definisi batik itu sendiri (bermaksud) perlu menggunakan teknik penghalang warna sama ada lilin mahupun bahan ganti lain seperti tanah liat mahupun gam sagu atau linut (sebahagian kanji sagu)  bagi memberi kesan unik pada  reka corak, selain perlu melalui pelbagai proses lain sebelum siap menjadi sehelai kain,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, batik cetak tidak melalui proses membatik seperti memblok/menerap, mencanting, mewarna, merebus, membilas dan mengering, sekali gus kos penghasilan produk itu jauh lebih rendah berbanding batik Malaysia.

 

HARGA LEBIH MAHAL

Tidak menafikan proses membatik  antara faktor yang menyebabkan harga batik Malaysia mahal, beliau berkata sebenarnya masih ada baju atau kain batik Malaysia pada harga mampu milik, bergantung pada jenis material dan teknik yang digunakan.

Di lokasi tumpuan jualan batik seperti Pasar Payang, Terengganu dan Pasar Besar Siti Khadijah, Kelantan mahupun secara dalam talian, batik Malaysia, sama ada dalam bentuk kain atau baju siap, ada yang berharga bawah seratus ringgit.

Ironinya, ada pakaian batik cetak berjenama yang dijual di pusat beli-belah berharga melebihi RM200 sehelai.

Bagi Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia ‘Ainu Sham Ramli, harga batik Malaysia tidak seharusnya menjadi isu kerana pilihan di tangan pengguna.

Bagi yang sukakan fabrik berkualiti tinggi seperti sutera, sudah tentu mereka perlu membayar pada harga yang lebih, kata beliau.

pic-3

Beliau melihat harga purata batik Malaysia sebagai berpatutan, mengambil kira proses menghasilkan sehelai batik.

Bagi peniaga, lambakan batik cetak yang semakin berleluasa di negara ini turut disumbang oleh ketiadaan undang-undang khusus untuk melindungi batik Malaysia.

Shahrul Azam Kamaruddin, pengusaha Qaseh Batik di Kota Bharu, Kelantan, berpendapat kewujudan undang-undang sedemikian adalah perlu bagi menghalang pihak tidak bertanggungjawab mengeksploitasi istilah “batik”.

“Perkataan batik itu sendiri memainkan peranan sangat besar dalam seni warisan ini, dan  kerana itu batik cetak tidak boleh dianggap sebagai ‘batik’ dan mereka yang menjualnya perlu mengklasifikasikan produk tersebut hanya sebagai tekstil,” katanya.

Beliau juga yakin undang-undang itu dapat membangkitkan kesedaran peniaga dan masyarakat tentang natijah menyalahgunakan istilah batik menerusi tindakan yang diambil oleh pihak berwajib.

Menurut Shahrul Azam, lebih membimbangkan apabila kini ada trend mencetak bahagian depan dan belakang fabrik agar menyerupai batik Malaysia.

 “Saya dapati ada pasar raya utama di negara ini yang menjual batik cetak hampir serupa dengan batik Malaysia apabila kainnya dicetak depan dan belakang berbanding sebelum ini hanya pada bahagian depan.

“Jadi agak sukar untuk kita membezakan batik cetak ini, tetapi pengguna boleh melihat pada material kain kerana  batik Malaysia hanya menggunakan kain kapas dan sutera berbanding batik cetak yang menggunakan fabrik sintetik,” katanya.

 

TINGKAT KESEDARAN

Biarpun situasi ini memberi cabaran besar kepada industri batik Malaysia, pelbagai program kesedaran telah dijalankan oleh Kraftangan Malaysia termasuk jerayawara bagi menyebarluaskan maklumat tentang batik.

Kempen itu yang meliputi demonstrasi interaktif, turut melibatkan peringkat sekolah melalui program cakna kraf bagi mendedahkan seni batik kepada pelajar sedari awal.

Sungguhpun begitu, ‘Ainu Sham melihat inisiatif kerajaan mewajibkan pemakaian baju batik Malaysia dalam kalangan penjawat awam dapat memartabatkan lagi industri batik negara.

pic-4

Dasar itu juga katanya dapat membantu melonjakkan jualan pengusaha batik negara, termasuk 815 usahawan batik yang berdaftar dengan agensi tersebut.

Hakikatnya, harga batik Malaysia tidak menjadi isu jika setiap ahli masyarakat mempunyai semangat patriotik dan kecintaan yang tinggi, bukan sahaja terhadap negara tetapi juga dalam mempertahankan khazanah warisan yang tidak ternilai harganya ini.

Semuanya bergantung pada diri sendiri, sama ada mahu “melabur” sedikit bagi  memastikan industri batik Malaysia yang telah bertapak sejak lebih empat dekad lalu terus subur, atau dibiarkan berkubur secara perlahan-lahan ditewaskan oleh batik cetak yang begitu mudah diperoleh.  

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan