KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Kain rentang yang besar tergantung di atas pagar sebuah rumah teres sudut di kawasan kejiranan Ampang Jaya itu pastinya menarik perhatian setiap pemandu yang lalu di situ. Terpampang dalam bahasa Melayu, menggunakan warna cerah dengan latar belakang merah dan gambar seekor nyamuk.
Tertera perkataan AWAS!!! TERDAPAT KES KEMATIAN DARI DENGGI DI KAWASAN INI
Denggi, penyakit jangkitan virus yang ada kalanya membawa maut bukan lagi sesuatu yang asing di Malaysia dan pengunjung ke negara ini. Denggi tidak memilih mangsa, semua lapisan masyarakat boleh dijangkiti sekiranya digigit nyamuk pembawa virus ini.
pic-2
Tahun ini dilaporkan jumlah demam denggi meningkat di Malaysia dan juga di tempat lain, berpunca daripada beberapa faktor termasuk sikap leka manusia, perubahan iklim dan El Nino, demikian menurut pakar. El Nino iaitu fenomena cuaca menyebabkan cuaca panas dan kurang hujan, dijangka berterusan di Malaysia sehingga bulan depan.
Angka kematian turut meningkat di Malaysia.
Oleh yang demikian, pihak berkuasa kesihatan dan para pakar mengalu-alukan pelancaran vaksin denggi yang dibuat baru-baru ini oleh Takeda Pharmaceuticals. Vaksin ini akan dipasarkan di bawah jenama Qdenga, dan di Malaysia, ia dilihat sebagai satu kejayaan dalam usaha berterusan memerangi denggi di negara ini. Sepatutnya juga ia mencetuskan rasa teruja dan menjadi buah mulut masyarakat awam, atau sekurang-kurangnya dalam kalangan pengamal am kesihatan yang akan memberikan vaksin ini.
Namun sehingga hari ini, hanya beberapa buah klinik atau sebahagian kecil masyarakat maklum akan vaksin ini. Malahan, jika pun mereka tahu, orang awam mungkin tidak berasa begitu teruja seperti pakar penyakit berjangkit, untuk mendapatkan vaksin ini.
Keengganan mengambil vaksin, seperti yang disahkan menerusi penyelidikan, semakin meningkat di Malaysia dan di rantau ini, akibat maklumat salah mengenai vaksin COVID-19. Menambahkan kerumitan apabila vaksin denggi yang pertama, Dengvaxia oleh Sanofi Pasteur, yang digunakan secara besar-besaran di Filipina pada tahun 2016, mencetuskan keributan apabila vaksin berkenaan boleh memburukkan lagi jangkitan denggi sekiranya orang yang divaksin tidak pernah dijangkiti penyakit itu. Program vaksinasi secara besar-besaran juga dibuat untuk kanak-kanak di negara itu.
Dengvaxia tidak pernah mendapat kelulusan di Malaysia dan tidak boleh diperolehi di negara ini.
Dr Goh Choo Beng dari Takeda memberitahu Bernama, pihaknya menyedari hakikat akan berdepan dengan halangan yang paling besar.
“Selepas mendapat kelulusan, (penerimaan sosial) adalah cabaran seterusnya,” katanya.
pic-3
VAKSIN UNTUK MEMERANGI DENGGI
Malaysia meletakkan sasaran untuk kes denggi iaitu penurunan sebanyak lima peratus setahun di samping sifar kematian daripada denggi menjelang tahun 2030, selaras dengan matlamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Sebelum ini, pengurusan denggi melibatkan langkah mengawal populasi nyamuk, atau kawalan vector dengan mengurangkan atau memusnahkan kawasan pembiakan nyamuk Aedes Aegypti, melalui peningkatan pendidikan komuniti dan semburan kabus (fogging) di samping pemberitahuan mandatori kepada pihak berkuasa kesihatan awam dan perlaksanaan kuarantin.
Sejak lima tahun kebelakangan, kerajaan menggunakan nyamuk pembawa bakteria Wolbachia, yang menyebabkan pengurangan pembiakan nyamuk, akhirnya mengurangkan nyamuk dewasa, bagi mengawal populasi nyamuk.
pic-4
Di sebalik usaha berkenaan, jumlah kes denggi terus menunjukkan peningkatan. Pada tahun lepas (2023), sebanyak 123,133 kes denggi dicatat dengan 100 kematian akibat komplikasi berkaitan dengan denggi. Untuk tahun ini (2024), para pakar menjangkakan trend yang membimbangkan. Selepas mencapai paras tertinggi dalam tempoh empat tahun pada tahun 2023 dengan jangkaan menurun, apa yang berlaku adalah sebaliknya dengan jumlah kes meningkat kepada 67,137 dalam 23 minggu pertama 2024 berbanding 51,331 kes untuk tempoh yang sama pada tahun 2023, demikian dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sebanyak 48 kematian dilaporkan untuk tempoh 23 minggu itu, berbanding 37 kematian untuk tempoh yang sama tahun lepas.
Peningkatan ini sudah tentunya membimbangkan memandangkan di kebanyakan negara, wabak denggi cenderung meningkat dan kemudiannya menurun untuk tempoh kitaran empat tahun. Bagaimanapun kes denggi di Malaysia tidak menunjukkan tanda-tanda menjadi reda.
“Kita sebenarnya melihat kenaikan kes denggi. Ini membimbangkan. Kemuncak kes yang lepas adalah pada tahun 2019 dan kemudian tahun 2023, dan sekarang kita lihat pada tahun 2024, (yang sepatutnya kes mula menurun). Jadi kami tidak pasti berapa banyak nanti kes di tahun 2024 ini,” kata Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi Dengue Prevention Advocacy Malaysia (DPAM).
Sewaktu pelancaran media Qdenga pada 11 Jun lepas, Ketua Hal Ehwal Perubatan Takeda untuk India dan Asia Tenggara Dr Goh Choo Beng berkata, vaksin itu melalui pelbagai ujian untuk selama hampir lima tahun tanpa sebarang perkara buruk dilaporkan. Menurut beliau, sesiapa pun tidak perlu dijangkiti denggi atau menjalani ujian untuk menentukan jangkitan sebelumnya, sebelum mengambil vaksin.
Syarikat itu melaporkan vaksin berkenaan menghalang jangkitan bergejala dalam 80 peratus kes sepanjang tempoh 12 bulan selepas mengambil vaksin serta 90 peratus kemasukan ke hospital dalam 80 peratus kes, 18 bulan selepas vaksinasi.
Qdenga diluluskan di lebih daripada 30 buah negara, termasuk Kesatuan Eropah, United Kingdom, Brazil, Argentina, Thailand, Vietnam dan Indonesia. Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di Malaysia memberikan kelulusan bersyarat untuk vaksin ini pada Februari lepas.
pic-5
Satu lagi manfaat vaksin ialah imuniti kelompok. Nyamuk menyebarkan penyakit dengan menggigit seseorang yang telah dijangkiti dan menjadi pembawa, menyebarkan virus kepada orang lain. Dengan mengambil vaksin, ini dapat mengurangkan peluang nyamuk menjadi pembawa virus itu.
“Mereka yang menerima vaksin, sekiranya dijangkiti, kemungkinan mereka menyebarkan virus kepada orang lain adalah kurang. Jadi, setidak-tidaknya ada sedikit perlindungan (kepada orang lain) juga,” kata Prof Dr Rafdzah Zaki, pakar epidemiologi di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan Universiti Malaya.
Semua pakar berkata, mengambil vaksin sepatutnya menjadi sebahagian daripada usaha Malaysia untuk mengurangkan kes denggi serta kematian, tetapi mereka juga menambah, ia seharusnya bukan satu-satunya kaedah untuk mencapai matlamat berkenaan.
PENERIMAAN SOSIAL TERHADAP SATU LAGI VAKSIN DENGGI
Para pakar memaklumi betapa serius sikap teragak-agak untuk mengambil vaksin di Malaysia, antaranya kerana skandal Dengvaxia, apabila 19 orang kanak-kanak yang menerima vaksin Sanofi Pasteur meninggal dunia akibat komplikasi berkaitan denggi.
Siasatan yang dilakukan kemudian mendapati vaksin berkenaan, yang bertindak sebagai infeksi, kemudiannya memburukkan jangkitan denggi berikutnya, dalam kalangan mereka yang tidak pernah dijangkiti denggi. Jangkitan kedua denggi menjadi lebih teruk.
Pakar epidemiologi (bersara) Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud menyifatkan fenomena itu sebagai peningkatan pergantungan antibodi, dan menganggap denggi sebagai satu penyakit yang rumit.
“Dengvaxia gagal di Filipina kerana tindakan terburu-buru untuk melaksanakan vaksinasi secara besar-besaran tanpa mengambil kira jika mereka yang pernah dijangkiti denggi atau belum pernah dijangkiti. Ianya boleh dielakkan sekiranya satu projek perintis diljalankan terlebih dahulu dan (sama ada peserta pernah dijangkiti denggi) ditentukan dulu,” katanya.
Dr Awang Bulgiba, yang juga Fellow Majlis Sains Antarabangsa menambah, Malaysia perlu menentukan keberkesanan vaksin Takeda terhadap semua empat jenis virus denggi serta keselamatan semua penerima, sama ada mereka pernah dijangkiti denggi, sebelum melaksanakan kempen vaksinasi secara besar-besaran. WHO mengesyorkan Qdenga dimasukkan dalam program imunisasi kebangsaan.
pic-6
Pada masa ini, vaksin denggi Takeda boleh diperolehi secara persendirian di klinik dan pusat perubatan terpilih.
Menurut Dr Zulkifli, maklumat salah yang berkait dengan vaksin COVID-19, terutamanya mereka yag menggunakan teknologi baharu mRNA, menjadikan ada orang yang curiga dengan vaksin, dan terpaksa berusaha keras untuk menyakinkan bahawa vaksin Takeda adalah berlainan.
“Vaksin ini menggunakan virus hidup yang dilemahkan. Kita tahu orang semua takut vaksin kerana banyak di media sosial ni, ” katanya.
Beliau dan pakar-pakar lain menasihatkan orang awam mendapatkan penjelasan daripada doktor mereka mengenai vaksin itu daripada bergantung kepada pempengaruh media sosial.
MENYAKINKAN ORANG RAMAI
Di sebalik nasihat itu, bukan sesuatu yang mudah untuk menangani isu keengganan mengambil vaksin. Ramai orang biasa tidak faham bagaimana vaksin dihasilkan, proses panjang yang perlu dilalui sebelum mendapat kelulusan, atau ketelusan data, seperti melaporkan kesan sampingan, sering digunakan sebagai “bukti” vaksin adalah berbahaya.
Cuba menyakinkan orang ramai dengan fakta perubatan yang berbelit-belit mungkin hanya membuatkan mereka tidak berminat.
pic-7
Pakar komunikasi Universiti Sains Malaysia Dr R Kumaran memberitahu Bernama, pihak berkuasa tidak mempunyai kredibiliti dalam zaman media sosial seperti mana zaman sebelumnya. Mungkin juga ada orang yang mengalami kelesuan vaksin.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna mereka di luar jangkauan untuk diberi penjelasan.
Beliau yang juga membuat pengkhususan, antara lainnya dalam komunikasi kesihatan, berkata mesej yang hendak disampaikan perlulah sepositif mungkin dan memberi fokus kepada manfaat mendapatkan vaksin denggi.
“Anda perlu menggunakan pendekatan sosio-budaya, yakni sekiranya anda mengambil vaksin, apakah manfaat yang anda akan perolehi di peringkat masyarakat?” katanya.
“Bercakap tentang emosi serta kehendak orang-orang itu, tentang bagaimana mengambil vaksin akan menghasilkan yang lebih baik kerana jika kita asyik bercakap, ‘anda akan dalami gejala yang kurang jika ambil vaksin, ia bukan sesuatu yang boleh dilihat dengan serta-merta (untuk orang ramai).”
Menurut beliau, menyampaikan mesej juga perlu konsisten di semua platform, berbanding kempen vaksinasi COVID-19 yang banyak menampakkan penghantaran mesej untuk orang ramai tetapi apabila sampai ke peringkat penggalak (booster), tidak banyak yang didengar atau dilihat.
Beliau menekankan bahawa pengutus/utusan kesihatan awam perlu pelbagai, dari semua peringkat umur, jantina, latar belakang, kaum dan bangsa.
“Sekiranya anda melihat seseorang, seperti diri anda untuk memberi penerangan, ada semacam setia kawan, jadi saya fikir mereka akan lebih mendengar,” katanya.
Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial