Mentari Bangunkan Kemahiran Pesakit Mental Masuki Sektor Ekonomi

S
ANDAKAN, 5 Ogos (Bernama) -- Tidak ada tanda luaran yang membezakan Tan dengan ahli masyarakat lain, kecuali dia sedang menjalani rawatan di pusat kesihatan mental Mentari Elopura, di sini.

Berusia 25 tahun, wanita ini menjalani rawatan di pusat itu sejak dua tahun lalu, dan mengakui dia kini lebih tenang selain gembira dapat belajar pelbagai perkara yang dimanfaatkannya untuk mencari pendapatan sendiri.

“Saya belajar memasak di Mentari, dan di rumah saya buat bisnes menjual kerepek serta jejari ketam yang saya buat sendiri hasil bimbingan Cikgu Asnah (juruterapi). 

“Resipi saya tengok di YouTube yang kemudian saya olah dan buat sendiri. Saya seronok sebab ada bisnes sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, di pusat itu, individu sepertinya yang mengalami masalah kesihatan mental dibimbing agar lebih percaya pada diri sendiri serta belajar menguruskan duit.

Mentari Elopura ialah pusat kesihatan mental di Hospital Duchess of Kent di sini, dan merupakan sebahagian daripada Mentari Malaysia, atau dulunya dikenali sebagai Pusat Kesihatan Mental Komuniti, Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Ditubuhkan pada 2014, hingga kini terdapat 33 pusat itu di seluruh negara termasuk dua di Sabah, iaitu Kota Kinabalu dan Sandakan.

 

“JOB COACH”

Di Mentari Elopura, pesakit yang mereka panggil "klien”, bukan sahaja dirawat tetapi turut dibimbing bagi memperkasa diri dan “berfungsi” dalam komuniti.

“Di sini kami ada doktor, jururawat, pembantu pegawai perubatan dan juga ahli terapi cara kerja yang bertindak sebagai ‘job coach’ bagi melatih pesakit, serta selaku perantara antara pesakit dan majikan, serta antara majikan dan barisan perawat di hospital,” jelas Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Duchess of Kent Dr Cheang Yue Wen kepada Bernama.

Katanya, pada masa ini terdapat lebih 60 pesakit sedang menjalani rawatan di Mentari Elopura dengan hampir separuh daripada mereka berhasrat menyertai, atau kembali, ke pasaran buruh. 

Sementara itu, menurut Azline Ajit, seorang daripada ahli terapi cara kerja di Mentari Elopura,  mereka sentiasa menganggap setiap pesakit ada potensi untuk kembali ke pangkuan komuniti walaupun isu mental yang dihadapi si pesakit adalah serius.

"Merawat pesakit mental bukan mudah, tetapi tidak mustahil. Misalnya, daripada 10 pesakit itu separuh boleh dibantu dengan cara beri kepercayaan kepada pesakit dan tumpu pada kebolehan mereka,” katanya, menambah sokongan keluarga turut memainkan peranan dalam proses pemulihan pesakit.

Beliau memberi contoh seorang daripada kliennya, iaitu seorang suri rumah dengan anxiety disorder  (kerisauan melampau) yang serius, namun kini mempunyai perniagaan sendiri selepas dirawat dan didedahkan kepada kegiatan membuat roti dan kek.

"Selepas dua tahun, dia sudah mempunyai perniagaan roti yang dilakukan secara dalam talian. Bermula dengan menerima tempahan secara kecil-kecilan, kini tempahan meningkat dan menjadi sumber pendapatan utamanya. Hingga sekarang dia masih menjalani rawatan susulan di Mentari,” kongsinya.

 

BANGUNKAN KEMAHIRAN

Mengulas lanjut, Azline berkata aktiviti ekonomi yang diperkenalkan di Mentari Elopura bersifat kos rendah, iaitu hanya memerlukan modal kecil namun dapat menjadi sumber pendapatan yang mencukupi buat klien. 

Beliau yang ketika ini menyelia 13 hingga 15 pesakit, berkata dua daripada mereka mampu berdikari sepenuhnya, manakala yang lain pula pada tahap 60 hingga 80 peratus, iaitu masih memerlukan bantuan.

"Saya melihat kebolehan klien saya daripada yang mudah hingga yang susah. Yang mudah contohnya membuat bakul daripada kertas surat khabar, manakala tahap sederhana melibatkan jahitan bakul dan paling sukar ialah membuat kraf kait atau crochet.

"Pembuatan kraf kait ini perlukan fine motor skills (kemahiran motor halus) kerana untuk mengait memerlukan pergerakan tangan dan pergelangan tangan. Setakat ini, daripada dua klien yang berdikari itu,  hanya seorang sahaja mencapai kebolehan tinggi, sementara yang seorang lagi hanya sederhana,” katanya.

Selain kemahiran fizikal, Azline berkata klien juga diajar menguruskan tekanan dan teknik bertenang.

"Kami juga dedahkan klien kepada pengurusan diri termasuk pengurusan kewangan. Ada klien yang tahap intelektualnya sangat rendah hingga tidak tahu bagaimana hendak menggunakan duit, dan kami ajar mereka,” sambungnya.

 

MAMPU BERDIKARI

Seorang lagi ahli terapi cara kerja di situ, Asnah Kornelis@ Amran berkata pesakit mental akan dilatih sehingga mereka mampu menjalani rutin harian tanpa bantuan serta berupaya mencari pendapatan sendiri.

"Saya mengendalikan bahagian domestik, iaitu klien diajar kerja-kerja di rumah seperti memasak, membuat kek dan kuih, serta kerja-kerja pembersihan. Pada masa ini saya ada enam klien aktif. 

"Biasanya kalau di rumah, ibu bapa atau keluarga tidak menggalakkan klien buat kerja rumah kerana mereka tidak percaya (klien boleh berbuat demikian dengan baik), tetapi di sini saya akan galak mereka buat kerja-kerja tersebut kerana itu antara cara tingkatkan keyakinan diri mereka,” jelasnya.

"Mereka ikut apa yang kita cakap. Klien ini, kalau diberi peluang memasak, menjual dan dilibatkan dalam apa kegiatan sekalipun, mereka sangat suka,” tambahnya.

Asnah berkata kliennya melakukan aktiviti berbeza sepanjang minggu, iaitu membuat kek dan memasak pada Isnin dan Rabu, sementara setiap Selasa dan Khamis pula mereka akan terlibat dalam aktiviti jualan di klinik.

Katanya, pendekatan itu bukan sahaja memberikan sokongan psikologi kepada pesakit, tetapi juga mendedahkan mereka kepada komuniti agar dapat membina keyakinan diri dan kemahiran bersosial.

"Kalau ada karnival jualan di luar,  saya akan bawa klien bersama. Melalui cara itu mereka mendapat banyak pendedahan... mereka boleh belajar tentang perniagaan sendiri. Kita kena banyak sokong pesakit mental, wujudkan dalam diri mereka bahawa mereka boleh buat dan bukan tidak berguna," katanya.

Lydia, 26, seorang lagi klien Mentari Elopura, berkata hidupnya berasa lebih baik kerana sentiasa menerima kata-kata motivasi dan sokongan daripada juruterapi yang dipanggil "cikgu".

"Di Mentari ada kawan. Kita tahu kita tidak macam orang normal. Saya tidak kacau orang. Selain itu,  di Mentari saya belajar macam-macam dengan kawan-kawan... belajar buat kuih, jus, menjahit. Saya mahu diberi peluang, kepercayaan untuk meneruskan kehidupan," katanya yang dirawat di situ sejak 2022.

Tambahnya,  di Mentari dia belajar cara menangani stres serta menenangkan diri, kerana, meskipun mengambil ubat, adakala emosi diuji membuatkan fikirannya bercelaru. 

 

Didiagnosis mengalami masalah mental tidak bermakna individu itu mempunyai masa depan yang gelap, kerana, dengan rawatan dan bimbingan pakar, si pesakit mampu "berfungsi” dalam komuniti.

Artikel terakhir daripada laporan dua bahagian ini menyoroti peranan Mentari Malaysia, sebuah unit kesihatan mental di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, dalam membantu pesakit yang berpotensi menjalani kehidupan seperti ahli masyarakat lain, di Sandakan, Sabah.

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.