Guna Mural, Terjemah Semangat Perpaduan, Cinta Negara

L
ukisan atau mural yang menghiasi dinding bangunan dalam kawasan kondominium The RiverCity, Sentul itu memaparkan pelbagai kisah kehidupan, kebudayaan serta kesenian rakyat Malaysia berbilang kaum yang kaya dengan adat serta budaya.

Itulah sentuhan berbakat 34 orang pelajar Akademi Seni Dasein yang menterjemahkan cinta mereka terhadap negara menerusi hasil seni yang menakjubkan.

Mural cetusan idea pelajar semester empat dan lima akademi berkenaan menyimpulkan semangat perpaduan yang mahu ditonjolkan pelajar-pelajar berkenaan agar masyarakat negara ini kekal hidup dalam keadaan aman dan damai.

Mural hasil cetusan penuntut Akademi Seni Dasein yang melambangkan semangat perpaduan.

Mengamati setiap lukisan, terpancar suasana keriangan dan betapa bertuahnya rakyat Malaysia kerana dikelilingi kehidupan yang indah dengan hubungan sesama kaum yang erat selain sikap saling menghormati melambangkan hubungan perpaduan yang kukuh.

 

TONJOL PELBAGAI BUDAYA

Mendekati tiga rakan yang memilih tema “Pemandangan Gabungan Budaya” (Cultural Fusion Vista), mural nukilan Ngu Shin Yiing,19, Teng Jia Hui,19 dan Yeo Ken Siang,20, mengisahkan rakyat negara ini yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum iaitu Melayu, India, Cina serta suku kaum di Sabah dan Sarawak, antaranya, Kadazan dan Iban.

"Kami memilih untuk menyampaikan konsep budaya berbilang kaum dalam mural ini. Kita sendiri sedia maklum Malaysia kaya dengan pelbagai kaum dan etnik dan masing-masing mempunyai nilai estetika tersendiri.

"Menerusi mural ini kami memaparkan tarian tradisional yang terdapat di Malaysia, perayaan yang disambut dengan meriah dan sudah tentu kita juga saling meraikan antara satu sama lain," kata Ken Siang kepada Bernama sambil disokong Shin Yiing dan Jia Hui.  

Pelajar-pelajar ini turut mengetengahkan dalam lukisan mereka alat mainan tradisional congkak dan wau di samping songkok dan tanglung yang menggambarkan betapa indah dan meriahnya tradisi yang diraikan di negara ini. 

"Mural ini memperlihatkan tentang perbezaan dan keindahan budaya pelbagai kaum selain memaparkan kepada masyarakat akan kepelbagaian masyarakat berbilang kaum di Malaysia," katanya menambah, mural berkenaan menggabungkan lima warna iaitu merah, biru, kuning, hitam dan putih.

Menurut Ken Siang yang mengikuti pengajian Diploma Illustrasi, mereka mengambil masa selama empat hari untuk menyiapkan mural itu dengan dibantu tiga orang pensyarah.

Yeo Ken Siang (kanan) bersama rakannya di samping mural mereka bertemakan Pemandangan Gabungan Budaya.

Ditanya mengenai cabaran ketika menyiapkan mural itu, Ken Siang yang berasal dari Muar, Johor itu berkata, untuk menterjemahkan suasana mengenai budaya dalam bentuk lukisan, sememangnya mencabar dan menuntut kesabaran tinggi.

" Ini kerana kami perlu melengkapkan esensi budaya yang ingin disampaikan termasuk adat resam, pakaian dan aktiviti harian. Cabaran utama adalah kekangan masa selain memastikan mesej karya tersebut jelas dan meresap ke jiwa penonton," katanya.

Dalam pada itu, dia turut menzahirkan penghargaan terima kasih buat pensyarah serta rakan-rakan lain yang banyak membantu menghasilkan karya berkenaan.

"Dari peringkat lakaran hingga ke hasil akhir, pensyarah banyak memberikan sokongan dan keyakinan kepada kami untuk menyiapkan tugasan ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi meluangkan masa semasa cuti untuk membantu kami mengabadikan mural ini," katanya.

 

MAKANAN PENYATUAN JIWA

Selain budaya, makanan juga menjadi pengerat hubungan dalam masyarakat. Jangan pandang enteng dengan menu kerana ia mampu menyatupadukan rakyat Malaysia yang kaya dengan aneka hidangan lazat dan dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Perkara itu yang ditonjolkan oleh Tan Jie Hua, Tan Zhi Xuen dan Foo Zi Wei dalam mural mereka dengan tema "Terokai Menu Pelbagai Budaya Malaysia."  

Tiga sahabat itu menampilkan hidangan popular dan ikonik di negara ini seperti nasi lemak, sate, cendol, laksa, roti canai sekali gus melambangkan perpaduan dalam budaya makanan Malaysia melalui lukisan mereka.

Sekumpulan penuntut sedang menyiapkan lukisan mural mereka yang mengisarkan kebudayaan, pepraduan dan kesenian.

Menerusi mural itu, mereka turut menggunakan pelbagai bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Tamil, Mandarin dan bahasa rojak, antaranya "ikat tepi satu dan "must try" yang lazimnya terdapat di warung atau gerai makan di negara ini bagi memikat pelanggan.

Mural ketiga iaitu “Kehidupan Seorang Pengembara” menggambarkan suasana landskap Malaysia, hidangan tradisional, hidupan liar eksotik dan mercu tanda ikonik, antaranya Menara Berkembar Petronas dan Kuil Kek Lok Si di Pulau Pinang.

Mural yang dihasilkan oleh Adrian Chan Kye Ming dan Yee Kam Fook itu turut memaparkan simbol yang mewakili beberapa negeri di Malaysia seperti pokok pinang, Gunung Kinabalu dan burung helang.

 

KEUTUHAN SENTUL DAN BATU TIGA

Sentul adalah sebuah kawasan pinggir Kuala Lumpur yang memiliki nilai warisan tersendiri. Ia juga bekas tapak depoh kejuruteraan kereta api terbesar di Tanah Melayu suatu ketika dulu, di samping terdapat beberapa buah kuil lama.

Pada tahun 1904, Keretapi Tanah Melayu Bersekutu mula membina kompleks kerja-kerja penyelenggaraan keretapi di Sentul yang dikenali sebagai Bengkel Keretapi Pusat yang terbesar di Tanah Melayu.

Bagi mengembalikan kegemilangan Sentul, The RiverCity, sebuah kawasan petempatan yang dibangunkan oleh Low Yat Group, berhasrat menjadikan lokasi berkenaan sebagai satu tarikan visual bagi meraikan kepentingan sejarah Sentul serta Batu Tiga, Jalan Ipoh yang merupakan komponen penting dalam landskap budaya di Kuala Lumpur.

Pengurus Kanan Pemasaran The RiverCity, Chan Wai Yee berkata, untuk merealisasikan perkara berkenaan, The RiverCity memilih untuk meremajakan kembali kawasan yang kaya dengan sejarah dengan menjadikannya sebagai  pusat seni dan komuniti yang berkembang maju. 

"Kerjasama untuk memperkaya budaya menerusi projek mural ini bertujuan menyuntik seni dalam kalangan masyarakat tempatan selain menyokong bakat artis muda.

“Misi kami di Low Yat Group adalah untuk meningkatkan kualiti hidup untuk semua insan dalam komuniti ini. Matlamat utama kami mahu mengubah kawasan ini menjadi persekitaran yang sihat, menarik dan dapat memupuk semangat komuniti dan kekitaan,” katanya.

Presiden Akademi Seni Dasein, Gooi Hean Chye bersama pengurusan The RiverCity merakam kenangan di mural sentuhan 34 penuntut.

Selain itu, katanya, The RiverCity juga sedang membangunkan laluan pejalan kaki komuniti berdekatan Jalan Selvadurai.

"Dengan komitmen untuk membersihkan laluan sungai berdekatan Sungai Batu, The RiverCity akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk meningkatkan infrastruktur awam yang bermanfaat kepada masyarakat," katanya.

Sementara itu, Presiden Akademi Seni Dasein, Gooi Hean Chye berkata, projek mural di The RiverCity itu melibatkan 34 pelajar dari akademi itu dan ia mengambil masa selama empat hari untuk dihasilkan, bermula dari 12 hingga 15 Jun lepas.

Menjelaskan kerjasama antara akademi berkenaan bersama The RiverCity, Gooi Hean melahirkan rasa bangga dengan kolaborasi itu selain gembira dengan pencapaian anak buahnya.

"Mural ini bukan sekadar seni namun lebih daripada itu. Ia merupakan medium penyampaian mesej yang menunjukkan bahawa pelajar-pelajar di akademi ini berupaya menyumbang keringat dan idea mereka kepada masyarakat.

“Jutaan terima kasih kepada pensyarah di Akademi Seni Dasein yang turut menyumbang kepada kejayaan projek ini,” katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

 

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.