Kayap Boleh Bawa Komplikasi Serius Kepada Warga Emas - Pakar

K
etika Malaysia menuju negara menua, tumpuan mula terarah pada implikasi kesihatan ke atas warga emas berikutan sistem imun kelompok ini umumnya turut melemah seiring peningkatan usia.  

Keadaan ini menjadikan mereka rentan pelbagai jenis penyakit, antaranya ialah kayap atau herpes zoster (HZ).

Penyakit ini membawa risiko kesihatan yang signifikan kepada golongan berusia, selalunya mengakibatkan komplikasi melumpuhkan, dan pemulihan pula lazimnya mengambil masa yang lama.  

Kayap merupakan penyakit kulit yang disebabkan oleh pereaktifan virus varicella-zoster (VZV), iaitu virus penyebab cacar air. (Virus ini kekal dorman dalam sistem saraf selepas individu yang dijangkiti pulih daripada cacar air. Apabila berlaku pereaktifan, virus ini mencetuskan kayap.)

Pereaktifan VZV lebih lazim berlaku dalam kalangan warga berusia (50 tahun dan ke atas), atau individu yang sudah terjejas sistem imunnya.

 

PENINGKATAN KES 

Menurut pakar perunding dermatologi di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur Dr Peter Ch'ng, umumnya kayap muncul sebagai ruam dengan lepuh yang menyakitkan di bahagian dada, abdomen atau muka seseorang.

Ruam dan lepuh ini mungkin menyebabkan kegatalan dan juga risiko jangkitan bakteria sekunder. Dari segi tahap kesakitan pula yang diukur berdasarkan McGill Pain Scale, kesakitan akibat kayap sering digambarkan sebagai lebih teruk berbanding sakit waktu bersalin atau selepas menjalani pembedahan.

Komplikasi HZO melibatkan struktur mata yang lebih dalam dan boleh mengakibatkan keabnormalan penglihatan atau kehilangan penglihatan kekal. Kredit gambar laman web AsiaMD.

Menurut Dr Ch’ng  yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Dermatologi Malaysia, ada peningkatan agak ketara kes kayap yang dirawat di hospital beliau bekerja, khususnya selepas pandemik COVID-19.

Pengurangan aktiviti fizikal semasa pandemik mungkin menyumbang kepada kembalinya jangkitan VZV yang seterusnya menyebabkan peningkatan kes kayap, jelasnya. 

Tentang komplikasi kesihatan yang dihadapi oleh warga emas penghidap kayap, Dr Ch’ng memberitahu Bernama bahawa kajian perubatan baru-baru ini menunjukkan korelasi antara  insiden postherpetic neuralgia (PHN)  dan usia lanjut. 

PHN berupa kesakitan berpanjangan selama tiga bulan hingga beberapa tahun selepas ruam pulih, dan keadaan ini merupakan komplikasi kayap paling lazim serta boleh menjejaskan 10 hingga 20 peratus daripada keseluruhan kes kayap, berbeza-beza berdasarkan usia.

Kajian baharu yang diterbitkan dalam blog kesihatan antarabangsa link.springer.com pada 17 Mac lalu mendapati kemungkinan berlaku kira-kira 10.2 juta kes kayap di sepanjang baki usia mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas di Indonesia,  Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam dengan “kebanyakan kes mengakibatkan komplikasi serius yang menyakitkan termasuk PHN (2.1 juta kes).” 

Dr Ch’ng berkata satu lagi manifestasi khusus kayap yang perlu diberi perhatian ialah herpes zoster ophthalmicus (HZO) yang menjejaskan mata, dan ditemukan dalam kalangan hingga 25 peratus penghidap kayap serta berpotensi menyebabkan buta, namun kes sebegini jarang berlaku. 

HZO muncul dalam bentuk ruam di dahi, kulit kepala dan kadangkala pada hidung yang lazimnya dipanggil Hutchinson’s sign.  Ruam ini boleh berubah menjadi lepuh yang menyakitkan, dan sekalipun ruam itu telah hilang, rasa tidak selesa mungkin tetap dirasai.

“Apabila jangkitan melibatkan struktur mata yang lebih dalam, ia boleh mengakibatkan keabnormalan penglihatan, malah mungkin buta kekal. Oleh itu, rawatan segera dan rundingan pakar mata amat penting dalam merawat kes kayap yang menjejaskan mata pesakit,” tambahnya. 

 

VAKSIN BAHARU 

Walaupun kayap boleh hilang sendiri tanpa rawatan, penyakit itu harus dirawat dengan ubat antiviral sebaik sahaja didiagnosis bagi mencegah komplikasi. Ubat tahan sakit juga diperlukan bagi melegakan kesakitan yang disebabkan oleh ruam.

Pakar Perunding Dermatologi Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Peter Ch'ng

Dr Ch’ng berkata menguruskan kayap amat mencabar bagi pesakit dan juga penjaga mereka. Daripada perspektif pesakit, rasa terbakar dalam saraf mereka boleh melumpuhkan dan menjejaskan aktiviti harian serta kesejahteraan keseluruhan, sekalipun selepas ruam itu pulih.  

Rasa sakit dan gatal boleh menjejaskan tidur seseorang dan menyebabkan kelesuan yang seterusnya memburukkan lagi kualiti hidup mereka. Ruam juga boleh mengehadkan fungsi anggota tubuh seperti berjalan atau menggunakan lengan, sekiranya muncul di bahagian tubuh yang berkaitan.

“Ini bukan hanya menjejaskan pesakit tetapi turut membebankan penjaga mereka yang mungkin berasa tertekan dari segi fizikal dan emosi dalam memberikan penjagaan dan sokongan,” katanya.

Sementara itu, GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK), sebuah syarikat biofarmaseutikal global, telah melancarkan vaksin baharu dipanggil Shingrix bagi mencegah kayap.  Shingrix juga dikenali sebagai Recombinant Zoster Vaccine, Adjuvanted (RZV).

Pengarah Perubatan Negara GSK  Dr Alap Gandhi berkata vaksin itu direka bagi mencegah kayap dan PHN dalam kalangan individu berusia 50 tahun dan ke atas, serta kelompok berumur 18 tahun dan ke atas yang berisiko dijangkiti kayap.

“RZV menggabungkan antigen bukan hidup dengan adjuvant AS01B  GSK dan glycoprotein E  bagi membantu menangani masalah kemerosotan keimunan apabila usia meningkat. Vaksin ini diberikan sebanyak dua dos, dalam tempoh selang dua hingga enam bulan,” katanya, menambah vaksin itu sudah tersedia di Malaysia.

Pengarah Perubatan Negara GSK, Dr Alap Gandhi

Beliau berkata kesan sampingan lazim yang dialami selepas suntikan RZV hanya rasa sakit ringan atau sederhana di tempat suntikan dibuat, rasa lesu dan sakit kepala yang biasanya hilang dalam tempoh tiga hari.  

Beliau berkata analisis GSK terhadap kajian keberkesanan yang melibatkan 30,000 peserta dari 18 negara termasuk Jepun dan Taiwan, mendapati RZV mempunyai efikasi vaksin hingga 97 peratus bagi orang dewasa berusia 50 tahun dan ke atas dalam tempoh susulan kira-kira tiga tahun.

Data interim terkini juga menunjukkan efikasi vaksin keseluruhan lebih daripada 80 peratus kira-kira enam hingga 10 tahun selepas pemvaksinan permulaan bagi mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas. 

“Kami berbesar hati mengumumkan Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia turut mengesyorkan vaksin kayap dalam Garis Panduan bagi Pengimunan Orang Dewasa 2023 mereka,” tambahnya.

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.