FOKUS BERNAMA

Tikus Makin 'Mengganas' Ketika Cuaca Panas?

27/08/2025 01:57 PM
Daripada Soon Li Wei

Penemuan sejumlah kecil najis tikus di celah-celah kotak di dalam stor semasa pemeriksan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), memaksa pengurus restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Kee menutup premis itu selama seminggu bagi kerja-kerja pembersihan. 

Premisnya yang terletak di Ampang, Selangor itu diarahkan tutup serta-merta selepas dikesan kotor menerusi operasi mengejut yang dijalankan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor pada April lepas. 

"Dalam tempoh seminggu itu kami buat kerja pembersihan selain mengupah syarikat kawalan makhluk perosak untuk membasmi tikus dan lipas di dalam premis. Kami perlu pastikan keadaan benar-benar bersih sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk dapatkan kebenaran beroperasi semula,” katanya kepada Bernama.

pic-2

Tindakan penutupan tidak melebihi 14 hari itu dibuat di Bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 sekiranya sesebuah premis makanan didapati kotor dan keadaannya mungkin mendatangkan bahaya kepada kesihatan. 

Tidak terhenti di situ, Kee, 41, berkata gambar premisnya juga tular di media sosial menyebabkan perniagaan mereka terjejas selama kira-kira sebulan selepas dibenarkan beroperasi semula.

 

TIKUS BANDAR BERKEMBANG BIAK KETIKA MUSIM PANAS 

Ditemukan di semua benua kecuali Antartika, tikus lazimnya dikaitkan dengan perkara negatif seperti cerminan kemiskinan, persekitaran kotor dan penyakit.

Menurut kajian bertajuk “Increasing Rat Numbers in Cities are Linked to Climate Warming, Urbanisation and Human Population” yang diterbitkan jurnal Science Advances pada 31 Jan lalu, perubahan iklim merupakan penyumbang kepada peningkatan masalah tikus bandar global dengan wilayah panas merekodkan lebih banyak kes. 

Kajian itu juga mendapati persekitaran bandar yang padat dengan jumlah penduduk tinggi membantu peningkatan jumlah tikus, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas.

“(Ketika musim panas), tikus-tikus ini lebih aktif, dan memandangkan fisiologi tikus sensitif kepada suhu, yang betina akan matang lebih awal, cepat bunting serta melahirkan lebih banyak anak dengan lebih kerap sekiranya keadaan panas berterusan untuk tempoh lama. 

“Tikus juga punca penyakit. Ia menyebarkan dan membawa lebih daripada 50 patogen serta parasit zoonotik yang boleh membuatkan manusia jatuh sakit,” kata Jonathan Richardson, ketua penyelidik dan juga profesor di University of Richmond, Amerika Syarikat, dalam laporan berkenaan.

 

TIKUS BANDAR SEBAR LEPTOSPIROSIS KETIKA BANJIR  

Keadaan ini juga membawa kepada penyakit leptospirosis atau lebih dikenali sebagai penyakit kencing tikus yang telah diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  pada 2010 sebagai penyakit wajib lapor.

Menurut Ketua Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Siti Norbaya Masri, leptospirosis umumnya disebabkan oleh kumpulan patogen spesies Leptospira yang ditemukan secara meluas di kawasan tropika dan kawasan bersuhu sederhana termasuk Malaysia yang sinonim dengan musim hujan dan bencana alam seperti banjir.  

“Rodensia (khususnya tikus) diketahui sebagai perumah takungan (resevoir) Leptospira yang  bertanggungjawab bagi transmisi penyakit itu di bandar dan luar bandar. Penyakit itu merebak dalam kalangan manusia melalui kontak secara langsung air atau tanah yang dicemari air kencing pembawa jangkitan.

“Selalunya, keterdedahan manusia kepada Leptospira berlaku semasa kegiatan rekreasi atau pekerjaan. Gejalanya sukar dibezakan daripada jangkitan tropika lain seperti denggi,” katanya kepada Bernama.

pic-3

Jelas beliau, diagnosis tepat sukar dibuat dan lazimnya memerlukan pemeriksaan di makmal.

“Disebabkan oleh cabaran-cabaran ini, kadar mortaliti global kerana leptospirosis ialah antara lima ke 15 peratus dengan 35,000 hingga 500,000 kes dilaporkan menurut kajian,” katanya.

Menurut KKM, kes leptospirosis di Malaysia memuncak pada pertengahan 2010-an sebelum menunjukkan trend penurunan sejak beberapa tahun lalu. Dalam tempoh 2004 hingga 2015, kes jangkitan kencing tikus melonjak berkali ganda, iaitu daripada 263 dengan 20 kematian pada 2004 kepada 8,291 kes pada 2015 - rekod tertinggi setakat ini - sementara 2014 pula mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 92 kes. 

Sejak itu, kes menurun secara beransur-ansur dengan 1,761 kes dilaporkan pada 2021.

Sementara itu, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Biologi, Universiti Sains Malaysia Dr Noraini Philip berkata sekiranya kawasan bandar kerap mengalami banjir kilat, terutama selepas hujan lebat dan longkang tersumbat, air banjir boleh membawa sampah yang dicemari air kencing haiwan dijangkiti khususnya tikus.

“Air banjir boleh menghanyutkan permukaan tercemar seperti tanah, lopak atau apa-apa kotoran, sekali gus meningkatkan keterdedahan manusia kepada Leptospira semasa dan selepas banjir.

“Banjir juga menyumbang kepada peningkatan populasi tikus di kawasan petempatan manusia disebabkan gangguan habitat rodensia itu serta berpotensi meningkatkan pencemaran Leptospira di persekitaran manusia, seterusnya meningkatkan risiko leptospirosis,” jelas beliau.

 

KAWASAN “PANAS” TIKUS 

Dr Siti Norbaya berkata populasi tikus mungkin dipengaruhi oleh kewujudan sarang pembiakan dan iklim selain turut ditentukan oleh taburan spesies yang menjadi pembawa Leptospira

“Taburan spesies mungkin dipengaruhi oleh faktor geografi dan ekologi memandangkan tikus bandar lebih ‘territorial’ (tikus yang kuat akan menjadi dominan selama bergenerasi).

“Selain itu, pasar basah yang berdekatan dengan kawasan perumahan dan infrastruktur berserta kepadatan penduduk yang tinggi turut menyumbang kepada peningkatan populasi tikus,” katanya.

pic-4

Bagi membasmi dan mengurangkan populasi tikus bandar, kebanyakan PBT melaksanakan langkah kawalan dalaman termasuk pemusnahan sarang pembiakan, pemantauan berkala dan tindakan penguatkuasaan di premis makanan dan kedai runcit. 

Selain itu, PBT juga menggunakan kaedah menghapuskan tikus menggunakan racun secara terkawal dan terhad, tertumpu di kawasan yang mempunyai populasi tikus yang tinggi seperti di medan selera, kawasan komersial dan kediaman. 

Dalam konteks ini, ada PBT yang menjalankan kempen basmi tikus dengan melibatkan orang ramai. MPAJ misalnya, menjalankan Kempen Basmi Tikus pada Julai lepas yang menggalakkan masyarakat menyerahkan tikus yang ditangkap atau dilupus kepada PBT berkenaan dengan ganjaran RM3 seekor.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ Hasrolnizam Shaari berkata kempen itu dilaksanakan dari 9 hingga 25 Julai lepas bersempena dengan Kempen Kesihatan Persekitaran anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan  di kawasan pasar-pasar. 

"Sambutannya amat memberangsangkan dengan sebanyak 101 ekor tikus berjaya ditangkap melibatkan ganjaran wang tunai sebanyak RM 303 telah dituntut oleh orang awam yang menghantar tangkapan tikus di kaunter.

"Kebanyakan daripada mereka menangkap dengan menggunakan perangkap tikus sama ada yang hidup ataupun yang dah mati bawa ke kaunter MPAJ untuk menuntut bayaran, dan ini dilihat sebagai permulaan yang baik dalam usaha mengurangkan populasi tikus di kawasan pekan Ampang," katanya. 

pic-5

Menurut beliau, pendekatan berasaskan kerjasama komuniti itu dilihat berkesan dan memberi impak positif dari segi meningkatkan kesedaran awam, menggalakkan tanggungjawab sosial serta memperluas capaian kawalan makhluk perosak secara lebih menyeluruh dan lestari. 

"Penglibatan masyarakat secara langsung juga membantu MPAJ menjalankan pemantauan secara tidak formal di kawasan-kawasan berisiko, selain memperkukuh jalinan kerjasama antara penduduk dan pihak berkuasa tempatan," katanya. 

 

PERSEKITARAN KOTOR PENYUMBANG PENINGKATAN POPULASI TIKUS 

Hasrolnizam berkata selain cuaca, peningkatan populasi tikus turut dikenal pasti berpunca daripada amalan pengurusan sisa pepejal yang tidak efisien, iaitu pembuangan sampah merata-rata serta tahap kebersihan persekitaran. 

"Sikap segelintir pengusaha premis makanan yang menyalurkan sisa air basuhan terus ke longkang tanpa melalui perangkap minyak yang seterusya menyebabkan longkang  kotor. 

"Aktiviti pemantauan dan operasi bersama-sama jabatan kesihatan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada premis perniagaan seperti kedai makan, medan selera dan pasar-pasar awam membuang sampah merata-rata terutamanya ke dalam longkang. 

"Jika didapati ada kelibat tikus, lipas dan najis-najisnya ataupun kawasan persekitaran premis yang kotor berdasarkan operasi ataupun aduan awam, notis penutupan dan kompaun akan dikenakan ke atas premis itu," katanya.

pic-6

Beliau berkata tindakan pencegahan dan kawalan dilaksanakan secara dalaman menerusi kakitangan Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan MPAJ bagi membanteras populasi tikus di kawasan Ampang. 

"Pendekatan yang digunakan merangkumi aspek promosi dan pendidikan kesihatan melalui taklimat serta hebahan, aktiviti penaburan racun tikus di kawasan berisiko serta pemeriksaan dan pemantauan premis-premis makanan dan runcit yang bertujuan memastikan kawasan komersial tersebut kekal bersih dan bebas daripada kehadiran makhluk perosak seperti lipas, lalat dan tikus (LILATI). 

"Selain itu, MPAJ turut menjalinkan kerjasama dengan ahli Majlis dan Jawatankuasa Penduduk (JKP) di zon-zon tertentu bagi melaksanakan aktiviti kajian indeks tikus untuk mengetahui indeks populasi tikus di sesebuah kawasan sebelum merancang sebarang aktiviti kawalan, khususnya di kawasan tumpuan awam seperti pasar dan pusat penjaja," katanya. 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan