'Kwai Chai Hong' Gamit Memori Permainan Mahjong Pada Tahun Naga

M
enjelang sambutan Tahun Baharu Cina pada 10 dan 11 Februari ini, suasana di Lorong Hantu Kecil atau 'Kwai Chai Hong' dalam bahasa kantonis, semakin menggamit ramai pengunjung termasuk dari luar kota metropolitan ini.

Terletak di Lorong Panggung, diapit Jalan Petaling dan Jalan Sultan, ia sangat terkenal dengan aura zaman 60-an yang dikelilingi dengan watak mural ala-ala 'The House of 72 Tenants' dalam  filem 'Shaw Brothers'. 

Di lorong sepanjang kira-kira 36 meter ini, pengunjung terutama pencinta fotografi pasti terpegun dengan hiasan mural di dinding batu konkrit, ditambah dengan jambatan kayu yang dinamakan 'love bridge' (jambatan kasih), menggambarkan kehidupan zaman itu.

Hampir setiap tahun, sejak tahun 2019, pengurusan projek mengindahkan semula Kwai Chai Hong dan menganjurkan pameran seni dengan tema sambutan tahun baharu dan tahun ini temanya ialah ‘Rise of the Dragon’.

Penulis dan 19 pengamal media serta pempengaruh baru-baru ini berpeluang mengunjungi Lorong Hantu Kecil atas jemputan syarikat Bai Chuan Management Sdn Bhd dan suasana di Lorong Hantu Kecil amat mengujakan.   

Melangkah masuk ke Kwai Chai Hong, yang pertama mencuri perhatian kami adalah sebuah meja penuh dengan 144 kiub jubin mahjong iaitu permainan yang turut menjadi aktiviti utama buat masyarakat Cina pada setiap sambutan tahun baharu. 

Lebih unik lagi, meja itu turut diserikan dengan 'tangga' menyerupai permainan 'Uno' yang kemudiannya menyambungkan hiasan naga ke atas, membentuk satu kesinambungan antara permainan mahjong dan zodiak 'naga' yang menjadi tema sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini. 

Mahjong, permainan yang menjadi aktiviti utama buat masyarakat Cina pada setiap sambutan tahun baharu.

 

SEJARAH PERMAINAN 'MAHJONG' 

Menurut Pengarah Urusan Bai Chuan Management Sdn Bhd, Zeen Chang, pihaknya mahukan kelainan pada pameran tahun ini memandangkan kebanyakan pusat membeli-belah dan kawasan tumpuan pelancong sudah meriah dengan pelbagai jenis hiasan naga. 

"Tema zodiak sudah menjadi sangat lazim buat kita semua dan ke mana-mana sahaja pastinya ada hiasan naga ataupun bertemakan naga selain tanglung dan hiasan kaligrafi. Jadi kami mahukan sedikit kelainan dengan mengambil kira idea cadangan daripada beberapa artis tempatan. 

"Daripada banyak-banyak idea yang dibentangkan kepada kami, kami memilih 'mahjong' sebagai tema pameran bagi sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini, selain tidak lupa juga pada watak utama tahun ini iaitu naga.

"Jadi, kami bersepakat memilih untuk bekerjasama dengan artis tempatan yang juga arkitek dari Johor Bahru, Wong Jia Min, 28,  dan Lee Chaer Shean, 28,  dari 'plus+plus' Design Studio bagi menjayakan tema 'Rise of the Dragon' dengan menggunakan permainan mahjong," katanya kepada Bernama. 

Zeen Chang

Menurut beliau, mahjong bukan setakat permainan bagi masyarakat Cina dan ini yang ditekankan dalam pameran di Kwai Chai Hong, sama juga seperti permainan dam dalam kalangan masyarakat Barat.

"Pada suatu ketika dahulu, mahjong adalah aktiviti santai masyarakat Cina. Permainan ini turut menjadi simbolik masyarakat majmuk Malaysia dengan perpaduan memperkukuhkan semangat antara kaum.

"Mahjong juga sesuai untuk semua peringkat umur dan lapisan, masa untuk berseronok dan menjalin kemesraan. Permainan mahjong ini memerlukan perlbagai campuran kiub jubin untuk kombinasi yang unik, metafora kekuatan negara ini dari segi kepelbagaian dan perpaduan, " katanya.

 

MEMBANGUNKAN 'NAGA' 

Menurut Chang, mahjong sering dikaitkan dengan perjudian tetapi pada realitinya permainan itu lebih mengeratkan silaturrahim sesama anggota keluarga.

"Dalam tema pameran tahun baharu ini, kami tidak menekankan aspek perjudian bahkan lebih kepada semangat meneruskan legasi permainan tradisional Cina yang diwarisi generasi demi generasi sejak Dinasti Qing.

"Ia juga untuk memaparkan tradisi Cina kepada pengunjung, terutama pengunjung bukan Cina dan asing. Ini membolehkan mereka belajar tentang budaya masyarakat Cina semasa perayaan tahun baharu," katanya.

Pemasangan 'The Rise of the Dragon' boleh dilihat dari 25 Januari hingga 3 Mac di Kwai Chai Hong

Chang selanjutnya berkata, tema 'Rise of the Dragon' amat sesuai, menggambarkan raksasa yang selama ini ‘berehat sementara’ akhirnya sudah mengumpulkan kekuatan yang mencukupi untuk mendatangi tahun baharu dengan kuasa serta kegagahan.

"Seperti mana setiap pemainan mahjong dilakukan, permulaan permainan dengan kedua tangan kita mencampurkan kiub jubin dengan pergerakan berpusing, seperti si naga yang badannya meliuk-liuk tatkala terjaga daripada tidurnya.

"Kwai Chai Hong berbangga untuk mendukung, mengekal serta menghidupkan semula tradisi budaya, di samping perasaan gembira berkongsi bahagian sejarah yang unik ini dengan rakyat Malaysia yang lain,” katanya.

Wong berkata, pergerakan permainan mahjong juga seolah mencerminkan tindakan memulakan tahun baharu, memaparkan simbol kemakmuran, persatuan, harmoni dan keamanan bagi tahun yang disambut.

"Panel mahjong serta kasa dawai secara kolektif membentuk badan naga, seolah bangkit daripada tidur dengan berakhirnya musim sejuk dan menjulang badan mengarah ke langit , seolah menggambarkan harapan tinggi untuk tahun yang lebih baik, lebih makmur dalam Tahun Naga ini," katanya. 

Lee berkata, permainan mahjong, memerlukan pelbagai kiub jubin untuk kombinasi unik dan juga ia metafora kekuatan negara dalam kepelbagaian dan perpaduan.

"Pemasangan ini lebih daripada pameran artistik. Ia mewakili harapan dan mengajak kita mendukung bab baru kehidupan dalam mengalu-alukan kedatangan Tahun Naga," katanya. 

Wong Jia Min (kiri) dan Lee Chaer Shean (kanan) dari plus+plus Design Studio

Dengan maksimum empat orang pemain, permainan mahjong yang meraikan perpaduan dan kebersamaan, memerlukan tuah dan kemahiran untuk menang.

Bunyi kuat kiub jubin mahjong yang menambah kepada kemeriahan perayaan dikatakan seperti bunyi mercun apabila dibakar untuk ‘menghalau’ nasib malang.

Kwai Chai Hong dibuka kepada orang ramai dari pukul 9 pagi hingga pukul 12 malam, dan pemasangan 'The Rise of the Dragon' boleh dilihat dari 25 Januari hingga 3 Mac.

 

 

Disunting dan diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.