A
pabila tiba musim durian, kulit buah berduri keras ini selalunya berakhir di tempat pelupusan sampah atau dibiarkan bersepah begitu sahaja yang berisiko mengundang makhluk perosak seperti tikus, selain menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Namun, inovasi Prof Ts Dr Rosnah Shamsudin daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), memastikan kulit durian serta buah-buahan lain tidak lagi akan menjadi sisa yang berakhir di tempat pembuangan sampah, sebaliknya sebagai sumber nutrien untuk tanaman.
Penyelidik daripada Jabatan Kejuruteraan Proses & Makanan, Fakulti Kejuruteraan UPM ini memanfaatkan sepenuhnya pengalaman beliau dalam bidang itu dengan menghasilkan mesin pencencang kulit durian dinamakan sebagai “M’SReD”.
KULIT DURIAN PENCEMAR ALAM
Ketika ditemui Bernama di makmalnya baru-baru ini, Rosnah berkata beliau mendapat idea untuk menghasilkan mesin itu selepas melihat lambakan kulit durian yang dibiarkan begitu sahaja setiap kali tiba musim "Raja Buah” itu.
“Mesin ini mencencang kulit durian bagi memudahkan proses pengkomposan dan seterusnya menghasilkan baja kompos bernutrien untuk digunakan semula dalam sektor pertanian,” jelasnya.
Rosnah telah mencipta lebih daripada 60 harta intelek berdaftar, satu pencapaian yang mungkin merupakan rekod dalam sektor inovasi negara.
Menurut beliau, usaha itu bermula pada 2020 dengan beliau menghasilkan konsep serta reka bentuk mesin.
“Mesin direka dengan tumpuan pada pengendalian, iaitu mudah dioperasikan oleh tenaga tidak mahir atau separuh mahir. Selain itu, saya dan pasukan juga memastikan alat ganti setiap komponen mesin mudah didapati di pasaran tempatan, mudah diselenggara, mudah alih serta menjimatkan masa dan tenaga,” kata beliau lagi.
Kongsi beliau, selepas setahun bertungkus-lumus, beliau dan pasukan berjaya menyiapkan prototaip akhir yang mampu dihasilkan oleh pengilang.
“Ketika proses pembuatan prototaip ini juga pelbagai cabaran kami hadapi, antaranya perlu pastikan gigi pencencang cukup tajam sehingga berjaya mencencang halus kulit durian yang paling liat, dan pada masa sama kos berpatutan,” jelas Rosnah.
Mesin yang terhasil berbentuk seakan mesin rumput empat segi seberat 20 kilogram, dilengkapi roda dan dikuasakan oleh enjin 7.0 liter yang menggunakan petrol.
“Jika berjaya dikomersialkan, mesin ini dijangka dapat dibeli pada harga kurang daripada RM10,000,” katanya, menambah selain kulit durian, mesin itu juga dapat mencencang kulit nangka, cempedak dan lain-lain, sekali gus membantu menangani lambakan sisa kebun pada setiap musim buah-buahan.
Menurutnya, bagi berkongsi kejayaan inovasi itu, beliau mengadakan demonstrasi penggunaan mesin tersebut bersama-sama dengan penduduk yang mengusahakan Kebun Komuniti Suria Residen di Mantin, Negeri Sembilan. Program itu juga dijalankan sebagai usaha menyokong inisiatif Dasar Kebun Komuniti Bandar serta memenuhi hasrat kerajaan dalam merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.
CABARAN
Rosnah berkata di sebalik potensi mesin itu bagi industri makanan dan pertanian negara, beliau tetap berdepan pelbagai cabaran, dengan yang terbesar dari segi pengkomersialan.
“Sukar untuk mendapatkan syarikat yang bersetuju melesenkan inovasi ini secara bersama dengan UPM, iaitu syarikat yang betul-betul komited dan jujur untuk mengeluarkan mesin. Selain itu, kita juga perlu pastikan inovasi sampai kepada golongan sasaran,” ujarnya.
Inovasi rekaan beliau turut memenangi banyak anugerah di peringkat dalam negara mahupun luar negara, membuktikan kemampuan anak watan di pentas dunia.
Meskipun begitu, pakar inovasi pemprosesan makanan ini tetap bersemangat menghasilkan ciptaan yang berpotensi menyelesaikan masalah pencemaran sisa pertanian dalam jangka panjang.
"Mesin merupakan peralatan yang penting dalam meningkatkan pengeluaran produk, terutamanya bagi industri kecil dan sederhana. Mesin dapat membantu komuniti usahawan dalam operasi pemprosesan produk makanan. Kerja-kerja operasi akan menjadi lebih ringan, mudah, lebih bersih dan juga dapat menghasilkan pelbagai produk dengan kualiti yang lebih baik.
"Mesin juga membantu pengusaha meminimumkan penggunaan tenaga kerja manusia dan masalah kebergantungan pada buruh asing dapat diatasi,” katanya yang percaya penggunaan mesin yang tepat akan dapat meningkatkan daya saing dan prestasi usawahan kecil dan sederhana.
REKOD CIPTAAN INOVASI
Sebagai seorang inovator prolifik, Rosnah telah mencipta lebih daripada 60 harta intelek berdaftar, satu pencapaian yang mungkin merupakan rekod dalam sektor inovasi negara. Meskipun begitu, wanita ini menegaskan beliau tidak mengejar angka.
“Motivasi saya datang daripada rasa tanggungjawab sebagai pendidik dan penyelidik,” tegasnya. Beliau juga mahu mendidik generasi muda dalam inovasi dan membantu pengusaha kecil dan sederhana meningkatkan produktiviti.
Selain kulit durian, mesin itu juga dapat mencencang kulit buah-buahan yang lain untuk dijadikan baja kompos, sekali gus membantu menangani lambakan sisa kebun pada setiap musim buah-buahan.
Mengulas tentang inovasi yang beliau anggap paling unik, Rosnah berkata beliau mencipta mesin karipap yang dapat menghasilkan 12 biji kuih itu secara serentak.
“Alat ini dapat menghasilkan karipap dalam kuantiti yang lebih besar dan menjimatkan masa serta tenaga,” katanya.
Jelas beliau, mesin itu mudah alih, selain senang dibersihkan dan digunakan, sesuai untuk usahawan kecil.
“Mesin ini telah dipatenkan dan dikomersialkan dengan harga RM4,500 di pasaran,” tambahnya.
Kehebatan wanita ini dalam menghasilkan inovasi dibuktikan menerusi lebih 90 anugerah yang diraih beliau, baik di dalam mahupun luar negara, antaranya pingat emas bagi M'SReD di Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi 2022, pingat emas di Ekspo Teknologi Malaysia 2021 dan Anugerah FellowshipNaib Canselor 2021.
INSPIRASI BUAT WANITA
Sebagai seorang wanita dalam industri yang didominasi oleh golongan lelaki, Rosnah berharap usahanya dijadikan inspirasi oleh wanita muda yang ingin menceburi bidang kejuruteraan.
“Penting bagi kita semua untuk bekerjasama tanpa mengira jantina,” tambahnya yang turut menasihati golongan muda agar rendah hati menerima teguran, serta kekal bersemangat walaupun mengalami kegagalan dan terus gigih berusaha sehingga berjaya.
Menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pertanian pada 1997 dan Ijazah Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Proses dan Makanan pada 2000, kedua-duanya daripada UPM, Rosnah berkata minatnya dalam penciptaan mesin pemprosesan makanan timbul sejak di bangku sekolah.
Minatnya dalam pemprosesan makanan semakin mendalam selepas menyertai UPM sebagai tutor pada 1997 apabila bidang reka bentuk mesin pemprosesan dijadikan bidang pengkhususan beliau.
Beliau tidak lagi menoleh ke belakang, dan selepas menamatkan pengajian peringkat ijazah doktor falsafah dalam bidang kejuruteraan kimia di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2008, anak jati Perak ini memberi sepenuh tumpuan pada penyelidikan dan penciptaan inovasi.
Pada masa sama, Rosnah yang juga Presiden Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE), berkata beliau mahu menggalakkan lebih ramai jurutera wanita menyertai industri teknologi makanan sekalipun bidang ini menuntut kekuatan mental dan fizikal.
“Saya harap usaha saya dalam mendidik pelajar dan usahawan akan melahirkan generasi kreatif dan inovatif serta mampu membantu usahawan kecil dan sederhana bersaing di peringkat global.
“Menerusi ilmu dan teknologi, kita boleh mencipta masa depan yang lebih baik,” katanya, yakin.