Tak susah, mudah dan menyeronokkan … kanak-kanak pun boleh buat, cuma sediakan beberapa bahan dan alatan asas, termasuk bekas lut sinar," kata Suzana Zainal Abidin, 53, sambil menunjukkan beberapa gubahan yang tersusun kemas di atas meja.
Gubahan yang dimaksudkan itu ialah ‘terarium’, seakan konsep taman mini di dalam bekas lut sinar, sama ada balang atau botol kaca/plastik pelbagai saiz.
"Nak buat pun tak ambil masa lama, biasanya sejam hingga dua jam, bergantung kepada saiz bahan yang dipilih dan dekorasi terarium yang hendak disiapkan," kata Suzana yang mesra dipanggil Jan Zainal, sambil menambah, kebanyakan terarium boleh bertahan lama kerana ‘keadaan semula jadi yang terbentuk di dalam bekas terarium’.
Yang pastinya, apabila melihat pelbagai jenis terarium yang begitu cantik seni gubahannya, terarium ini mungkin boleh menjadi pilihan atau solusi bagi mereka yang suka tanaman tetapi sering kesuntukan masa untuk menjaganya dengan baik.
Bekas lut sinar yang digunakan mempunyai penutup atau dibiar terbuka. Bahan yang diisi di dalam bekas atau botol terdiri daripada tanah, batu-batu kecil serta bahan lain, dan tanaman pula mengikut pilihan.
pic-2
Menurut Jan, untuk bekas yang bertutup, tanaman yang sesuai adalah yang gemar kelembapan tinggi seperti fitonia, sementara untuk bekas terbuka, yang sesuai adalah seperti succulent dan kaktus.
"Gubahan terarium ini juga amat membantu mengurangkan stres kerana ia mengajar kita untuk menikmati alam semula jadi di dalam rumah kita sendiri. Ia juga mengajar kita untuk menjadi lebih bertanggungjawab bagi memastikan tanaman itu bertahan lama.
"Bagus untuk minda kerana kita boleh buat daripada awal sehingga gubahan terarium boleh dibawa balik untuk hiasan di rumah atau di pejabat, " kata Jan, pemilik Taman Hati, studio tanaman dan kafe yang terletak di SS2, Petaling Jaya kepada Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.
Bagi kanak-kanak, Jan berkata, membuat terarium juga boleh menjadi satu latihan sebelum mereka memiliki haiwan peliharaan kerana perlu menjaga air, baja dan tanah mengikut kesesuaian di samping boleh melihat tanaman itu membesar.
.
SEJARAH TERARIUM
Bercakap mengenai asal-usul terarium, secara ringkasnya Jan berkata, perkataan itu berasal dari perkataan Latin iaitu 'terra' bermaksud 'bumi' atau 'tanah', dan 'arium' bermaksud lokasi atau bekas.
Meskipun terarium sudah wujud pada awal kurun ke-19 lagi, namun ia kurang popular di Malaysia.
Menurut Jan, masyarakat di Malaysia mungkin mula mengenali terarium dan menjadikannya sebagai hobi sekitar awal tahun 2000.
Mengikut sejarah, katanya, terarium sebenarnya bermula pada tahun 1842, apabila seorang ahli botani Inggeris Dr Nathaniel Bagshow Ward membuat pelbagai cubaan untuk menanam paku-pakis di luar premis tetapi gagal, dengan andaian ia mungkin disebabkan asap dari kilang di bandar.
Ketika mengamati kokun yang disimpan di dalam bekas bertutup, beliau melihat beberapa tanaman tumbuh di dalam tanah di bahagian bawah bekas, dan antaranya sejenis pakis dan berbanding yang ada di rumahnya, yang ini hidup segar.
Ward kemudiannya meletakkan bekas itu di tepi tingkat bilik kerjanya dan tanaman di dalam bekas terus hidup segar sehingga bertahun-tahun, tanpa perlu disiram air.
Beliau menghasilkan penulisan pendek bertajuk 'The Growth Of Plants Without Open Exposure To Air' dan berikutnya pada tahun yang sama, buku bertajuk, 'On The Growth Of Plants In Closely Glazed Cases'.
KELAS TAMAN HATI
Jan yang sememangnya menggemari bidang tanaman juga seni, memutuskan untuk menganjurkan kelas menggubah terarium di kafenya.
Menurut wanita ini, dia mula berjinak-jinak dengan terarium selepas berhenti kerja sebagai perunding IT dengan sebuah syarikat minyak dan gas pada tahun 2016, selepas berkhidmat selama 20 tahun. Dia berbuat demikian selepas ayahnya meninggal dunia pada tahun yang sama dan mahu menghabiskan masa dengan keluarganya.
"Semasa saya kecil, saya lihat nenek saya banyak menanam pokok herba, sayur dan buah-buahan di hadapan rumahnya di SS14, Petaling Jaya. Dari situ timbul minat saya berkebun.
"Selepas berhenti kerja, saya fikir mahu berehat seketika dan saya mendaftarkan 'Taman Hati' sebagai sebuah syarikat untuk memulakan perniagaan terarium di rumah pada tahun 2016.
"Pada mulanya, ia bermula sebagai hobi, buat terarium di rumah dan adakalanya, buat pop-up kafe dan bengkel gubahan terarium. Saya juga mengajar kanak-kanak berkebun sebagai sebahagian daripada kokurikulum mereka di Garden International School, selama dua tahun.
"Memandangkan banyak juga aktiviti yang saya buat, saya buat keputusan untuk sewa separuh ruang kedai di Lorong Maarof, Bangsar pada tahun 2018. Saya berkongsi kedai itu dengan sebuah kafe dipanggil 'Niko Neko'," katanya.
pic-3
Menurut Jan, semasa pandemik pada tahun 2020, kafe tanaman 'Taman Hati' berpindah ke Jalan Kemuja, Bangsar. Akibat Perintah Kawalan Pergerakan, dia perlu membuat kelas secara maya dan menggunakan khidmat kurier untuk menghantar bahan terarium kepada pelanggannya, sebelum kelas bermula.
"Selepas dua tahun di Bangsar, saya buat keputusan memindahkan 'Taman Hati' ke SS2, Petaling Jaya, di mana saya beroperasi sehingga sekarang. Tempat ini mudah untuk pelanggan saya meletak kereta mereka dan mengambil tanaman yang mereka beli.
"Sebenarnya, kedai ini ditawarkan oleh salah seorang pelanggan saya juga juga tuan punya kedai ini. Dia juga membenarkan saya membuka bumbung dan menggantikannya dengan bumbung yang telus cahaya matahari, amat sesuai untuk tanaman saya, " katanya.
BENGKEL TERARIUM
Setakat ini, bengkel mengenai pembuatan dan tanaman terarium yang dikendalikan Jan sejak enam tahun lepas berjaya menarik minat kira-kira 500 orang, dari semuda umur lima tahun sehingga 80 tahun.
"Saya mula mengajar kira-kira lapan orang maksimum di kafe pada hujung minggu dan saya juga akan masukkan maklumat mengenai kelas saya di media sosial. Saya juga sering menghadiri pameran seni.
"Ibu saya yang berumur 88 tahun, sekali-sekali membantu saya di kedai tetapi sejak tahun lepas dia tak dapat bantu saya dan duduk di rumah sahaja kerana masalah kesihatan," katanya.
pic-4
Menerusi bengkel yang dikendalikannya, Jan menyakinkan peserta juga pekerja kafenya bahawa terarium adalah hobi yang boleh menjadi terapi dan mudah dipelajari.
"Mereka boleh menjadi kreatif dengan rekaan mereka, boleh memilih gabungan lumut, batu dan barangan perhiasan lain, sesuai dengan cita rasa mereka, ” katanya menambah, sebarang bekas kaca termasuk jem dan biskut boleh digunakan.
Jan menggalakkan peminat terarium mengitar semula bekas yang mereka ada di rumah untuk meminimumkan pembaziran.
"Saya juga banyak menggunakan bekas yang ada di rumah untuk bekas terarium saya seperti botol jam, balang kopi dan botol alat solek.
"Langkah ini lebih mesra alam, tak perlu beli bekas baharu, tapi jika mahu dijadikan sebagai hadiah, anda mungkin boleh beli bekas baharu," katanya.
PELBAGAI JENIS TERARIUM
Menurut Jan, untuk bengkel terariumnya, dia akan menunjukkan dua jenis bekas iaitu yang bertutup dan tidak mempunyai penutup.
Kedua-duanya berbeza daripada segi kadar kelembapan dan penjagaan.
"Untuk terarium bekas bertutup, lembapan tersimpan di dalam bekas, jadi tanaman mendapat air daripada proses kondensasi atau pemeluwapan. Keadaan ini menyebabkan tanaman tidak perlu diberi air secara kerap.
"Bagaimanpun, untuk terarium tanpa penutup, bekas ini perlu diletakkan berhampiran tingkap da disiram air setiap tiga hingga empat hari, bergantung kepada jenis tanaman.
"Sekiranya ia kaktus atau succuluent, air hanya perlu disiram sekali seminggu, memadai menggunakan botol penyembur, katanya menambah, berbanding tanaman yang memerlukan tanah dan air yang mencukupi, tanaman terarium tidak boleh disiram air berlebihan.
Dia menjelaskan, air yang berlebihan akan mengakibat akar tanaman mereput kerana bekas berkenaan tidak mempunyai lubang untuk air keluar dan tanaman akan mati.
"Lebih elok kurang basah daripada terlalu basah kerana jika akar sudah reput, tanaman itu tidak boleh diselamatkan lagi,” katanya.
Di samping mengadakan bengkel terarium, Jan berkata, dia juga menawarkan pelanggan kafenya kit terarium 'Do-It-Yourself' (DIY) yang disertakan juga dengan set minuman dan pastri, serta alatan untuk membuat terarium dan panduan.
"Ketika menjamu selera, mereka juga boleh memilih set terarium dengan dibantu pekerja kami. Harganya RM80 satu set dan mereka boleh bawa pulang set DIY terarium mereka, " katanya, menambah kafenya juga menjual set terarium yang siap digubah, dengan harga antara RM60 hingga RM 300.
Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial