K
etika ada anak muda sebayanya lebih rela menganggur dan yang lain pula menyertai ekonomi gig gara-gara ketiadaan pilihan secocok dengan kelulusan ataupun jiwa, Muhammad Luqman NulHakim Mohd Sa'ya mempertaruhkan masa depannya dalam bidang pembuatan seramik.
Melihatnya dirinya sebagai tidak memiliki banyak kemahiran, jejaka berusia 29 tahun ini memberi tumpuan pada pembuatan produk seramik, menuruti jejak langkah bapanya Mohd Sa’ya Mat Jahari yang telah bergiat dalam bidang itu selama lebih tiga dekad.
“Saya pilih bidang ini kerana saya rasa sudah tidak ada pilihan lain untuk saya. Kemahiran lain tidak ada. Jadi, di peringkat awal penglibatan, saya tidak begitu menjiwai seni ini,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Namun, kata anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini, pendiriannya berubah semasa mengikuti pengajian dalam bidang seni kraf seramik di Institut Kraf Negara (IKN), Rawang, Selangor.
“Di situ, kami diajar menghasilkan produk seramik buatan tangan. Apabila saya melihat kraf yang terhasil daripada kerja tangan saya sendiri, bagaimana seketul tanah liat saya bentukkan menjadi sebuah pasu, timbul perasaan bangga,” katanya.
Jelasnya, pasu tersebut merupakan buatan tangan pertamanya kerana sebelum itu beliau menggunakan acuan yang lebih mudah dan tidak memerlukan kepakaran.
ULI TANAH LIAT DENGAN TANGAN
Bercerita lanjut, Muhammad Luqman NulHakim berkata tamat pengajian peringkat diploma pada 2019, beliau tidak lagi menoleh ke belakang.
Anak sulung daripada tiga beradik ini menyertai perniagaan seramik bapanya yang mengusahakan Ayas Seramik di Perak.
“Untuk meningkatkan kemahiran, saya timba ilmu daripada ayah dan juga orang lain yang telah lama dalam bidang seni ini,” katanya.
Dalam menghasilkan seramik, perlu dikesan angin dalam tanah terlebih dahulu bagi memastikan produk dibuat tidak cacat --fotoBERNAMA
Kalau tidak melihat sendiri cara pembuatan seramik seperti pasu atau wadah-wadah lain termasuk labu sayong, pasti ada yang menyangka penghasilan barang kraf itu tidak sesukar mana.
Realitinya jauh panggang dari api, kerana penghasilan produk berkenaan menuntut kemahiran dan ketelitian si pembuat.
Berkongsi cara membuat seramik, Muhammad Luqman NulHakim berkata sesetengah produk dihasilkan menggunakan acuan, misalnya pasu kecil dan lampu meja, namun bagi barangan besar, beliau akan menggunakan tangan sepenuhnya.
“Jumlah tanah liat yang digunakan bergantung pada saiz produk. Untuk pasu bersaiz sederhana, saya perlukan 10 kilogram (kg) tanah liat, iaitu lima kg untuk bahagian tapak dan bakinya sebagai penyambung. Untuk pembuatan pasu besar kita gunakan dua teknik, iaitu throwing (lemparan alin) dan pinching (picitan),” jelasnya.
(Lemparan alin merujuk cara tanah liat dilurut ke atas sambil ditekan, sementara menerusi teknik picitan pula tanah liat dibentuk dengan cara memicit.)
“Pertama sekali kita perlu uli tanah liat untuk bahagian tapak. Tanah liat yang siap diuli diletakkan di atas mesin pembentuk yang berputar dipanggil potter’s wheel untuk kita bentukkan menjadi tapak. Kita gunakan teknik pemusatan dengan cara membentuk lubang di tengah-tengah tanah liat menggunakan jari dan kemudian kita besarkan lubang itu hingga bersaiz 20 sentimeter.
“Kemudian, dengan teknik lemparan alin, kita tinggikan dinding tapak,” katanya, menambah ketika proses berkenaan tanah liat dan tangan perlu dibasahkan dari semasa ke semasa.
“Selepas siap tapak, kita uli tanah liat untuk bahagian penyambung. Tanah liat ini kita bentuk seperti keropok lekor yang kemudian kita lingkarkan pada bahagian tapak. Menggunakan kaedah picitan, kita sambungkan lingkaran tanah liat itu dengan tapak dan kemudian secara throwing kita tinggikan bahagian dinding atau sisi tersebut,” jelasnya.
Proses itu diteruskan sehingga pasu terbentuk sepenuhnya. Pasu kemudian dikeringkan pada suhu bilik yang mengambil masa lima hingga tujuh jam bergantung pada cuaca, disusuli proses pembakaran (kiln) yang mengambil masa lima ke lapan jam.
POTENSI BESAR
Muhammad Luqman NulHakim berkata bagi pasu bersaiz tiga kaki, beliau menggunakan 70 kg tanah liat dan memerlukan tempoh empat hari untuk disiapkan, manakala pasu bersaiz dua kaki mengambil masa sekitar dua hari.
Dalam tempoh sebulan beliau mampu menyiapkan kira-kira tujuh buah pasu besar dan meraih pendapatan RM7,000 hingga RM9,000.
"Harga produk bermula dari RM200 hingga RM1,500 mengikut saiz, bentuk serta dekorasinya. Setakat ini sambutan sangat baik dan kebanyakan pelanggan terdiri daripada pengusaha studio seni, kolej, universiti, usahawan, penduduk setempat serta luar Perak," katanya, menambah turut menyediakan perkhidmatan sewa lori bagi tempahan dari luar kawasan.
Menurut anak muda ini lagi, hakikatnya bidang itu berpotensi besar kerana permintaan terhadap produk seramik tidak terhad kepada pelanggan di dalam negara semata-mata.
“Sebenarnya produk ini boleh pergi jauh sebab seramik di negara kita memiliki keunikan tersendiri, terutama dari segi dekorasinya yang halus serta mempunyai nilai tradisional.
"Seramik merupakan antara warisan negara kita, misalnya labu sayong... sebut sahaja satu dunia mengenali labu sayong yang mempunyai bentuk unik dan klasik," katanya.
EMOSI DAN CABARAN
Bagaimanapun katanya, industri pembuatan seramik juga mempunyai cabaran tersendiri, antaranya cuaca dan emosi.
"Cabaran utama hendak hasilkan produk seramik ini ialah cuaca, keadaan tanah liat dan paling penting mood atau emosi si pembuat. Emosi kena stabil, jika tidak produk yang hendak dibuat tidak menjadi. Penghasilan seramik memang memerlukan kesabaran yang tinggi," katanya.
Menghasilkan produk seramik memerlukan ketelitian serta kesabaran tinggi---fotoBERNAMA
Selain itu, beliau berkata bagi memastikan kesempurnaan produk akhir, si pembuat perlu memastikan tidak ada angin atau udara di dalam tanah liat.
"Cara mengesan angin di dalam tanah ada dua kaedah. Pertama semasa menguli tanah, potong kepingan tanah yang diuli untuk tengok ada atau tidak gelembung angin di dalamnya.
"Kedua, semasa melakukan teknik lemparan alin akan timbul gelembung angin di sebelah dalam produk. Jika ada angin di dalam produk itu, akan berlaku letupan kecil di bahagian yang ada angin semasa proses pembakaran, sekali gus merosakkan pasu,” katanya.
Ditanya tentang kepuasan yang diperoleh daripada penglibatannya dalam bidang itu, beliau berkata momen paling manis apabila dapat menunjukkan hasil keringat serta idea sendiri kepada orang ramai seperti pasu-pasu besar yang dihasilkan menggunakan tangan.
"Ramai di luar sana menyangka barang atau produk-produk besar ini dibuat menggunakan mesin atau acuan, tapi ia dihasilkan secara manual dengan kudrat dua tangan kurniaan Ilahi. Lebih membanggakan apabila melihat hasil kerja ‘pergi’ ke merata tempat," katanya.
Bagaimanapun Muhammad Luqman NulHakim tidak mahu berpuas hati dengan kemahiran yang dimiliki sekarang, sebaliknya beliau berhasrat untuk terus menimba ilmu agar kualiti buatan tangannya terpelihara.
PERLU ADA PELAPIS
Sementara itu, Mohd Sa'ya berkata industri seramik perlu ada pelapis bagi memastikan seni warisan berkenaan terus terpelihara serta tidak lekang dek zaman.
Akui pemilik Ayas Seramik ini, golongan muda sekarang termasuk dua lagi anaknya, tidak berminat dalam bidang itu.
Muhammad Luqman NulHakim Mohd Sa'ya bersama bapanya Mohd Sa'ya Mat Jahari.--fotoBERNAMA
"Agak sukar untuk mencari pelapis muda. Saya ada panggil beberapa orang anak saudara untuk (datang) belajar buat seramik namun mereka tidak boleh buat kerana tidak gemar. Masa zaman saya belajar dulu pada 1988, ketika itu ada 26 orang belajar dalam bidang ini, tetapi yang bertahan hingga sekarang hanya tiga orang.
"Sebab itu saya katakan pentingnya minat untuk memasuki bidang pembuatan seramik ini, kerana cabaran utama ialah hati dan jiwa kita perlu ada keserasian. Jika setakat hendak cari duit, memang tidak boleh pergi jauh," katanya.
Ditanya tentang ciri-ciri seramik yang menjadi tarikan pembeli, beliau berkata selain kualiti, hiasan muka juga memainkan peranan dalam memikat pelanggan.
"Antara motif yang menjadi pilihan pelanggan ialah jenis kerawang dengan setiap ukiran menggunakan tangan. Setiap produk perlu mengikut cita rasa pelanggan, tidak boleh buat secara semberono dan kita perlu bijak membaca kehendak pelanggan serta produk harus seiring dengan peredaran zaman," katanya.
Sepanjang lebih 30 tahun dalam perusahaan seramik, Ayas Seramik menerima tempahan dari dalam dan luar negara, antaranya Arab Saudi dan Kanada.