FOKUS BERNAMA

KPKT Jamin Kelangsungan Kesejahteraan Warga Emas Di PPR

14/08/2024 10:52 AM

Bakal menjadi negara menua pada tahun 2030, banyak pihak membangkitkan tentang Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berusia lebih 20 tahun kerana menganggap ia tidak sesuai dihuni oleh warga emas kerana tidak  memenuhi keperluan golongan itu.

Artikel terakhir daripada laporan dua bahagian ini mengupas usaha dan langkah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam menyediakan kediaman PPR yang selesa untuk kesejahteraan golongan berkenaan.

 

Malaysia dijangka mencapai status negara menua pada tahun 2030 apabila lebih daripada 15 peratus keseluruhan penduduknya terdiri daripada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.

Berbaki sekitar enam tahun lagi, sebagai persiapan menangani keadaan itu, banyak saranan dibuat agar kerajaan proaktif dengan mengambil pelbagai langkah bagi menampung keperluan warga emas secara holistik termasuk kemudahan perumahan.

Antara syor yang dibuat ialah supaya unit kediaman di bawah program perumahan sosial kerajaan, iaitu Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang sudah melebihi usia 20 tahun dirobohkan kerana tidak lagi sesuai diduduki oleh golongan berkenaan.

Menyedari perlu ada usaha ke arah itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dimaklumkan sudah merancang dan melaksanakan pelbagai usaha yang dibuat secara berperingkat-peringkat untuk memastikan kesejahteraan  warga emas yang menetap di PPR.

 

MASIH BOLEH DIHUNI

Menurut KPKT dalam jawapan bertulis kepada Bernama, pada masa ini terdapat sebanyak 35 PPR membabitkan 29,832 unit kediaman yang sudah berusia lebih 20 tahun di seluruh negara.

Bagaimanapun, buat masa ini kerajaan tidak bercadang untuk merobohkan mana-mana perumahan PPR yang berusia 20 tahun itu kerana disifatkan ia masih selamat untuk diduduki.

‘’Berdasarkan kajian kita, jangka hayat bangunan PPR yang dibina boleh mencapai kepada 50 hingga 100 tahun.

pic-2

‘’Susulan itu, setakat ini kerajaan tidak berhasrat untuk merobohkan mana-mana perumahan PPR memandangkan ia masih selamat untuk diduduki,’’ jelas KPKT.

Sebelum ini, kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) menunjukkan sebahagian besar projek kediaman  yang dibangunkan lebih 20 tahun lalu tidak lagi berada dalam kondisi yang baik dan dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada kualiti hidup penduduk.

Menerusi kajian itu, satu daripada 10 penduduk di PPR  adalah warga emas dan jumlah itu dijangka meningkat seiring perubahan pola penduduk Malaysia.

KRI dalam laporannya turut menyebut separuh atau 51 peratus penduduk PPR memilih kekal menghuni di PPR, terutama dalam kalangan isi rumah yang berpendapatan RM2,500.

Kajian juga mendapati sekitar 10 peratus penghuni PPR adalah warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas, dengan ketua isi rumah di PPR juga sudah berusia dan mempunyai umur penengah iaitu sekitar 52 tahun sehingga 54 tahun.

Justeru itu, PPR yang dibangunkan kerajaan sebagai penempatan semula bagi golongan setinggan itu secara tidak langsung turut dilihat tidak sesuai untuk didiami golongan berusia.

Pandangan yang sama turut dikongsikan oleh Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye dalam kenyataannya baru-baru ini yang menekankan bahawa perumahan kos rendah itu yang berusia lebih 20 akan menjadi cabaran besar kepada negara.

Lee berkata, menjelang tahun 2030, kediaman seumpamanya menjadi lebih usang dan berada dalam keadaan daif sekiranya ia tidak ‘dirawat’ dengan segera.

Mengulas mengenai kebimbangan berkenaan, KPKT berkata, kementerian itu sentiasa berusaha untuk memastikan bahawa setiap rakyat, termasuk golongan yang memerlukan sokongan khas, mempunyai akses kepada kediaman yang selesa dan bersesuaian dengan keperluan mereka.

pic-3

Sehubungan itu, pemantauan berkala turut dijalankan supaya sebarang isu dikenal pasti dan diatasi dengan cepat dan secara tidak langsung persekitaran yang selesa dan selamat dapat diwujudkan untuk semua penghuni PPR terutamanya penghuni tua.

Menurut KPKT, jika berlaku sebarang kerosakan yang boleh mempengaruhi keselesaan dan keselamatan penghuni PPR, tindakan sewajarnya akan diambil dengan menumpukan kepada kemudahan yang berkaitan dengan keperluan harian penghuni termasuk bekalan air, elektrik dan sistem lif.

‘’KPKT melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) akan segera menjalankan pemeriksaan untuk mengenal pasti punca masalah dan langkah pembaikan dibuat oleh kontraktor yang berkelayakan dan berpengalaman.

‘’KPKT sentiasa komited dalam memastikan penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan di PPR dilaksanakan dengan baik demi keselesaan dan keselamatan semua peserta PPR. Beberapa langkah proaktif diambil untuk mencapai matlamat ini, antaranya dengan melantik syarikat yang berkelayakan dan berpengalaman dalam penyelenggaraan sistem lif di semua PPR yang dilengkapi dengan kemudahan tersebut,’ jelas KPKT.

Bermula tahun lepas (2023) juga, kesemua bakal penghuni PPR dikehendaki menghadiri kursus kesedaran sivik bagi mendedahkan mereka terhadap tanggungjawab bersama dalam menjaga infrastuktur dan kemudahan di kediaman tersebut.

 

KE ARAH PERUMAHAN KONDUSIF

Keperluan fasiliti PPR untuk warga emas diambil kira sewaktu di peringkat perancangan pembangunan projek itu lagi dan menurut KPKT, ini termasuk memberikan keutamaan kepada warga emas untuk menduduki unit perumahan PPR di aras bawah bagi memudahkan urusan harian mereka.

‘’KPKT melalui PLANMalaysia sebelum ini mengeluarkan Garis Panduan Perancangan Fizikal Warga Emas, bertujuan merancang, membangun dan mereka bentuk petempatan atau residensi warga emas bagi perumahan bertanah iaitu biasa atau strata, perumahan berbilang tingkat dan bangunan binaan khas.

“Menerusinya, penempatan warga emas dapat disediakan dengan memenuhi kriteria mampu milik, berkomuniti, sihat, selamat, mudah sampai dan mesra pengguna, sekali gus menjadikan kediaman itu kebolehcapaian yang baik menjelang Malaysia sebagai negara menua 2030,’’ kata kementerian itu.

pic-4

Kementerian berkata, ketika ini pelaksanaan projek PPR menerapkan piawaian spesifikasi Reka Bentuk Sejagat (Universal Design) dalam reka bentuk bangunan dan komponen kemudahan sokongan (amenities) yang bukan sahaja mengambil kira kepenggunaan oleh warga emas malahan  kanak-kanak serta orang kurang upaya (OKU).

‘’Program (PPR) ini mula dilaksanakan kerajaan pada tahun 1982 semasa Rancangan Malaysia Keempat (RMK-4) dan melalui beberapa siri penambahbaikan supaya kekal relevan sekali gus dapat memenuhi keperluan semasa rakyat.

‘’Misalnya pada peringkat awal, PPR ini hanya mempunyai keluasan 60.38 meter persegi (650 kaki persegi) dengan satu atau dua bilik sahaja dengan kemudahan fasiliti yang terhad, namun  di bawah RMK-9, keluasan PPR ditingkatkan kepada 65.03 meter persegi (700 kaki persegi),’ kata KPKT.

Sehingga kini, penambahbaikan PPR diteruskan dengan penetapan saiz keluasan yang baharu bermula pada tahun 2022, iaitu seluas 69.67 meter persegi (750 kaki persegi), selaras dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan daya huni penduduk PPR.

‘’Untuk kesejahteraan warga tua dan semua penghuni, KPKT turut memberi tumpuan kepada reka bentuk dan susun atur dalaman unit PPR ini, bagi mewujudkan rasa selesa kepada mereka.

‘’Di samping turut menambah dan naik taraf kemudahan di PPR seperti surau, pusat kitar semula dewan serbaguna dan  internet jalur lebar,’’ katanya.

Tambah KPKT, bagi menggalakkan penglibatan warga emas dalam aktiviti kemasyarakatan, kementerian itu kini proaktif melaksanakan kegiatan mendaya upaya komuniti termasuk program pembangunan modal insan serta penjagaan fizikal dan mental supaya golongan itu menjalani kehidupan tua dalam keadaan yang baik dan sejahtera.

 

MODEL BAHARU

Menurut KPKT, kementerian itu sedang menyediakan mekanisme kepada pemaju kediaman dalam membangunkan perumahan yang lebih baik  bertujuan  memenuhi keperluan penghuni daripada kelompok B40 termasuk golongan tua.

Antara keperluan itu termasuk bercirikan kesihatan, rekreasi, kehidupan berdikari selain menerapkan elemen  kerohanian dan budaya masyarakat di negara ini.

‘’KPKT dalam proses menjenamakannya semula Projek Perumahan Rakyat kepada Program Residensi Rakyat (PRR) yang bermatlamat utama untuk menyediakan perumahan rakyat yang selaras dengan arus kemajuan negara.

pic-5

‘’Menerusi model baharu ini, kerajaan akan berusaha untuk memastikan kualiti perumahan rakyat di negara ini setanding dengan program di bawah Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) Singapura, Jepun dan Korea Selatan,” katanya.

Justeru itu, PRR akan menjadi kawasan perumahan yang bersepadu, mampan, berbaloi untuk didiami, mempunyai daya maju komersial berkualiti, ruang hijau dan pusat komuniti.

Di bawah program berkenaan, kerajaan negeri diminta untuk menyediakan tanah secara percuma dan sesuai sebagai lokasi membina projek perumahan tersebut di seluruh negara.

Langkah itu  bagi memastikan peruntukan yang disalur digunakan sepenuhnya untuk membina rumah tanpa perlu mengeluarkan kos membeli tanah, sekali gus menjamin pembinaan perumahan yang lebih berkualiti untuk rakyat.

Pembangunan PRR baharu  itu disifatkan sebagai komitmen dan hasrat kerajaan dalam menjajarkan hala tuju perumahan sosial itu berteraskan nilai MADANI yang menekankan aspek kesalinghubungan, kebolehcapaian, kemampanan, berdaya huni, kualiti dan pergerakan dengan kemudahan awam lebih baik. 

‘’Pembangunan baharu itu akan menerapkan penggunaan teknologi hijau seperti panel solar, sistem pengumpulan dan penggunaan semula air hujan (SPAH), peralatan dan perkakasan cekap tenaga dan air.

‘’KPKT juga akan memastikan aspek komersial diambil kira supaya perumahan yang dimajukan adalah lebih mesra penghuni sekali gus melahirkan masyarakat berkualiti tanpa meminggirkan golongan khas  bukan sahaja terhad kepada warga tua malah orang kurang upaya (OKU),’’ katanya.

 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan