Henti Stigma, Cakna Isu Kesihatan Mental Tanggungjawab Bersama

P
endedahan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad baru-baru ini bahawa kira-kira sejuta atau 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, merupakan satu perkara serius yang menuntut perhatian segera semua pihak.

Lebih-lebih lagi kata beliau yang memetik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, angka itu merupakan peningkatan dua kali ganda berbanding dapatan 2019.

Bagaimanapun kata pakar, selagi stigma sosial yang menanggapi sebarang masalah kesihatan mental sebagai “gila” tidak ditangani, ditambah pula dengan kekurangan tenaga pakar, sukar untuk negara menguruskan masalah kesihatan mental dalam kalangan rakyat.

Kata mereka, kawasan luar bandar khususnya, berdepan risiko lebih tinggi disebabkan agihan sumber yang tidak seimbang.

 

KEMURUNGAN SATU GANGGUAN LAZIM 

Pakar psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya Prof Dr Ng Chong Guan berkata kemurungan merupakan antara masalah kesihatan mental yang biasa berlaku dalam kalangan anak remaja, selain gangguan kegelisahan (anxiety) dan tingkah laku menjurus kepada bunuh diri.  

Memetik NHSM 2022, beliau berkata 26.9 peratus anak remaja menepati ciri-ciri kemurungan dengan prevalens lebih tinggi dalam kalangan perempuan, iaitu 36.1 peratus berbanding 17.7 peratus lelaki.

Pakar psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Ng Chong Guan.

“NHSM 2022 juga mendapati 13.1 peratus anak remaja mempunyai pemikiran untuk membunuh diri dengan kadar lebih tinggi dalam kalangan perempuan pada 18.5 peratus berbanding lelaki 7.6 peratus,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata stigma memainkan peranan penting dalam mempengaruhi seseorang untuk mendapatkan bantuan dan bercakap tentang kesihatan mental.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) itu lagi, selain stigma, faktor-faktor lain yang menghalang seseorang daripada mendapatkan bantuan termasuk keterjaminan pekerjaan, ketiadaan sokongan serta kebimbangan tentang kredibiliti pakar.

“Dalam kalangan generasi muda Malaysia, stigma masyarakat ditanggapi sebagai risiko reputasi, menghalang mereka daripada mendedahkan isu kesihatan mental ataupun mendapatkan bantuan,” katanya, menambah tahap celik kesihatan mental dalam kalangan masyarakat perlu dipertingkat.

Dr Ng yang juga Presiden Terpilih Persatuan Psikiatri Malaysia berkata akibatnya, ramai yang hanya tampil mendapatkan rawatan apabila keadaan mereka sudah tidak dapat diurus, dan tambah beliau, stigma itu prevalens dalam kalangan kumpulan sosioekonomi rendah. 

Selain itu kata beliau, wujud persepsi bahawa diagnosis masalah kesihatan mental sebagai satu cara mengelakkan hukuman.

“Tanggapan ini mungkin timbul daripada salah faham atau ketidakpercayaan terhadap keadaan kesihatan mental, khususnya di Malaysia, di mana pengaruh budaya dan masyarakat boleh menyumbang terhadap kepercayaan itu,” katanya.

Tambah beliau, selalunya penyakit mental tidak dilihat sebagai satu keadaan perubatan yang sebenar, sebaliknya satu kelemahan berkaitan dengan rohani ataupun alasan untuk melepaskan diri daripada memikul tanggungjawab. 

“Stigma ini mencetuskan keraguan terhadap kesahihan dakwaan (menghidap) penyakit mental, terutama dalam keadaan tertentu seperti ketika berdepan hukuman.

"Dalam konteks undang-undang, kepercayaan bahawa penyakit mental sebagai ‘alasan paling senang’ boleh mengakibatkan layanan tidak adil terhadap defendan yang benar-benar mempunyai masalah kesihatan mental,” jelasnya.  

Bernama pada 25 Okt lepas, menerusi laporan eksklusif bertajuk “Pesakit Mental ‘Kalis’ Undang-Undang, Bebas Hukuman?”, mendedahkan kebimbangan masyarakat tentang kemungkinan mangsa tidak mendapat pembelaaan sewajarnya apabila jenayah melibatkan pelaku yang didakwa mengalami masalah kesihatan mental.

Susulan kemalangan meragut nyawa tiga penuntut Universiti Teknologi Mara Dungun, Terengganu yang dilapor melibatkan pemandu wanita dipercayai penghidap masalah mental pada awal Oktober 2024, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan kesediaan meminda akta berkaitan bagi menangani isu individu menggunakan masalah kesihatan mental sebagai "tiket” untuk bebas daripada dikenakan hukuman. 

 

KEKURANGAN PAKAR

Mengulas akses perkhidmatan kesihatan mental di Malaysia, Dr Ng mengakui akan kekurangan tenaga pakar dalam bidang itu, selain agihan sumber yang tidak seimbang dengan sebahagian besar berpusat di Lembah Klang.

Beliau berkata isu agihan ini memburukkan lagi masalah akses kepada perkhidmatan itu bagi penduduk luar bandar.

Stigma masyarakat bahawa sebarang masalah kesihatan mental adalah “gila” serta kekurangan tenaga pakar hanya memburukkan lagi keadaan.

“Laporan terkini menyatakan terdapat kira-kira 500 pakar psikiatri di seluruh negara, iaitu seorang bagi setiap 100,000 penduduk, jauh di bawah syor WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) pada 1:10,000. 

“Di kawasan luar bandar khususnya di Malaysia Timur, laporan menunjukkan kadar prevalens masalah mental lebih tinggi pada 43 peratus. Antara halangan akses di kawasan ini ialah ketersediaan perkhidmatan pakar yang terhad, isu logistik dan juga faktor sosioekonomi,” katanya. 

 Dr Ng berpendapat badan bukan kerajaan (NGO) seperti MMHA dan kumpulan masyarakat memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang penjagaan kesihatan mental di Malaysia.

MMHA contohnya, melaksanakan bengkel dan seminar dalam pelbagai topik seperti sokongan dan pendidikan kepada penjaga pesakit mental. Satu daripada program utama MMHA ialah Mental Health First Aid, satu program dari Australia yang dilesenkan dan diakreditasi oleh badan berwajib.

“Selain itu, MMHA juga menawarkan perkhidmatan sokongan psikologi termasuk kaunseling, psikoterapi dan lain-lain perkhidmatan sokongan kesihatan mental pada kadar bayaran yang disubsidi, sekali gus meningkatkan akses bagi mereka yang memerlukan.

“NGO lain seperti Befrienders menawarkan talian bantuan dan intervensi dengan menghulurkan bantuan segera kepada individu yang mengalami krisis kesihatan mental. Kumpulan sokongan rakan sebaya berasaskan komuniti pula membantu individu dengan masalah kesihatan mental berkongsi pengalaman mereka, mengurangkan rasa terasing dan membina jaringan sokongan,” katanya, menambah pendekatan itu memupuk sokongan peka budaya, terutama di luar bandar dan kawasan lain yang tidak mendapat perkhidmatan.

Dr Ng berkata MMHA sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan, sektor swasta dan badan antarabangsa bagi memperluas jangkauan dan impak program kesihatan mental yang dijalankan, antaranya “Let's Talk Minda Sihat” oleh KKM yang menggalakkan perbincangan terbuka tentang kesihatan mental bagi mengurangkan stigma.

“Bagi mengatasi cabaran dalam menangani masalah kesihatan mental di Malaysia, pihak berkenaan perlu mengambil pendekatan pelbagai termasuk meningkatkan jumlah pakar, memastikan agihan pakar yang saksama dan menyepadukan perkhidmatan kesihatan mental agar cakupan lebih luas, merentasi bandar dan luar bandar,” katanya.

Kini, kata beliau, keperluan “berkongsi tugas” dalam kalangan NGO semakin diperakui, sekali gus meningkatkan sumbangan mereka dalam mempertingkat kesedaran dan akses masyarakat kepada penjagaan kesihatan mental serta menganjurkan perubahan sistemik pada landskap kesihatan mental negara. 

 

TEKANAN TEMPAT KERJA 

Berkongsi pandangan, Pakar Kesihatan dan Pekerjaan yang juga Presiden Persatuan Pengamal Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MOHPA) Dr Shawaludin Husin berkata stigma berkaitan kesihatan mental di tempat kerja boleh memberi kesan mendalam kepada pekerja yang hakikatnya memerlukan sokongan atau rawatan.

Pakar Kesihatan dan Pekerjaan, Dr Shawaludin Husin.

Kesan stigma tersebut termasuklah takut untuk mendedahkan keadaan kesihatan mental mereka kepada majikan atau rakan sekerja kerana bimbang akan diskriminasi, kehilangan pekerjaan atau penilaian negatif, selain boleh menyebabkan pekerja menunda atau menolak daripada mendapatkan bantuan profesional walaupun mereka memerlukannya.

“Stigma boleh menyebabkan tekanan, kebimbangan dan rasa malu yang mampu mengganggu keupayaan pekerja untuk berfungsi dengan baik di tempat kerja. Pekerja yang berdepan stigma mungkin berasa terasing daripada rakan sekerja dan sukar untuk membina hubungan yang sihat.

“Keadaan ini juga boleh menyebabkan pekerja mengalami penurunan produktiviti, ketidakhadiran di tempat kerja dan peningkatan kekerapan pertukaran pekerjaan,” katanya, menambah masih ramai yang kurang jelas berhubung tekanan atau ‘stressor’ yang boleh membawa kepada keresahan dan kemurungan.

Beliau berkata biarpun tekanan secara umumnya berpunca daripada masalah kewangan, tekanan dalam perhubungan melibatkan pasangan, ahli keluarga dan rakan-rakan serta tekanan komunikasi, sama ada secara lisan atau bukan lisan (termasuk dalam talian), turut menjadi penyumbang.

“Hari ini masyarakat ‘layan’ (tengok) media sosial, komen sana sini, stres sana sini, lepas tu ‘koyak’ (alami gangguan emosi). Bunyinya macam kelakar, tapi itulah realitinya. 

“Di tempat kerja pula, selain masalah kewangan, pengurusan masa, persekitaran rakan sekerja dan personaliti individu itu sendiri antara yang menyumbang kepada tekanan. Personaliti individu berbeza-beza, ada jenis tenang dan positif, ada yang OK atau biasa-biasa dan ada juga yang cepat marah.

"Contohnya, kita tengok tular di media sosial perbezaan reaksi  yang ditunjukkan oleh generasi mengikut tahun mereka dilahirkan, misalnya 1980-an, 90-an dan 2000-an, terhadap perkara sama (misalnya terlanggar dinding atau kerusi). Ini kita sebut 'generational effects’, merujuk sikap, kepercayaan dan tingkah laku berbeza yang dibentuk oleh pengalaman atau peristiwa dan mempengaruhi tingkah laku generasi berkenaan,” katanya.  

 

AMBIL PEDULI, JANGAN ADILI

Masyarakat termasuk majikan perlu mengamalkan sikap ambil peduli soal kesihatan pekerja, kerana katanya, banyak berlaku sikap mengadili tanpa empati yang seterusnya menjadi penyumbang masalah kesihatan mental semakin berlarutan.

Menyentuh laporan media 1 Okt lepas bahawa lebih 40,000 penjawat awam di negara ini berisiko tinggi mengalami isu kesihatan psikologi dan memerlukan intervensi segera, beliau berkata tindakan melabel rakan sekerja yang diketahui berjumpa pakar psikologi atau psikiatri sebagai “sakit jiwa” atau “gila”, berpotensi memburukkan lagi masalah. 

Berjumpa kaunselor, pakar psikologi atau psikiatri adalah tindakan yang tepat apabila seseorang berhadapan isu kesihatan mental.

“Hakikatnya dia pergi ke tempat yang tepat bagi mendapatkan sokongan sosial untuk bercakap dan berkongsi serta menerima intervensi mental.

“(Namun) disebabkan mentaliti masyarakat dan stigma inilah ada sesetengah individu memilih untuk bercakap dan meluah (perasaan) kepada kecerdasan buatan (AI), kerana teknologi itu dikatakan lebih memahami, tidak mengadili, malah ada yang menyifatkan (AI) mampu menjadi pendengar yang baik.

“Cuma kebimbangan wujud sekiranya perkara itu (bercakap dengan AI) berlanjutan akan membawa kepada kemudaratan lain pula,” tambah beliau. 

Bermula 1 Mac lepas, kerajaan melaksanakan Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Pegawai Perkhidmatan Awam (MyPsyD) sebagai antara inisiatif terkini untuk meningkatkan program pencegahan tingkah laku berisiko dalam kalangan kakitangannya.

Sementara itu, menyifatkan tekanan atau stres boleh bersifat positif dan negatif, Dr Shawaludin berkata tekanan positif menjadi pendorong pekerja untuk menjalankan tugas dengan lebih baik, sementara stres negatif mengakibatkan mereka cepat panik, gelisah, mudah marah dan mengganggu emosi, selain membuatkan mereka kerap mengambil cuti sakit. 

“Bila emosi dan diri sentiasa berada dalam keadaan tidak baik atau terurus, penyakit lain juga boleh berlaku, antaranya obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi bersama-sama dengan keresahan, insomnia dan sebagainya,” katanya. 

Berkongsi terdapat pelbagai model berkaitan pengurusan kesihatan mental di tempat kerja, beliau berkata antaranya Employee Assistance Program, merujuk badan bebas atau pihak ketiga yang bertindak sebagai konsultan, sekali gus menggalakkan keterbukaan pekerja untuk datang dan berkongsi masalah mereka. 

“Di negara barat terdapat Psychological First Aid, namun ini lebih kepada krisis atau bencana seperti MH370 atau pascabanjir. Model Mental Health First Aid pula popular di Australia dan New Zealand yang bersifat kumpulan atau komuniti sokongan untuk mengadu dan meluah perasaan. Model ini seperti program ‘Let’s Talk Minda Sihat’ oleh KKM yang menggalakkan masyarakat mendapatkan sokongan dan bantuan bagi mencapai kesejahteraan mental,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang bertujuan menjamin keselamatan, kesihatan dan kebajikan di tempat kerja turut merangkumi aspek kesihatan mental.

© 2025 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.