FOKUS BERNAMA

Cakna Pradiabetes, Elak Penyakit Kencing Manis

06/12/2024 10:56 AM

Penyakit diabetes atau kencing manis, antara penyakit tidak berjangkit yang digeruni kerana berisiko memicu pelbagai komplikasi lain seperti penyakit buah pinggang, jantung dan angin ahmar.

Namun, di sebalik pelbagai usaha dijalankan oleh kerajaan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang bahaya diabetes, Malaysia masih tersenarai sebagai negara dengan prevalens tertinggi penyakit itu di Asia Tenggara.

Memetik kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Ogos lepas, seorang daripada enam rakyat negara ini menghidap diabetes. 

Realitinya, diabetes boleh dicegah jika ahli masyarakat mengambil maklum tentang gejala pradiabetes, iaitu amaran awal tentang kemungkinan individu itu menghidap kencing manis pada masa akan datang.

Pradiabetes ialah satu keadaan di mana tahap gula dalam darah seseorang itu agak tinggi namun masih belum memadai untuk dikategorikan sebagai diabetes. 

 

GEJALA PRADIABETES

Menurut Pakar Perunding Endokrinologi di Pusat Perubatan Sunway  Dr Teoh Wei Leng, lazimnya pradiabetes tidak menunjukkan gejala.

Namun, jika ada, antara simptom yang ditunjukkan ialah kerap membuang air kecil, mudah penat, penglihatan kabur, kebas pada tangan atau kaki, luka lambat sembuh dan penurunan berat badan yang tidak dijangka.

“Selain itu, individu juga boleh mengesan beberapa tanda yang menunjukkan mereka mungkin pradiabetes, seperti kulit di bahagian leher, ketiak atau pangkal paha menjadi lebih gelap berbanding bahagian lain pada tubuh.

“Akan tetapi, sebaiknya mereka yang berisiko mempunyai pradiabetes menjalani ujian darah yang akan dapat menentukan paras gula dalam darah mereka dengan tepat,” katanya kepada Bernama.

pic-2

Jelas Dr Teoh, walaupun pradiabetes mungkin tidak berkembang menjadi diabetes, amat penting individu yang berkenaan mengawal keadaan itu kerana  pradiabetes meningkatkan secara ketara risiko menghidap kencing manis.

“Menurut Persatuan Diabetes Amerika Syarikat, mereka yang berumur lingkungan 45 tahun serta dikenal pasti mempunyai pradiabetes, berisiko mendapat penyakit diabetes antara sembilan ke 14 peratus  dalam tempoh 10 tahun,”  katanya kepada Bernama.

Paling membimbangkan, kata beliau, semakin ramai daripada generasi muda di Malaysia mempunyai pradiabetes termasuk dalam kalangan kanak-kanak, khususnya yang memiliki berat badan berlebihan.

 

RISIKO DIABETES

Mengulas lanjut, Dr Teoh berkata individu dengan keadaan pradiabetes yang tidak dikawal akan merisikokan dirinya kepada penyakit diabetes jenis dua, iaitu pencetus pelbagai komplikasi kesihatan lain. 

“Diabetes jenis dua ialah penyakit sepanjang hayat, iaitu tubuh manusia tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi atau tidak dapat menggunakan insulin dengan betul.

“Insulin merupakan hormon yang mengawal paras gula dalam darah. Kerintangan atau kekurangan insulin dalam tubuh boleh menyebabkan kandungan gula dalam salur darah menjadi sangat tinggi. 

“Gula sangat toksik kepada salur darah dan juga organ dalaman manusia. Jadi, penyakit diabetes ini bukan sekadar masalah gula, tetapi akan menjejaskan organ lain dan akhirnya seseorang itu turut berdepan penyakit seperti jantung, strok, masalah kolesterol, hipertensi, buah pinggang dan sebagainya,” jelas beliau.

Tambah Dr Teoh, jika penyakit diabetes dalam kalangan rakyat negara ini tidak dikawal, Malaysia akan terus terbeban bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga penurunan produktiviti kerana kehilangan tenaga kerja.

Tahun lalu, Kementerian Kesihatan mendedahkan kerajaan membelanjakan RM4.9 bilion setahun bagi menangani penyakit diabetes, dan ketika ini dianggarkan 3.9 juta orang dewasa di Malaysia menghidap penyakit itu.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019,  prevalens diabetes dalam kalangan orang dewasa berumur 18 tahun ke atas menunjukkan trend peningkatan, iaitu 11.2 peratus pada 2011 melonjak kepada 13.4 peratus  pada 2015 dan  meningkat kepada 18.3 peratus pada 2019.

“Diabetes jenis dua ini berpunca daripada pemakanan dan gaya hidup kita. Rawatan terbaik untuk pesakit diabetes ialah mengurangkan berat badan, mengubah gaya hidup dengan melakukan aktiviti fizikal serta mengamalkan pemakanan seimbang,” kata Dr Teoh. 

Memetik NHMS 2023, beliau berkata 95.1 peratus rakyat Malaysia tidak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran pada kadar yang disyorkan, iaitu lima hidangan setiap hari.

“Tinjauan sama juga mendapati hampir 80 peratus rakyat negara ini tidak melibatkan diri dalam aktiviti fizikal sepertimana yang disyorkan, iaitu selama 150 minit setiap minggu,” tambahnya.

 

KURANGKAN RISIKO TERUTAMA KANAK-KANAK

Sementara itu, menurut Pakar Pediatrik dan Pediatrik Endokrinologi Dr Ch’ng Tong Wooi, pengambilan makanan berlebihan dan obesiti mendedahkan generasi muda, terutama kanak-kanak, kepada pradiabetes dan diabetes.

pic-3

“Pengambilan gula dalam pemakanan seharian, terutamanya oleh golongan kanak-kanak, perlu dipantau kerana pengambilan kalori berlebihan ini akan menyebabkan obesiti yang menjadi penyumbang kepada penyakit diabetes jenis dua dalam kalangan generasi muda.

“Selain gula, makanan yang tinggi karbohidrat olahan seperti kuih-muih, kek dan pelbagai jenis pastri serta makanan berkalori tinggi  turut meningkatkan risiko obesiti, yang secara tidak langsung menyebabkan diabetes,” jelas pakar di Pusat Perubatan Sunway itu.

Beliau berkata pemerhatiannya mendapati kes diabetes dalam kalangan kanak-kanak semakin membimbangkan sejak belakangan ini dengan kebanyakannya berpunca daripada obesiti dan gaya hidup tidak sihat, termasuk tidak bersenam.

Sehubungan itu, beliau menasihati ibu bapa yang anak mereka mempunyai berat badan berlebihan atau ada sejarah ahli keluarga menghidap kencing manis, agar membawa anak masing-masing menjalani saringan ujian darah sebagai pengesanan awal. 

“Perlu diingat, penyakit diabetes tidak boleh disembuhkan, tetapi boleh dikawal dengan pengurusan kesihatan yang baik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan