Banjir Ubah Landskap Pembangunan, Alam Sekitar Dalam Sekelip Mata

B
encana banjir sinonim dengan negeri-negeri di pantai timur Semenanjung ketika musim tengkujuh, namun kini menjadi ancaman yang sukar ditelah kepada semua negeri, termasuk di kawasan yang tidak pernah dilanda bah, selain berlaku hampir sepanjang tahun. 

Laporan khas tiga bahagian ini menguliti permasalahan yang semakin membimbangkan dan membebankan negara itu.   

 

Musim tengkujuh yang sedang dialami negara dan dijangka berterusan hingga Mac depan menyaksikan 10 negeri ditimpa bencana banjir pada penghujung November lalu, melibatkan sekitar 153,000 mangsa dipindahkan.

Bencana alam terkini itu juga meragut nyawa 12 mangsa dengan lima di Kelantan, masing-masing tiga di Terengganu dan Kedah serta seorang di Sarawak.

Banjir bukan fenomena luar biasa ketika negara mengharungi Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat berterusan di kebanyakan negeri, terutama di pantai timur Semenanjung, Namun kini kejadian itu berlaku hampir sepanjang tahun membabitkan semua negeri, termasuk di kawasan yang tidak pernah mengalami banjir sebelum ini.

Kata pakar,  antara punca banjir berlaku ialah perubahan landskap dan, ironinya, pada masa sama bencana itu juga mengubah landskap yang memerlukan perbelanjaan tinggi untuk dibaik pulih.

Misalnya pada kejadian bah terbaharu, Kementerian Kerja Raya melaporkan sebanyak 29 kejadian cerun runtuh direkodkan di enam negeri, setakat laporan ini ditulis.

Menurut Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Maslan, sebanyak RM72.1 juta diperlukan untuk membaik pulih cerun-cerun berkenaan.

  

KETIDAKSEIMBANGAN GUNA TANAH

Sementara itu, menurut pakar tadbir urus alam sekitar dan sains kelestarian Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman daripada Universiti Putra Malaysia, aktiviti pembangunan yang mengubah rupa muka bumi akan menyebabkan perubahan dalam saliran dan kapasiti tanah untuk menyerap air hujan.

Keadaan itu katanya, berpotensi meningkatkan risiko banjir, terutama apabila aktiviti pembangunan dilakukan tanpa mengambil kira aspek ekosistem di kawasan berkenaan, atau dengan kata lain, ketidakseimbangan guna tanah.

Pakar tadbir urus alam sekitar dan sains kelestarian, Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Jelas beliau, ketidakseimbangan guna tanah berlaku apabila penggunaan tanah tidak mematuhi prinsip perancangan yang mampan sehingga menyebabkan perubahan pada alam sekitar.

“Antara kesan ketidakseimbangan guna tanah ialah wujud kekurangan kapasiti penyerapan air hujan, menyebabkan air mengalir ke saliran dan sungai dengan cepat.

"Selain itu, pembangunan tidak terancang akan menyebabkan saliran yang direka untuk menampung aliran air semula jadi tidak dapat menampung jumlah air, sekali gus melimpah keluar. Penebangan hutan, penggalian tanah serta pembangunan di kawasan tadahan air pula mengganggu keseimbangan ekosistem,” jelasnya ketika dihubungi Bernama.

Felow Kanan Pusat Pelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air, Universiti Teknologi Malaysia Skudai Prof Zulkifli Yusop pula berkata sekiranya kawasan tersebut tidak diganggu dengan perubahan guna tanah, kawasan tadahan berhutan mempunyai keupayaan tinggi untuk menyimpan air hujan pada kanopi dan di dalam tanah. 

"Permukaan tanah hutan sangat telap dan jika hujan tidak terlalu lebat (kurang daripada 40 milimeter), hampir semua air hujan yang sampai di permukaan tanah dapat meresap ke dalam tanah tanpa menghasilkan air larian permukaan.

“Apabila tanah hutan ditukar menjadi tanah pertanian atau dibangunkan untuk petempatan dan perbandaran, kadar resapan akan berkurang dan menghasilkan lebih banyak larian air permukaan atau banjir.  

"Pembukaan tanah juga menyebabkan hakisan dan mendakan mengakibatkan sungai menjadi cetek dan tidak dapat mengalirkan luahan banjir dengan cepat. Keadaan seperti ini sering menyebabkan banjir di bahagian hulu terutama jika topografinya landai," kata beliau kepada Bernama.

 

PERUBAHAN LANDSKAP DAN IMPAK LAIN

Banjir yang berulang-ulang mempunyai kesan ketara terhadap landskap dan alam sekitar di kawasan terjejas. Perubahan ini berlaku akibat tindakan air yang deras, pemendapan, hakisan serta campur tangan manusia dalam proses pemulihan. 

Haliza berkata arus deras menyebabkan tanah di kawasan tebing sungai, cerun dan ladang mudah terhakis sehingga kehilangan tanah subur dan mengubah bentuk muka bumi.

Sebagai contoh, hakisan teruk di sepanjang Sungai Kelantan ketika banjir pada 2014 yang mengakibatkan tebing sungai menjadi curam dan tanah runtuh di kawasan kampung.

Penduduk terjejas banjir di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu mengumpulkan sampah pukal di tapak pembuangan sampah sementara.

"Selain itu, kemusnahan struktur asli di kawasan seperti hutan, padang rumput dan tanah pertanian yang berubah akibat hakisan dan endapan lumpur seperti di Cameron Highlands, Pahang apabila limpahan sungai membawa lumpur ke kawasan rendah, sekali gus menenggelamkan sawah dan merosakkan ladang teh.

"Banjir yang berlaku juga turut membawa bahan kimia pertanian (baja, racun perosak) serta sisa industri dan domestik ke dalam sungai dan tasik sebagaimana pencemaran ammonia di Sungai Galas, Kelantan yang menyebabkan sumber air tidak selamat untuk digunakan," katanya.

Sebelum ini, dilaporkan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam mengutip lebih 12,800 tan janaan sisa banjir di 45 kawasan di tujuh negeri dalam tempoh 28 Nov hingga 11 Dis lalu.

Hujan lebat dan arus deras banjir di Kuala Krai, Kelantan pada 27 November lepas telah mengakibatkan sebahagian rumah penduduk roboh.

Tinjauan Bernama di beberapa kawasan yang terjejas banjir, terutama di pesisir pantai berhampiran Tumpat, Pasir Puteh serta Bachok di Kelantan dan Kuala Terengganu, Terengganu dipenuhi longgokan sampah dan bahan buangan seperti plastik dan kayu reput. 

Penduduk Kampung Chabang Empat Tok Mek Ngoh di Tumpat, Hasbullah Deraman, 39, berkata setiap kali banjir akan terdapat banyak longgokan sampah dan sisa buangan di kawasan itu yang  bukan sahaja mencemarkan alam sekitar tetapi turut menjejaskan kesihatan penduduk setempat.

Pada 7 Dis lalu, Kementerian Kesihatan dilaporkan berkata ia mengesan 10,272 penyakit bawaan air di pusat pemindahan sementara di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata daripada jumlah itu, sebanyak 6,730 kes  dikesan menghidap jangkitan pernafasan akut, jangkitan kulit (3,021), gastroenteritis akut (298), konjunktivitis (190), cacar air (20) serta penyakit tangan, kaki dan mulut (13).

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.