FOKUS BERNAMA

Dr Harleny Korbankan Sembilan Bulan, Jejak 40 Masjid Di Turkiye

03/10/2024 09:28 AM
Daripada Rozainah Abdul Rahim

Minat yang mendalam membuatkan Dr Harleny Abd Arif tidak kisah mengeluarkan duit sendiri sebagai tambahan kepada dana sedia ada, untuk melakukan kajian tentang sejarah kesenian Islam melibatkan masjid di Turkiye.

Pensyarah kanan di Jabatan Seni dan Rekabentuk, Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris itu menghabiskan masa sembilan bulan sejak Oktober 2023, menjejaki tinggalan Empayar Seljuk dan Uthmaniyah menerusi 40 buah masjid di negara dua benua berkenaan.

pic-2

Sepanjang tempoh itu, beliau yang dalam program cuti sabatikal, mengembara ke seluruh pelusuk Turkiye, bermula dari Istanbul yang terletak di benua Eropah, merentasi Selat Bosphorus ke bahagian Asia  negara berkenaan hingga ke Pulau Rhodes di Greece.

“Kajian saya memfokuskan pada mimbar termasuk mihrab di masjid-masjid berkenaan bagi mengenal pasti pengaruh era Seljuk dan Uthmaniyah pada ragam hias seni ukiran.  

pic-3

“Kemuncak kajian lapangan berakhir di Divrigi Camii  (Great Mosque yang dibina pada 1288) dalam wilayah Sivas,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, sepanjang di sana, beliau mendapat kerjasama baik daripada Muğla Sitki Kocman University (MSKU) dan Turkiye Diyanet Foundation Center for Islamic Studies (ISAM) yang membenarkan beliau menggunakan segala kemudahan serta rujukan di pusat sumber bagi menjalankan kajiannya.

 

KEKAL UTUH 

Berkongsi dapatan kajiannya, Harleny berkata seni ukiran pada mimbar kayu dan mihrab berkenaan bukan sahaja bernilai estetika tetapi turut  mencerminkan nilai hidup, pola fikir dan corak budaya tamadun di era Seljuk dan Turki Uthmaniyah.

Menariknya kata beliau, kerajaan Turkiye begitu menghargai warisan mereka menerusi projek pemeliharaan dan pemuliharaan tinggalan empayar terdahulu di setiap wilayahnya. 

pic-4

“Justeru, segala bentuk objek seni, khususnya hasil seni ukiran mimbar era Seljuk dan Turki Uthmaniyah masih kukuh bertahan dan dapat dihayati oleh warga tempatan serta pelancong luar hingga ke hari ini,” katanya.

Menurut beliau, keletihan menaiki bas selama berbelas jam selain suhu sejuk -5 darjah Celsius dan meredah ribut salji hilang apabila dapat melihat keindahan ragam hias mimbar dan mihrab di masjid yang dibina seawal kurun ke-12.

“Memang teruja dapat melihat khazanah indah yang masih kekal, merentas zaman,” katanya.

Sepanjang sembilan bulan itu, Harleny berkata beliau mengembara ke beberapa wilayah, antaranya  Edirne, Bursa, Izmir, Mugla, Konya dan Aksaray selain menyeberangi Laut Aegean ke Pulau Rhodes di Greece bagi melakukan silang kajian.

Katanya, beliau juga turut berpeluang singgah di Kota Purba Kaunos, Mugla yang dipercayai merupakan tempat persemadian golongan bangsawan Tamadun Kaunos.

“Di situ, dapat diterokai seni ukiran batu yang dipahat di lereng bukit yang dipercayai wujud sejak pertengahan abad ke-4 Sebelum Masihi,” kongsinya.

 

BERMULA DI ACEH

Mengimbas permulaan penglibatannya dalam bidang itu, Harleny yang berpengalaman selama 14 tahun, berkata pertama kali beliau melakukan kajian tentang kesenian Islam mengkhusus kajian mimbar, ialah menjejaki mimbar zaman Sultan Iskandar Muda (1607-1636) di Aceh, Indonesia pada 2009.

Katanya kajian itu berlangsung hampir empat tahun hingga 2012, menyaksikan beliau berdepan pelbagai cabaran, termasuk fenomena alam seperti gempa bumi, runtuhan tanah dan banjir lumpur.  

pic-5

Hasil kajian itu, beliau melihat hubung kait kerajaan Aceh dengan Kesultanan Turki Uthmaniyah menerusi hubungan diplomatik yang terjalin sejak zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah (1537-1568).

“Maka dari situ saya memasang impian untuk meneruskan kajian di Turkiye bagi meneroka lebih jauh tamadun Islam di sana, dengan membuat penerokaan terhadap mimbar dan mihrab masjid,” katanya.

Jelas Harleny, beliau memilih kajian ke atas mimbar dan mihrab kerana ragam hias kedua-duanya mencerminkan kecerdasan watan.

Katanya, kajiannya itu juga seiring dengan Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi yang menggariskan 20 landasan, bertujuan meningkatkan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

“Menurut hemat saya, kajian ini selaras dengan Landasan ke-9, iaitu menyemai nilai dan budaya ilmu, kelaziman wacana, budaya pembelajaran dan budaya kesarjanaan, kerana memberi nilai tambah dalam konteks disiplin ilmu pendidikan seni sepanjang tempoh jihad ilmu saya di negara dua benua itu,” katanya.

Harleny berkata hasil kajiannya akan dibukukan dan dijangka diterbitkan pada tahun depan bagi dijadikan rujukan para ilmuan, aktivis budaya dan juga masyarakat umum.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan