Lapor Perawat Tradisional Ambil Kesempatan, Konon Untuk Pulihkan Kanser

P
ada 2007, Che Intan Mat Zain dapati dirinya kerap terjatuh tanpa sebarang sebab setiap kali dia berjalan.

“Akak tak pergi hospital sebab rasa takut,” katanya kepada Bernama melalui WhatsApp.

Sebaliknya, wanita berusia 62 tahun dari Pokok Sena, Kedah itu memilih berjumpa bomoh.

Sepanjang tiga tahun dia mendapatkan rawatan daripada bomoh itu, bahan-bahan yang diminta bagi mengubati penyakitnya - kononnya disebabkan oleh hantu yang bergayut di kakinya dan menyebabkan dia terjatuh - semakin lama semakin tidak masuk akal, dan ini belum lagi diambil kira kos yang mencanak.

Antara barang yang diminta oleh bomoh itu ialah kain kapan orang yang mati dibunuh pada hari Selasa dan jantung burung bulbul yang mati akibat patah hati. Jika dia tidak dapat mencari barang yang diperlukan itu, bomoh tersebut akan tawarkan kepadanya pada harga ribuan ringgit.

Lama-kelamaan dia tersedar.

“Pi (pergi) jumpa doktor sebab rasa ditipu dengan (bomoh) minta yang pelik,” kata wanita yang mempunyai dua orang cucu itu.

Selepas berjumpa doktor, dia didiagnosis menghidap barah otak. Saiz tumor di dalam otaknya juga telah menjadi begitu besar hingga menyebabkan dia mengalami strok dan kehilangan penglihatan serta pendengaran di sebelah kiri. Bagaimanapun doktor memberitahunya yang dia bernasib baik, kerana dia mungkin tidak dapat diselamatkan jika dia terlambat sedikit sahaja lagi dalam mendapatkan pembedahan dan rawatan.

Che Intan Mat Zain, 62, pesakit barah otak, bersama anak. Beliau mula-mula pergi berubat dengan bomoh, dan membelanjakan sekitar RM60,000 serta terpaksa menjual rumahnya bagi membiayai kos rawatan dengan bomoh tersebut. Gambar ihsan.

Akan tetapi, semua itu berlaku selepas dia membelanjakan sekitar RM60,000 serta terpaksa menjual rumahnya bagi membiayai kos rawatan dengan bomoh tersebut. Kini, dia, suaminya serta anak lelaki mereka yang berusia 14 tahun, menumpang tinggal dengan ibunya yang berusia 86 tahun, di sebuah rumah kecil satu bilik. 

Berasa terpanggil untuk memberi amaran kepada orang lain, Che Intan berkongsi kisahnya dengan penghidap kanser menerusi kumpulan sokongan Cancer Survivors Malaysia (CSM). Pertubuhan ini menjalankan pelbagai program kesedaran di seluruh negara, dan Che Intan terlibat secara aktif sama ada dalam talian ataupun hadir secara fizikal.

Dia akan bercerita tentang bahaya percayakan rawatan tradisional dan alternatif yang tidak diiktiraf bagi merawat kanser, tanpa berjumpa doktor terlebih dahulu.

Pengasas dan Presiden CSM Zuraini Kamal memberitahu Bernama yang beliau juga pernah terpedaya dengan janji manis yang diberikan oleh pengamal perubatan tradisional dan alternatif. Katanya, beliau membelanjakan hampir RM100,000 untuk rawatan yang tidak diiktiraf.

“(Dari) saat kita tahu kita kena kanser, kita (cuma fikir) kita nak hidup. Apa sahaja orang (pengamal perubatan alternatif) jual, orang suruh kita makan, kita makan. Semua jenis rumput, herba dan jamu,” katanya.

Tegas Zuraini, amat penting untuk masyarakat melindungi pesakit daripada pengamal perubatan tradisional dan alternatif yang bersikap menangguk di air keruh. Isu ini semakin serius susulan peningkatan populariti perubatan tradisional dan alternatif.

Di Malaysia, ada undang-undang khusus yang melindungi orang awam daripada salah amalan perawat perubatan tradisional dan alternatif, iaitu Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) 2016 yang dikuatkuasakan dalam tiga fasa sejak 1 Ogos 2016. Fasa ke-tiga akan bermula akhir bulan Februari, mengikut maklumat di portal Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menerusi akta itu, Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari ditubuhkan bagi mendaftar pengamal, menggubal standard amalan serta kelayakan, selain mengambil tindakan undang-undang terhadap kesalahan seperti tidak mendaftar dengan majlis itu. 

Kesalahan yang boleh didakwa di mahkamah membawa hukuman penjara hingga dua tahun dan denda RM30,000 atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan penjara hingga tiga tahun serta denda RM50,000 untuk kesalahan berikutnya.

Namun kata pakar, undang-undang itu hanya berkesan jika dimanfaatkan oleh orang ramai dan pihak berkuasa.  

 

BAGUSKAH PT&K? 

Di Malaysia, perubatan tradisional, komplementari dan alternatif adalah kaedah rawatan yang popular sejak dahulu lagi dan turut diiktiraf sebagai satu cabang perubatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).  Setakat 2015, terdapat 13,846 pengamal perubatan tradisional dan komplementari (PT&K) berdaftar di bawah Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari.

Di peringkat global, pasaran penokok diet merekodkan nilai US$156.89 bilion pada 2022, dan dijangka mencecah US$339.89 bilion menjelang 2032, demikian menurut analisis firma penyelidikan pasaran berpangkalan di Kanada, Emergen Research, yang diterbitkan pada 30 Nov 2023.

Pakar kesihatan mengiktiraf PT&K berdasarkan pendekatan menyeluruh cabang perubatan itu dalam mempromosikan kesihatan, mencegah penyakit serta membantu individu merawat gangguan kesihatan dengan mengawal aspek fizikal, emosi dan mental serta persekitaran hidup mereka.

Dr Cecilliann Veronica, doktor integratif dan perubatan functional di SOL Integrative Wellness Centre. berkata perubatan komplimentari boleh mengurangkan gejala dan meningkatkan kualiti hidup pesakit kanser. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA

Bagaimanapun PT&K tidak harus menggantikan rawatan perubatan konvensional, kata Dr Cecilliann Veronica daripada SOL Integrative Wellness Centre yang menawarkan rawatan komplementari kepada pesakit kanser.

Kata pengamal perubatan fungsian itu, tujuan mereka ialah membantu dan menambah baik fungsi tubuh manusia dengan menggemblengkan perubatan konvensional serta PT&K.

“Ada pesakit yang menjalani rawatan konvensional seperti kemoterapi, radioterapi, namun pada masa sama mereka turut lakukan perkara lain bagi menyokong sistem tubuh, terutama sistem imun, selain bagi menjalani kehidupan yang lebih berkualiti. Di sinilah saya memainkan peranan sebagai perawat, iaitu mendidik mereka," kata Dr. Cecilliann. 

Kata beliau, terapi yang ditawarkan mereka adalah berdasarkan bukti dan menumpukan pada keseluruhan tubuh dengan membantu dari segi perubahan pemakanan dan gaya hidup seperti pengurusan stres, agar penghidap kanser dapat menjalani kehidupan secara sihat.

Stres contohnya, mungkin mempunyai kesan tidak langsung terhadap kanser dengan cara menghalang proses yang dipanggil anoikis, iaitu satu keadaan di mana sel berpenyakit mati dan mencegah sel-sel terbabit daripada merebak, Dr Anil K. Sood daripada MD Anderson Cancer Centre, University of Texas dilaporkan berkata.

Para pakar berkata yang menjadi masalah ialah apabila pengamal PT&K, sama ada berdaftar atau tidak, menawarkan produk mereka sebagai satu cara menyembuhkan atau mencegah kanser serta penyakit-penyakit lain tanpa mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan atau meminta pesakit mendapatkan rawatan hanya daripada mereka.

 

PIAWAIAN BERBEZA

Pakar berpendapat satu daripada sebab pesakit mudah diperdaya oleh pengamal PT&K yang menipu ialah perbezaan di antara perubatan konvensional dan PT&K sukar difahami.

Dari satu segi, doktor perubatan dan syarikat farmaseutikal dituntut oleh undang-undang dan juga kod etika agar tidak keterlaluan dalam janji mereka atau mengelirukan pesakit.

“Kami elak guna perkataan ‘sembuh’ kerana, sekalipun di tahap satu atau dua (rawatan) yang bertujuan menyembuhkan, pesakit mungkin relaps dan kembali mendapatkan rawatan, jadi kami amat berhati-hati tentang penggunaan perkataan sembuh,” kata Dr Astrid Sinarti Hassan, pakar etika perubatan yang turut berkepakaran dalam bidang onkologi.

Di bawah Akta PT&K, pengamal perubatan bidang itu dilarang mengelirukan atau menjanjikan kesembuhan penyakit seperti kanser. Mereka juga diwajibkan menjalani latihan berkaitan di pusat pengajian yang diiktiraf oleh KKM. 

Bagaimanapun pada masa ini, syarat-syarat tersebut tidak dikuatkuasakan sepenuhnya.

Sekalipun peraturan dan piawaian bagi produk PT&K dialu-alukan, aspek itu tidak setanding syarat yang perlu dipatuhi oleh doktor perubatan dan syarikat farmaseutikal.

Rawatan kanser konvensional termasuk penggunaan TOMOterapi, berpandukan imej yang menyasarkan tumor dalam sesetengah kanser secara khusus, sementara mengelakkan tisu sihat. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA

Pengajian dan latihan perubatan mengambil masa bertahun-tahun, dan untuk menjadi pakar pula mengambil masa yang lebih lama. Sepanjang kerjaya, mereka dituntut menyambung pengajian dan sentiasa melengkapi diri dengan penemuan perubatan terkini.

Bagi syarikat farmaseutikal pula, organisasi itu perlu melepasi ujian yang ketat, melalui pelbagai fasa bermula dari piring petri hinggalah kepada ujian ke atas haiwan dan manusia, dengan memperoleh keputusan yang konsisten sebelum mendapatkan kelulusan untuk dipasarkan. Keseluruhan proses mengambil masa bertahun-tahun dan berterusan sekalipun setelah mendapat kelulusan. Ubat-ubatan terbabit dipantau selama bertahun-tahun bagi melihat kesan advers.  

Pengamal dan produk PT&K tidak begitu terikat atau dikawal selia sepertimana doktor dan syarikat farmaseutikal.

Latihan bagi perawat PT&K biasanya mengambil masa lebih singkat dan rawatan serta terapi PT&K pula melalui proses yang tidak begitu ketat. Kajian ke atas herba yang popular dalam rawatan kanser mungkin menemukan manfaat melawan kanser, namun lazimnya kajian dilakukan di dalam makmal tanpa melibatkan ujian terhadap manusia. 

“Hanya ada (sejumlah kecil) kajian keberkesanan ke atas penokok diet dan terapi, dan mereka (jarang-jarang) dikenakan hukuman,” kata Dr Hafizah Zaharah Ahmad, pakar perunding onkologi daripada Sunway Medical Centre Velocity.  

 

KESEDIAAN MEMBUAT LAPORAN

Pakar bersetuju bahawa pengamal PT&K yang menipu ini terlepas daripada tindakan selama bertahun-tahun disebabkan oleh ketiadaan penguatkuasaan dan undang-undang. Akan tetapi, keadaan itu juga mungkin berpunca daripada pesakit sendiri.

“Pesakit percaya kepada mereka kerana apabila kita bercakap tentang perubatan tradisional dan alternatif, kaedah itu adalah jalan keluar paling mudah,” kata Dr Astrid yang merupakan pensyarah perubatan di Universiti Teknologi Mara.

Sehubungan itu, kata beliau, amat penting bagi pesakit mendidik diri mereka, keluarga serta rakan-rakan. Beliau dan pakar yang lain berkata amat penting bagi pesakit mengambil kira pandangan doktor mereka semasa membuat keputusan perubatan, terutama jika mereka memilih PT&K.

Dr Astrid juga berkata adalah penting bagi pesakit mengetahui hak mereka di bawah undang-undang.

Tambah beliau, rakyat Malaysia perlu memupuk budaya melaporkan pelanggaran undang-undang, sama ada melibatkan pengamal PT&K atau pihak lain. Beliau berkata keseluruhan masyarakat akan beroleh manfaat jika ahli masyarakat, khususnya mangsa itu sendiri, sedia membuat laporan tentang  pengamal perubatan tidak jujur.

“Sekalipun KKM ada kuasa untuk menutup operasi (pengamal perubatan tidak jujur), adakala mereka terlepas kerana sangat sedikit yang membuat aduan. KKM tidak boleh bertindak selagi tidak ada aduan,” katanya.

Pakar perunding undang-undang dan etika perubatan P.S. Ranjan menasihatkan orang ramai menggunakan rawatan hanya daripada pengamal tradisional dan komplementari yang dikitiraf. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA

“Jika mereka fikir, mereka tidak akan tertangkap atau disaman, maka mereka akan teruskan kegiatan mereka itu,” tambah pakar perunding undang-undang PS Ranjan yang juga seorang pakar etika perubatan.

Ranjan berkata mengikut pengalaman beliau, bidang medico-legal masih kecil di Malaysia, bagaimanapun beliau menjangka bilangan akan bertambah apabila kesedaran masyarakat meningkat. 

Kedua-dua pakar itu turut mengingatkan pesakit agar mendapatkan rawatan daripada pengamal berdaftar sekiranya mereka memilih PT&K untuk keperluan kesihatan mereka.

Bernama menghubungi KKM bagi mendapatkan ulasan namun tidak menerima sebarang jawapan.

Dalam pada itu, Zuraini, yang kini bebas kanser, tertanya-tanya sama ada beliau masih boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pengamal perubatan yang menipu dan tidak berdaftar kerana kes beliau itu berlaku sebelum penguatkuasaan Akta PT&K.

Meskipun begitu, beliau berikrar untuk memberitahu kesemua ahli CSM dan pesakit kanser tentang hak mereka di bawah undang-undang. Dalam kalangan 30,000 lebih ahli CSM, empat daripada lima orang mendapatkan rawatan tradisional dan alternatif.

“Saya lakukan ini kerana saya juga pernah menjadi mangsa,” kata Zuraini.

 

Artikel ini adalah yang terakhir daripada laporan bersiri tiga bahagian tentang rawatan kanser dan mudarat yang dibawa oleh perubatan tradisional tidak diiktiraf.

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.