FOKUS BERNAMA

Rawatan Awal Menopaus Bantu Wanita Kekal Di Alam Pekerjaan

01/08/2025 12:11 PM

Lim Ai Jing berasakan dirinya telah gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai anak.

Apabila ibunya yang berusia 54 tahun menelefonnya dan mengadu sukar tidur, Lim tidak begitu ambil endah dan menganggap itu hanyalah rungutan biasa. 

“Pada mulanya saya anggap perkara remeh. Namun sekarang, selepas saya baca tentang segalanya, barulah saya sedar yang isu tersebut boleh menjadi agak serius,” kata wanita berusia 29 tahun itu kepada Bernama menerusi Zoom.

“Segalanya” yang dimaksudkan oleh Lim ialah kajian yang dijalankan berhubung perimenopaus, iaitu fasa peralihan apabila paras estrogen wanita mula menurun, dan menopaus, fasa apabila kitaran haid tamat serta kesan jangka panjangnya ke atas kesihatan wanita.

Sejak sekian lama dianggap sebagai proses semula jadi yang tidak memerlukan sebarang campur tangan, kini para pakar menyeru satu anjakan paradigma: mengiktiraf penjagaan menopaus sedari awal bukan sekadar isu kesejahteraan individu, tetapi sebagai strategi penting untuk mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) serta mengurangkan beban kewangan  Malaysia dan penderitaan rakyatnya.

Presiden Persatuan Menopaus Malaysia Dr Ho Choon Moy berkata kebanyakan rakyat di negara ini tidak sedar betapa seriusnya kesan menopaus yang tidak dirawat ke atas wanita, dan hanya ditangani selepas mereka menghidap penyakit seperti diabetes.

“Tidak ada langsung peruntukan untuk menopaus. Kebanyakan peruntukan yang diberi kepada (penyakit) seperti diabetes, amat besar. Maksud saya, mereka seolah-olah hanya merawat kesan yang berlaku, bukan puncanya (iaitu menopaus),” katanya di luar Mesyuarat Saintifik ke-10, Persekutuan Menopaus Asia Pasifik, di sini baru-baru ini. 

 

APA ITU  MENOPAUS?

Menopaus bukan hanya menandakan berakhirnya tempoh reproduktif seseorang wanita, tetapi turut meningkatkan kerentanan mereka terhadap pelbagai jenis penyakit. Umur purata seorang wanita untuk mengalami menopaus ialah 50.7 tahun, sekalipun proses peralihan (perimenopaus) mungkin telah bermula 10 tahun sebelum itu.

Dalam prakata Garis Panduan Amalan Klinikal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi Pengurusan Menopaus, Menteri Kesihatan ketika itu Khairy Jamaluddin menulis:

“Menopaus, satu proses biologi semula jadi yang bersertakan kekurangan estrogen, akan dialami oleh setiap wanita. Memandangkan purata usia menopaus di Malaysia ialah sekitar 50 tahun, satu pertiga daripada hayat  wanita akan dilalui tanpa hormon estrogen, menjadikan mereka terdedah kepada pelbagai masalah, daripada isu sosial hinggalah masalah kesihatan seperti penyakit jantung koronari, penyakit tidak berjangkit, osteoporosis dan kanser.”

Dr Ho berkata penyediaan penjagaan menopaus sedari awal, seperti terapi hormon menopaus (MHT), merupakan satu “pelaburan” yang berbaloi kerana ia dapat mencegah pelbagai penyakit dan komplikasi pada masa akan datang.

“MHT memberi manfaat jangka panjang. Yang kita maksudkan ialah dari segi pencegahan diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi, penyakit jantung, osteoporosis dan juga risiko patah tulang,” katanya.

“Apabila kita merawat wanita yang sedang mengalami gejala terbabit, ia memberikan perlindungan kepada jantung.”

Menurut Laporan Daftar Diabetes Kebangsaan 2013-2019 yang diterbitkan oleh KKM, majoriti penghidap diabetes di Malaysia ialah wanita merangkumi 57.1 peratus. Laporan itu tidak menyatakan pada usia berapa wanita didiagnosis menghidap diabetes, sama ada mereka dirawat dengan MHT, atau sama ada bilangan mereka lebih tinggi berbanding lelaki disebabkan jangka hayat yang lebih panjang. 

Kajian tentang patah tulang pinggul dalam kalangan pesakit warga emas yang dimasukkan ke hospital pengajar di Malaysia pula mendapati kebanyakan pesakit ialah wanita, disebabkan ketumpatan tulang yang lebih rendah akibat osteoporosis. Secara purata, tempoh mereka dirawat di hospital ialah selama lima hari.

“Cuba peruntukkan, contohnya terapi hormon menopaus percuma di klinik kerajaan. Itupun sudah dapat kurangkan perbelanjaan kesihatan (kerajaan) dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang,” tambah Dr Ho.

 

MANFAAT EKONOMI 

Selain penjimatan kos penjagaan kesihatan, pakar berpendapat rawatan menopaus lebih awal juga boleh merangsang pertumbuhan ekonomi dengan membantu sesetengah wanita berada lebih lama dalam pasaran tenaga kerja.

Dalam beberapa kajian antarabangsa, isu berkaitan menopaus dikenal pasti sebagai antara punca utama wanita meninggalkan dunia pekerjaan pada usia pertengahan. Walaupun Malaysia telah mengumumkan pelbagai strategi untuk mengekalkan wanita dalam pasaran tenaga kerja, meliputi bantuan penjagaan anak dan warga emas serta cuti bersalin bergaji selama tiga bulan, gejala menopaus masih belum benar-benar mendapat perhatian arus perdana.

As a recent study led by prominent obstetrician/gynaecologist and menopause advocate Dr Premitha Damodaran highlighted, common menopausal symptoms among multiethnic working women in Malaysia include joint pain, sleep disturbances, brain fog, mood swings and digestive issues.

Impak gejala menopaus ke atas tenaga kerja wanita Malaysia adalah satu realiti yang serius, namun rata-rata masih belum diberi perhatian sewajarnya. 

Satu kajian terkini diketuai oleh pakar obstetrik/ginekologi terkemuka yang juga penggerak dalam meningkatkan kesedaran tentang menopaus Dr Premitha Damodaran, mengetengahkan simptom menopaus yang lazim dialami oleh wanita bekerja di Malaysia termasuk sakit sendi, gangguan tidur, kabut otak (kekeliruan mental), perubahan emosi dan masalah penghadaman.

Lim yang bertugas sebagai ahli psikologi klinikal di Sunway Medical Centre Velocity, berkata banyak simptom menopaus boleh melemahkan seseorang wanita, tanpa mengira sama ada dia  bekerja ataupun tidak.

“Simptom yang paling menjejaskan ialah gangguan tidur, dan satu lagi yang sangat penting dan tidak boleh diabaikan ialah masalah kognitif, iaitu kesukaran menumpukan perhatian atau kabut otak,” katanya.

Kabut otak boleh menyebabkan kesukaran untuk menumpukan perhatian, mengingati maklumat penting atau membuat keputusan dengan cepat, sekali gus menjejaskan produktiviti terutamanya dalam peranan yang memerlukan fungsi kognitif yang tajam. Hangat memerah (hot flashes), satu lagi simptom menopaus yang boleh menyebabkan rasa tidak selesa dan malu di tempat kerja, manakala keletihan kronik akibat gangguan tidur pula menghakis kesejahteraan dan fokus secara keseluruhan.

Gejala-gejala tersebut membawa kesan berpanjangan. Dialami oleh wanita berumur  45 hingga 55 tahun, sebahagiannya cukup serius sehingga ramai yang melaporkan penurunan produktiviti, menyebabkan mereka menolak kenaikan pangkat, mengurangkan waktu bekerja, malah ada yang memilih untuk berhenti kerja lebih awal, demikian menurut beberapa kajian yang dijalankan di United Kingdom dan Ireland.

Situasi ini bermakna kehilangan besar tenaga kerja berpengalaman, pengetahuan institusi yang tidak ternilai dan potensi kepimpinan, khususnya dalam kalangan wanita berusia 45 hingga 60 tahun yang selalunya sudah berada di kemuncak kerjaya mereka.

“Ketika itu mereka sudah memiliki banyak pengalaman. Kalau mereka berhenti, memang satu pembaziran sumber,” kata Dr Ho.

“(Apabila kita merawat simptom menopaus wanita,) kerana mereka berasa sihat, mereka boleh terus bekerja. Mereka tidak perlu bersara awal, dan ini akan merangsang ekonomi negara melalui penyertaan tenaga kerja wanita,” tambahnya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar penyertaan tenaga kerja wanita (FLPR) di Malaysia ialah sebanyak 56.4 peratus setakat Mei 2025, meningkat sedikit berbanding 56.2 peratus pada 2023. Sebagai perbandingan, kadar FLPR di Singapura ialah 62.6 peratpus, manakala di Thailand 60.6 peratus pada 2023. Namun, data mengenai sama ada simptom menopaus menjadi faktor utama wanita meninggalkan pasaran tenaga kerja masih kurang di rantau Asia-Pasifik.

Menopaus juga meningkatkan risiko masalah kesihatan mental seperti keresahan dan kemurungan. Gejala fizikal lain seperti kekeringan faraj yang boleh menyebabkan hubungan seksual menyakitkan, turut berpotensi memburukkan lagi keresahan dan kemurungan tersebut. Perubahan emosi dan mudah marah pula boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan dan sosial, malah boleh meruntuhkan hubungan itu.

“(Wanita mengalami menopaus) cepat marah dan mood tidak stabil, mudah tersinggung dan berasa sedih. Situasi ini boleh menimbulkan masalah antara suami dan isteri,” kata Prof Dr Nik Hazlina Nik Hussain, Naib Presiden Persatuan Menopaus Malaysia.

Beliau berkata komunikasi yang terbuka dan jujur antara suami dan isteri amat penting supaya si isteri berasa disokong untuk mendapatkan bantuan bagi mengurangkan simptom menopaus yang dialaminya. Perkara yang sama turut terpakai kepada suami yang mungkin mengalami masalah disfungsi erektil (mati pucuk).

 

TERSEDIA NAMUN TIDAK POPULAR

MHT, istilah umum yang merangkumi semua jenis rawatan hormon termasuk kontraseptif dan terapi penggantian hormon (HRT), merupakan rawatan yang disyorkan untuk melegakan simptom menopaus. Sebagai contoh, menurut Garis Panduan Amalan Klinikal: Pengurusan Penjagaan Menopaus, terapi estrogen boleh memberikan perlindungan kepada jantung jika dimulakan dalam tempoh 10 tahun selepas menopaus, atau bagi wanita yang berusia bawah 60 tahun, berbanding wanita pascamenopaus yang lebih berusia.

Walaupun garis panduan itu mengiktiraf manfaat MHT dalam mencegah penyakit kardiovaskular, ia tidak menyarankan MHT sebagai rawatan pencegahan primer ataupun sekunder bagi penyakit jantung koronari dalam kalangan wanita.

Beberapa faktor lain turut mempengaruhi kadar penggunaan MHT yang rendah di rantau Asia Pasifik. Sebilangan kajian menyatakan antara penyebabnya ialah stigma dan pantang larang budaya serta salah faham dan ketakutan terhadap rawatan hormon.

Dr Nik Hazlina berkata kurangnya pengetahuan ini sering diwarisi secara generasi, dan wanita, terutamanya di kawasan luar bandar, cenderung melihat menopaus sebagai proses semula jadi penuaan yang harus dihadapi.

“Walaupun menopaus proses fisiologi semula jadi, ia boleh menghasilkan simptom yang melemahkan,” kata Dr Nik Hazlina.

Kekurangan pengetahuan ini bukan sahaja berleluasa dalam kalangan orang awam, malah turut wujud di sektor perubatan dan penjagaan kesihatan termasuk dalam bidang ginekologi sendiri.

Seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Nadirah memberitahu Bernama bahawa seorang kenalannya yang juga pakar onkologi, pernah menasihatinya supaya mengambil HRT tidak lebih daripada lima tahun kerana bimbang risiko kanser payudara.

Dr Ho tidak terkejut mendengar kisah Nadirah, dan menyatakan beliau pernah melihat pesakit yang dirawat dengan MHT oleh seorang doktor diminta berhenti mengambil rawatan itu oleh doktor lain.

“Dan pesakit itu datang jumpa saya. ‘Doktor, saya keliru. Doktor perubatan am berikan saya MHT, tapi pakar sakit puan minta saya berhenti,’” katanya.

Walaupun terdapat risiko kecil dalam pengambilan MHT, pakar menopaus itu menjelaskan tahap risiko tersebut bergantung pada jenis rawatan hormon yang digunakan.

Sebagai contoh, pengambilan HRT gabungan, iaitu estrogen dan progesteron,  boleh meningkatkan risiko kanser payudara secara sedikit, iaitu kira-kira 0.4 peratus, menurut Health Services Executive (penyedia kesihatan awam dan penjagaan sosial kebangsaan Ireland), berbanding mereka yang tidak mengambilnya. Namun, pengambilan MHT yang mengandungi estrogen sahaja, terutamanya bagi wanita yang tidak mempunyai rahim, tidak akan meningkatkan risiko kanser payudara.

Terdapat juga rawatan menopaus bukan hormon yang biasanya disyorkan kepada pesakit kanser payudara atau wanita yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser, terutamanya jika mereka bimbang tentang risiko kanser payudara. Namun, rawatan ini hanya bertujuan melegakan gejala dan tidak memberikan perlindungan terhadap penyakit kardiovaskular, osteoporosis atau NCD lain.

Dr Ho menyalahkan sistem patriarki atas kurangnya kesedaran tentang kesan menopaus dalam kalangan doktor, iaitu golongan yang menjadi sumber rujukan utama orang awam dalam hal berkaitan kesihatan dan perubatan.

“Kita memang perlu didik doktor dengan lebih mendalam. Maksud saya, di sekolah perubatan, mereka cuma ada satu bab kecil sahaja tentang menopaus, itu saja. Mereka tidak begitu beri tumpuan kepada menopaus,” katanya.

Sependapat, Lim berkata ketika beliau mengikuti pengajian untuk menjadi ahli psikologi klinikal, sukatan pelajaran  yang dipelajari langsung tidak menganggap menopaus sebagai punca utama kepada sebarang isu kesihatan mental.

“Mereka minta kami kaji hipotiroidisme sebab simptomnya hampir sama dengan keresahan. Kami selalu diberitahu agar teliti gangguan bipolar atau isu fizikal lain, tapi tiada siapapun suruh kami pertimbangkan menopaus,” katanya.

Apabila ditanya apa yang akan dilakukannya dengan ilmu baharu yang diperoleh, Lim berkata beliau akan mulakan dengan mengambil serius keluhan ibunya sendiri.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya duduk berbincang dengan ibu dan lihat bagaimana saya boleh bantu dia tidur dengan lebih baik,” katanya sambil tersenyum.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan