Inovasi Pembalut Luka Habbatus Sauda Rawatan Alternatif Luka Berketebalan Penuh

P
ada masa ini, pesakit yang mengalami luka besar hingga ke tulang disebabkan oleh kemalangan atau kesan terbakar tahap tiga (luka berketebalan penuh), berdepan derita selama berminggu-minggu sebelum kecederaan itu pulih.

Bukan itu sahaja, pesakit juga perlu berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan termasuk mencuci luka dan menukar pembalut kerana belum ada rawatan alternatif yang boleh dilakukan sendiri di rumah.    

Inovasi pembalut luka Habbatus Sauda boleh mengurangkan beban institusi kesihatan di masa depan.

Namun, sekumpulan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpotensi mengubah situasi itu setelah kajian mereka berjaya menghasilkan pembalut luka yang bukan sahaja mampu menggalakkan percambahan sel kulit dalam masa singkat tetapi juga menunjukkan keserasian biologi (kebioserasian) tanpa kesan toksik.

Dalam temu ramah dengan Bernama, Dr Nusaibah Sallehuddin berkata produk tersebut memanfaatkan khasiat  jintan hitam atau habbatus sauda dan bakal menjadi produk pertama seumpamanya di Malaysia apabila lulus ujian klinikal yang dijangka dalam tempoh dua tahun lagi.

 

INSPIRASI DARIPADA HADIS

Berkongsi lanjut, Dr Nusaibah berkata habbatus sauda mempunyai bahan aktif dikenali sebagai  timokuinon (thymoquinone), iaitu antara agen penyembuh luka dan antibakteria yang mampu menangani risiko jangkitan kuman.

“Bahan ini juga mempunyai kesan antioksidan yang berfungsi menghalang tekanan oksidatif yang melambatkan penyembuhan luka. Selain itu, timokuinon juga mempunyai fungsi antiradang yang mengurangkan rasa sakit dan keradangan akibat luka, serta peranan angiogenesis bagi merangsang pertumbuhan salur darah,” jelasnya.

Dr Nusaibah ketika pembentangan hasil penyelidikan pembalut luka Habbatul Sauda di Brisbane Convention and Exhibition Centre, Australia.

Menurut Dr Nusaibah, beliau memilih habbatus sauda kerana tumbuhan itu disebut secara jelas dalam hadis Rasulullah SAW sebagai penawar kepada semua penyakit. 

“Saya sebagai seorang Islam, dan bersandarkan kepada hadis itu, melihat banyak potensi yang boleh dikaji dan dimanfaatkan daripada tumbuhan habbatus sauda.

“Apatah lagi saya dapati masih belum ada produk pembalut luka yang menggunakan tumbuhan ini sebagai bahan utama. Jika adapun kebanyakan dalam bentuk ubat makan, sapu dan lain-lain,” katanya.

Jelas beliau, untuk pembuatan pembalut luka itu, habbatus sauda digandingkan dengan tiga bahan alami, iaitu elastin, kolagen dan gelatin.

Dr Nusaibah (baju hijau, depan kiri) bergambar bersama ketua penyelidik kajian produknya Prof Madya Dr Mohd Fauzi Mh Busra (berbaju batik, tengah baris belakang)

Elastin adalah satu protein dalam badan yang berfungsi memberikan keanjalan kepada tisu dan kulit yang rosak akibat luka, sementara kolagen dan gelatin pula berperanan mengurangkan keradangan selepas digunakan.

"Hasil kajian membuktikan bahawa penggunaan pembalut luka ini tidak menunjukkan sebarang ketoksikan terhadap sel kulit fibroblas. Selain itu, sel kulit juga menunjukkan proses regeneratif yang berterusan. Kita jangkakan luka berketebalan penuh (hingga ke tulang) sebegini boleh sembuh dan tertutup elok dalam tempoh sekitar tujuh hari berbanding rawatan di hospital yang mengambil masa lebih panjang,” jelas beliau.

Menurut Dr Nusaibah, kajian itu kini di peringkat analisis in-vivo (eksperimen terhadap organisma hidup).

“Jika keputusannya menunjukkan hasil yang optimum, kita akan teruskan kepada fasa ujian klinikal dan akan dapat dipasarkan kepada konsumer,” katanya, menambah produk itu disasarkan dapat dijual terus kepada pengguna tanpa perlu ke hospital.

 

CABARAN

Dr Nusaibah yang juga seorang daripada bekas pelajar sarjana dan sekarang merupakan penyelidik di Pusat Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif (CTERM) Hospital UKM, berkata pembalut luka yang dihasilkan oleh beliau dan pasukannya itu adalah penambahbaikan kepada MyDerm, produk gantian kulit berasaskan kolagen yang ditemukan oleh CTERM pada 2013.

Namun kata beliau, MyDerm mempunyai beberapa kekangan, antaranya ialah perlu dikultur dan dihasilkan di makmal dengan menggunakan sel pesakit.

Gambar kajian yang menunjukkan keberkesanan Habbatul Sauda terhadap bakteria Bacillus cereus.

“Walaupun ujian klinikal menunjukkan penyembuhan yang memberangsangkan, pembuatan gantian kulit perlu melalui proses yang pelbagai dan mengambil masa yang lama,” tambah beliau.

Akan tetapi, produk pembalut luka yang beliau hasilkan dengan kod geran FF-2019-298 hanya memerlukan cairan tiga bahan utama dicampur di dalam bikar sebelum dibentukkan kepada bentuk petak atau bulat dalam pelbagai saiz mengikut kesesuaian.

“Pembalut ini mempunyai ciri tahan tekanan serta mudah terurai yang memungkinkan pembalut ‘hilang’ secara sendiri sebaik sahaja luka sembuh,” katanya, menambah mereka tidak menggunakan sebarang bahan sintetik seperti plastik kerana bahan itu sukar ditanggalkan daripada kulit selepas ditampal.

“Memang banyak cabaran semasa memulakan kajian ini pada 2019. Untuk menghasilkan formula sahaja mengambil masa hampir setahun. Namun berkat bantuan penyelia saya, Prof Madya Dr Mohd Fauzi Mh Busra yang turut mengetuai kajian ini, kami berjaya menemukan nisbah terbaik bagi menghasilkan pembalut luka ini,” katanya, menambah beliau telah memfailkan permohonan hak cipta dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Produk ini juga telah berjaya difailkan untuk perlindungan paten di MyIPO  pada tahun 2022 melalui Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi UKM yang berperanan menguruskan perlindungan dan pengkomersialan harta intelek yang dihasilkan di UKM.

Menurut beliau lagi, produk itu direka cipta dengan sasaran pengeluaran besar-besaran bagi memudahkan pengguna mendapatkannya di pasaran terbuka yang dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh lima ke tujuh tahun lagi.

Kajian itu yang bertajuk ‘Fabrication and Evaluation of Thymoquinone Incorporated Collagen-Gelatin-Elastin Acellular Skin Substitute Potentially Use in Full-Thickness Skin Wound' dan merupakan sebahagian daripada pengajian peringkat sarjana beliau, turut menyaksikan Dr Nusaibah memenangi Anugerah Emas Sarjana (Sains Teknologi & Kesihatan) UKM baru-baru ini.

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.