D
i tepi Jalan Ayer Kuning menghala jalan utama Changkat Jering, Perak, berdiri sebuah kediaman usang yang menunggu masa untuk menyembah bumi.
Dikelilingi semak samun dengan tingkap, pintu, dinding dan bumbungnya mereput, bagi kebanyakan orang luar yang lalu di kawasan itu, kediaman dua tingkat separa kayu dan batu tersebut hanyalah sebuah rumah terbiar.
Namun, saat melihat papan tanda yang terpacak di tepi rumah berkenaan, baru diketahui binaan uzur tersebut adalah kediaman pengasas silat gayung Malaysia, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim.
Foto keluarga besar Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim.
Di situ juga lahirnya ribuan jaguh silat dan jurulatih seni mempertahankan diri negara, selain menjadi saksi pewujudan modul latihan Tempur Tanpa Senjata (TTS) pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Sedih sebenarnya apabila melihat keadaan kediaman ini sekarang. Dulu, di sini juga gelanggang silat, setiap hari riuh dengan pencak dan bunga silat anak gayung dari seluruh negara,” kongsi Sazali Salleh, Waris Amanah Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, kepada Bernama.
Sazali, 60, juga anak angkat mahaguru silat gayung itu, berkata mereka pernah berusaha mengumpul dana bagi membaiki dan membaik pulih rumah arwah ayahnya tersebut namun gagal.
“Tabung yang kami tubuhkan bagi tujuan itu pada 2016, hanya berjaya mengumpul RM3,000,” sambung beliau lagi.
KHAZANAH NEGARA
Sejarah merekodkan Allahyarham Meor Abdul Rahman yang meninggal dunia pada 1991 semasa berusia 76 tahun, sebagai pengasas silat seni gayung Malaysia yang begitu besar jasanya dalam dunia seni mempertahankan diri.
Bukan calang-calang, di sebelah ibunya, beliau adalah cucu kepada pahlawan Pahang, Allahyarham Syed Zainal Al-Attas atau Tok Jenai, sementara di sebelah bapa pula merupakan cucu pendekar terbilang pada abad ke-18 di Perak, iaitu Tengku Daeng Kuning yang turut dikenali sebagai Panglima Hitam.
Sazali Salleh (depan) bersama Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim (kiri) dan keluarganya.
Menurut Sazali, arwah ayahnya mempelajari ilmu silat daripada Tok Jenai sejak berusia 12 tahun dan kehebatan Allahyarham dalam seni bela diri diperakui oleh British yang mengangkat beliau sebagai orang Melayu pertama menjadi jurulatih tempur tentera laut British pada 1939.
“Ramai tidak mengetahui arwah ayah mendapat pengiktirafan daripada ATM untuk mewujudkan latihan Tempur Tanpa Senjata dengan menyerapkan silat seni gayung ke dalam modul latihan tentera kita,” kata beliau, menambah TTS diwujudkan pada awal 1970-an.
Seramai 87 anggota tentera dan 48 anggota polis berjaya menamatkan kursus intensif silat seni gayung yang berlangsung selama enam bulan di kediaman itu dan kemudian ditauliahkan sebagai jurulatih, membolehkan mereka melatih anggota lain dalam pasukan mereka.
TUMPUAN ANTARABANGSA
“Sebenarnya, tapak gelanggang itu dibina dengan kerjasama pihak tentera yang diarah oleh pemerintah tertinggi mereka mengambil pasir dan batu dari lombong Ayer Kuning yang kemudian ditambak di tapak tersebut sebelum didirikan balai adat dan pusat latihan,” jelas Sazali.
Sumbangan besar Allahyarham kepada seni silat tanah air dan pasukan keselamatan menarik perhatian pemimpin negara termasuk para sultan, antaranya Almarhum Sultan Idris Al-Mutawakkilalallahi Shah II, Sultan Perak ke-33, yang pernah mencemar duli berangkat melawat kediaman mahaguru silat itu semasa era kegemilangannya.
Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim bersama pakar jujutsu Jan De jong.
Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim with ahli gusti terkenal dunia ‘King Kong’.
Kehandalan Meor Abdul Rahman yang juga dikenali sebagai Rahman Sendo dalam dunia silat turut menarik minat orang asing, antaranya ialah anak murid aktor bela diri Hollywood Bruce Lee, iaitu Daniel Inosanto.
“Daniel datang Malaysia dan beritahu ayah (yang) dia hendak belajar gayung dan ayah terima. Bagaimanapun, ayah tidak ajar silat gayung kepada bangsa asing tetapi hanya mengajar cara bertumbuk, tapak langkahnya sahaja,” cerita beliau, menambah Daniel menginap di kediaman itu hampir seminggu.
“Boleh dikatakan hingga akhir 1980-an ramai ahli seni bela diri asing datang ‘berguru’ dengan ayah, antaranya ialah aktor Blaise Loong, pakar jujutsu Jan De jong serta ahli gusti terkenal dunia ‘King Kong’ dengan tujuan berkenalan dan menuntut ilmu selain menunjukkan kehandalan masing-masing,” kata Sazali.
Selain itu, kehebatan Meor Abdul Rahman turut menarik perhatian sebuah syarikat penerbitan dokumentari dari Perancis yang datang ke kediaman tersebut bagi mendokumentasikan latihan silat seni gayung pada awal 1970-an.
Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim bersama aktor Blaise Loong.
Sazali berkata walaupun beliau hanya anak susuan, arwah ayah dan ibu Datin Paridah Mohd Yusope yang meninggal dunia pada 2008, membesarkannya dengan penuh kasih sayang, seperti anak kandung mereka.
“Arwah ayah ada dua orang anak kandung, iaitu Fadillah dan Aishah serta tiga anak angkat, iaitu saya, Rokiyah Naning atau Siti Kalsom dan Badekruzaman Zainal Abidin. Pada mulanya arwah mengamanahkan kakak Siti Kalsom agar memelihara dan mengembangkan ilmu silat gayung, tetapi sebelum meninggal pada 2007, kakak amanahkan kepada saya untuk berbuat demikian.
“Anak kandung arwah, iaitu kakak sulung Fadillah tidak aktif dalam dunia persilatan, sementara Aishah pula meninggal dunia pada usia 19 tahun,” jelas beliau.
PERPECAHAN DAN BIROKRASI
Sekalipun buat masa ini sukar untuk beliau meneruskan usaha memulihara kediaman mahaguru silat gayung itu, Sazali berkata beliau tidak akan berputus asa.
Ditanya mengapa begitu sukar untuk mengumpul dana, guru silat itu berkata perpecahan dalam persatuan serta kerenah birokrasi antara punca usaha mereka terhalang.
Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim (tengah, kiri) bersama Mat Kilau (kanan).
Keratan akhbar aksi Sazali Salleh dihempap batu seberat 30 kilogram sambil berbaring di atas ribuan paku tajam.
Malah katanya mereka pernah diberikan dana untuk berbuat demikian oleh kerajaan sebelum ini, namun dakwa beliau, wang itu digunakan untuk tujuan lain oleh pihak yang berkenaan.
Mengakui hal itu, Mohammad Farez Akmal Abdul Aziz, jurulatih Daeng Ramal Bugis di Bangi, Selangor, berkata Sazali begitu banyak berkorban demi mempertahankan kediaman tersebut.
Malah katanya, sebelum ini ada cadangan untuk merobohkan rumah itu bagi memberi laluan kepada pembinaan lebuh raya, namun berjaya dihalang oleh Sazali.
“Amat menyedihkan kerana cikgu (Sazali) tidak memiliki pendapatan tetap, tetapi atas rasa tanggungjawab dan sayangnya pada rumah mahaguru, beliau sanggup mengeluarkan wang sendiri membayar hasil tanah walaupun tanah dan kawasan itu tidak sepenuhnya dinamakan atas nama beliau.
“Kami juga pernah siapkan pelan dan bawa kepada pihak Muzium Negara untuk menjadikan kediaman itu sebagai tapak sejarah, namun, apabila diberitahu rumah akan menjadi hak Muzium Negara, kami berasakan biarlah sejarah mahaguru menjadi milik anak-anak gayung, dan kerana itu, kami cuba sedaya upaya mempertahankan dan memulihara warisan tersebut,” kata beliau.
HARGAI WARISAN SILAT GAYUNG
Berpegang pada moto "SeGayong, Sekendi, Seperigi, Seperminum, Sejalan, Sejadi, Sedarah, Sedaging dan Sepadu" yang menjadi laungan anak-anak silat seni gayung hingga ke hari ini, Sazali berharap usaha yang dilakukannya dapat membuka mata ramai pihak untuk menghargai kediaman itu.
Sazali Salleh (tengah) bersama pelajar Silat Seni Gayong.
“Banyak manfaatnya jika kita baik pulih kembali rumah arwah ayah, kerana bukan sahaja menjadi rujukan kepada atlet silat dan anak-anak gayung serta penggiat seni mempertahankan diri sedunia tetapi juga berpotensi menjadi tumpuan pelancong ke Perak.
“Sepertimana seni mempertahankan diri lain seperti kungfu shaolin yang masih utuh mempertahankan khazanah warisan pengasasnya di Shaolin Temple (Kuil Shaolin), China, mengapa kita tidak boleh lakukan perkara yang sama?,” soalnya, menambah ketika ini terdapat kira-kira satu juta anak-anak gayung dalam pelbagai persatuan di negara ini.