FOKUS BERNAMA

Triti Laut Lepas: Apa Pendirian Malaysia?

11/06/2025 01:06 PM
Daripada Soon Li Wei

Persidangan Lautan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-3 (UNOC3)  yang sedang berlangsung di Nice, Perancis menghimpunkan kira-kira 200 pemimpin dunia bagi membincangkan cabaran global berkaitan kesihatan dan kelestarian lautan yang kian mendesak.  

Berlangsung dari  9 hingga 13 Jun, edisi ketiga persidangan terbesar tentang lautan itu mengangkat tema “Accelerating Action and Mobilising All Actors to Conserve and Sustainably Use the Ocean.” Kali pertama persidangan itu diadakan ialah pada 2017 di New York, Amerika Syarikat dan edisi kedua di Lisbon, Portugal pada 2022. 

UNOC3 menyasarkan untuk memperkukuh perlindungan dan penggunaan secara lestari lautan, laut dan sumber marin, khususnya menerusi pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 14, iaitu Kehidupan Bawah Air.

Persidangan juga memfokuskan pada tiga objektif teras; memulihara biodiversiti marin, menamatkan subsidi yang menyumbang kepada penangkapan ikan berlebihan dan merealisasikan sasaran “30 by 30” global. 

(Sasaran “30 by 30” ialah elemen utama Kerangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal yang diterima guna pada 2022, bertujuan memelihara sekurang-kurangnya 30 peratus daripada daratan dan lautan dunia menjelang 2030.

pic-2

Sasaran ini yang secara rasmi dirujuk sebagai Sasaran 3 dalam rangka kerja itu, merupakan usaha lebih besar bagi menangani kehilangan biodiversiti serta mencapai sebuah dunia yang hidup secara harmoni dengan alam sekitar menjelang 2050).

Menurut badan bukan berasaskan keuntungan Marine Conservation Institute, hanya 2.7 peratus daripada lautan dunia dilindungi secara berkesan daripada kegiatan ekstraktif setakat ini.

Mengambil kira tekanan yang kian meningkat ke atas ekosistem marin dan pantai dengan kesan semakin ketara ke atas hidupan marin dan juga komuniti yang bergantung pada sumber itu, UNOC3 dilihat amat kritikal bagi menghidupkan semula kerjasama antarabangsa yang semakin lemah serta merangsang tindakan secara kolektif bagi memelihara lautan.

Satu daripada keutamaan pada sidang kemuncak ini ialah mendapatkan ratifikasi daripada 60 negara yang diperlukan bagi menguat kuasa perjanjian di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCOLS) berkenaan Pemuliharaan dan Penggunaan Lestari Kepelbagaian Biologi Marin di Kawasan Luar Bidang Kuasa Negara, dikenali sebagai Perjanjian BBNJ.

Diterima guna pada 19 Jun 2023, perjanjian itu yang turut dikenali sebagai Triti Laut Lepas, bertujuan melindungi laut lepas - iaitu perairan di luar Zon Ekonomi Eksklusif negara (meliputi jarak maksimum 370 batu nautika dari pantai) - serta menjaga ekosistem di perairan antarabangsa.  

Perjanjian itu juga mengandungi peruntukan untuk negara-negara berkongsi sumber genetik marin yang dikumpulkan menerusi penyelidikan di perairan antarabangsa.

Menurut laman sesawang kemajuan ratifikasi Triti Laut Lepas, hanya 49 negara telah meratifikasi Perjanjian BBNJ setakat Mei 2025 dengan Singapura menjadi satu-satunya negara ASEAN yang berbuat demikian. Tarikh akhir untuk mencapai ambang ratifikasi minimum 60 negara itu ialah pada 20 Sept 2025.

 

KOMITMEN MALAYSIA 

Malaysia menandatangani UNCLOS pada 10 Dis 1982 dan meratifikasi konvensyen itu pada 14 Okt 1996, namun masih belum menandatangani dan meratifikasi Triti Laut Lepas.  Justeru, UNOC3 merupakan masa terbaik untuk Malaysia menimbang sama ada meratifikasi atau tidak Perjanjian BBNJ itu.

Menurut Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli,  Penyelaras Unit Undang-Undang Antarabangsa di Fakulti Undang-undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Antarabangsa, triti itu merupakan peluang baik untuk Malaysia terus meneraju dalam diplomasi alam sekitar global sebagai antara 17 negara kepelbagaian mega.  

Beliau berkata Malaysia telah memainkan peranan aktif dan utama dalam banyak perjanjian pelbagai peringkat berkaitan biodiversiti pada masa lalu, dengan peranan utama dalam Konvensyen berkenaan Kepelbagaian Biologi (CBD) pada 1994 serta Protokol Nagoya berkenaan Akses kepada Sumber Genetik.

Katanya Perjanjian BBNJ boleh membantu dalam melindungi lautan daripada kemerosotan alam sekitar yang disebabkan oleh kegiatan Perlombongan Dasar Laut Dalam (DSM) untuk mengekstrak galian logam seperti perak, emas, tembaga,  mangan, kobalt dan zink. 

“Aktiviti di laut lepas seperti DSM boleh menjejaskan bekalan ikan, kesihatan lautan, malah boleh sampai ke perairan kita.

“Dengan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) diwajibkan di bawah triti, ekosistem marin ada perlindungan yang lebih baik, sekali gus menyokong keterjaminan makanan kita dan kesihatan lautan dalam jangka panjang,” katanya dalam e-mel kepada Bernama.

pic-3

Beliau berkata perjanjian itu juga menganjurkan perkongsian secara adil faedah daripada sumber genetik marin yang ditemukan di perairan antarabangsa.

"Malaysia, selaku sebuah negara membangun, berpeluang menerima manfaat daripada pembangunan kapasiti, pemindahan teknologi selain ada hak untuk bersuara tentang bagaimana sumber itu digunakan dan dikongsikan,” katanya.

Bagaimanapun Mohd Hazmi berkata jika Malaysia melewatkan pemeteraian Triti Laut Lepas, ia mungkin dilihat ketinggalan dalam menzahirkan komitmen kepada alam sekitar global, seterusnya berpotensi menjejaskan imej  negara di peringkat antarabangsa selain melemahkan kedudukan Malaysia dalam mendesak ke arah tadbir urus lautan secara mampan. 

“Khususnya apabila negara seperti Singapura sudahpun ke depan (telah meratifikasi triti),” katanya, menambah triti itu melengkapi UNCLOS. 

“Kita tidak boleh ikut langkah Amerika Syarikat yang tidak meratifikasi UNCLOS kerana UNCLOS dianggap undang-undang adat antarabangsa (CIL), sedangkan Triti Laut Lepas ini bukan CIL," tegas beliau.  

 

PEMULIHARAAN BIODIVERSITI ASEAN  

Sementara itu, Ketua Dasar WWF-Malaysia Shantini Guna Rajan berkata ketika tekanan ke atas ekosistem lautan kian hebat, sokongan Malaysia menerusi triti tersebut mencerminkan hasrat negara dalam menangani jurang tadbir urus alam sekitar.

Beliau berkata sebagai sebuah negara maritim, komitmen Malaysia terhadap perjanjian itu juga boleh membuka peluang kepada kerjasama dan pembangunan kapasiti dalam tadbir urus dan kelestarian lautan.

“Ia akan memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam pemuliharaan marin serta pembangunan mampan, selain menunjukkan komitmen negara pada penyelesaian pelbagai peringkat secara kerjasama terhadap krisis global yang meliputi perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan pencemaran lautan,” katanya.

pic-4

Beliau berkata peruntukan Akses dan Perkongsian Faedah (ABS) dalam perjanjian itu memastikan semua pihak, terutamanya negara membangun, akan menerima faedah yang adil dan sama rata daripada penggunaan sumber genetik marin yang diperoleh di laut lepas.

“Sumber-sumber ini yang ada potensi dalam bidang perubatan, bioteknologi serta pertanian, telah diakses secara bebas oleh segelintir negara-negara maju.

“Melalui mekanisme ABS, perjanjian itu memperuntukkan perkongsian faedah monetari (seperti royalti dan fi pelesenan) dan bukan monetari (termasuk pengetahuan, pembinaan kapasiti serta pemindahan teknologi). 

“Ini akan memupuk kesaksamaan global yang lebih baik, menyokong inovasi melalui penyelidikan bersama dan memastikan perolehan ekonomi daripada laut lepas dikongsikan dalam cara yang menyumbang kepada pembangunan mampan serta kemajuan saintifik global,” katanya.

 

LINDUNGI KESIHATAN LAUTAN DALAM KONTEKS RENTAS SEMPADAN

Timbalan Pengarah Pusat Pemajuan Ekonomi Biru Universiti Malaysia Terengganu (UMT BEACON) Dr Khaira Ismail berkata walaupun bidang kuasa Malaysia tidak meliputi kawasan laut lepas, kerangka EIA di bawah perjanjian BBNJ boleh membantu melindungi ekosistem marin - termasuk yang berada dalam perairan negara - dengan memelihara kesihatan lautan pada skala rentas sempadan.

“Disebabkan kesalinghubungan ekosistem lautan, aktiviti di kawasan luar bidang kuasa negara (ABNJ) tetap boleh memberi kesan kepada biodiversiti serantau dan spesies migrasi yang memasuki perairan Malaysia,” katanya.

“Dengan menyokong kerangka EIA yang seragam dan telus di laut lepas, Malaysia boleh mempromosikan prinsip berjaga-jaga serta menyumbang kepakaran saintifik - khususnya melalui institusi penyelidikannya - bagi melindungi kesihatan lautan dalam konteks rentas sempadan.”

pic-5

Beliau turut menyatakan bahawa lautan meliputi hampir 70 peratus permukaan bumi dan menjadi habitat kepada kepelbagaian bio serta sumber asli yang penting untuk iklim dan ekonomi global.

“Namun, di luar sempadan negara, usaha perlindungan lautan selama ini masih dilakukan secara berasingan dan tidak mencukupi.”

Tambah beliau, Malaysia tidak kekurangan dari segi kepakaran, keupayaan ataupun legitimasi undang-undang untuk memainkan peranan yang berpengaruh dalam tadbir urus ABNJ.

“Ahli sains, pakar undang-undang dan diplomat kita berada di kedudukan yang baik untuk memberi sumbangan bermakna. Yang kita kurang bukanlah kapasiti tetapi rasa kesegeraan, keutamaan politik dan dasar yang mantap serta menyeluruh.

“Penglibatan dalam perjanjian BBNJ bukan soal pulangan jangka pendek, tetapi tentang mendapatkan pengaruh jangka panjang serta memastikan kepentingan negara terpantul menerusi cara ruang lautan bersama ditadbir urus. Sekadar memerhati dari luar bukan satu strategi,” katanya.

 

DASAR LAUTAN KEBANGSAAN 

Pensyarah kanan di Fakulti Maritim, UMT,  Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen pula menekankan jika Malaysia mahu memberikan komitmen kepada triti itu, ia perlu menggubal dasar lautan kebangsaan (NOP) yang dapat memusatkan semua aspek maritim dan marin di bawah satu payung. 

“Malaysia ialah negara maritim yang terletak secara strategik di tengah-tengah laluan perkapalan antarabangsa yang menghubungkan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik, selain sebuah negara pantai yang dilingkungi laut yang menjadi sumber makanan penting dalam menyokong ekonomi komuniti pantai.

“Oleh itu, Malaysia perlu memperhebat usaha bagi menggunakan kelebihan ini secara optimum dan lestari untuk menjadi sebuah negara maritim unggul. 

“Bagaimanapun, untuk merealisasikan ini, kerajaan perlu merangka strategi inklusif dan rangka kerja khusus bagi menangani cabaran sedia ada seperti pertikaian sempadan maritim,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

pic-6

Beliau berkata pengurusan sektoral menerusi beberapa jabatan dan agensi yang diamalkan sekarang telah mencetuskan banyak pertelingkahan selain pertindihan bidang kuasa dan peruntukan perundangan yang berpecah belah. 

“Penyelarasan sumber lautan dan pantai amat penting dalam mewujudkan keseimbangan antara desakan terhadap pembangunan serta kegiatan ekonomi dan keperluan melindungi alam sekitar. 

“NOP harus jadi asas kepada tadbir urus lautan yang komprehensif sebelum kita memberikan komitmen kepada mana-mana perjanjian antarabangsa seperti Triti Laut Lepas ini,” katanya.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan