FOKUS BERNAMA

Generasi Muda Lestarikan Busana Warisan Sabah

05/11/2024 10:29 AM

Dengan lebih 3.91 juta penduduk terdiri daripada 35 kumpulan etnik dan 217 subetnik, Sabah yang turut dikenali sebagai Negeri di Bawah Bayu sudah tentunya kaya dengan warisan bahasa, budaya, adat tradisi termasuk busana tradisional.

Setiap pakaian juga ada kisahnya, tenunan yang mengungkap sejarah, adat, dan semangat orang Sabah.

Namun, mempertahankan warisan ini bukanlah tugas mudah, terutama dengan perkembangan pesat di zaman moden yang membawa bersama pelbagai pengaruh luar. Cara kita melihat dunia, termasuklah gaya hidup dan cara berpakaian turut terkesan dengan budaya pop dan fesyen moden menjadikan pakaian tradisi semakin terpinggir.

Orang muda kini terutamanya lebih menggemari jenama antarabangsa, ketimbang atau berbanding busana yang diwarisi turun-temurun, menyebabkan warisan busana perlahan-lahan tenggelam, mungkin akhirnya terus pupus ditelan arus global.

Namun di sebalik semua cabaran ini, masih ada sinar harapan dan penulis sendiri berkesempatan mengenali beberapa orang anak muda Sabah yang masih setia dan bersemangat mempertahankan tradisi ini.

Bertemu dengan mereka seperti menyelak lembaran masa silam yang hidup dan bernafas di era moden. Ada kegigihan yang luar biasa dalam usaha mereka, seperti menghidupkan kembali kain-kain tradisi yang hampir dilupakan dan memberi nafas baharu kepada pakaian tradisional.

 

KETEKUNAN ARI

Salah seorang daripada anak muda itu, berketurunan etnik Bajau, Mohammad Adzri Barti Bahang atau lebih dikenali Ari dalam kalangan rakan rapatnya, yang benar-benar berjiwa seni. Di sebuah kedai kecil di tingkat tiga sebuah pusat membeli-belah di Penampang, bunyi mesin jahit di tempat Ari bekerja ibarat lontaran lagu-lagu penuh bersemangat.

Berusia 24 tahun, begitu cekap Ari mengendalikan kain baldu hitam, satu persatu jahitan disulam penuh tumpuan. Bunyinya mungkin seperti mesin dalam filem aksi, tapi di sini, ia lagu perjuangan budaya.

pic-2

Peluh mengalir di dahinya, namun dia tetap tekun. Sekali-sekala, dia mengesat peluh dan meneruskan kerjanya, seolah-olah ini adalah misi penting yang tidak boleh dihentikan.

Hasil kerja tangannya kelihatan begitu halus, memecah stereotaip tentang siapa yang layak mewarisi seni jahitan. Inilah yang menghidupkan kembali busana warisan Sabah, memanjangkan 'jangka hayat'  tradisi yang semakin terpinggir.

Lelaki seperti Ari mungkin tidak memikul senjata namun mereka adalah wira dalam mempertahankan budaya. Setiap jahitan adalah satu langkah untuk memastikan tradisi Sabah tidak hanya kekal di muzium atau buku sejarah semata-mata.

Mereka menghidupkan budaya ini, mewariskan bukan sekadar pakaian tetapi jiwa dan cerita di sebaliknya. Dalam era moden ini, Ari dan generasinya adalah penyambung cerita lama. Mereka tidak perlukan medal, hanya sedikit penghargaan dan rasa bangga dari kita semua.

 

PAKAIAN TRADISI ERA MODEN

Bermula dengan niat untuk membantu ibunya, Siti Runah Alim, 68, yang mengusahakan pakaian tradisi lapan tahun lalu, Ari kini bertekad ingin mengambil jalan berbeza daripada rakan-rakan lain iaitu menjahit pakaian tradisi.

Ari secara jujur mengaku kepada penulis, dalam usianya yang masih muda ini, banyak cabaran yang kadangkala mampu menggoyahkan semangat yang dulu seteguh gunung menjadi senipis kertas yang boleh ditiup angin bila-bila masa sahaja.

pic-3

Baginya, dalam mengusahakan pakaian tradisi, cabaran utama yang paling banyak dihadapi ialah permintaan daripada pelanggan yang mahukan reka bentuk pakaian tradisi yang diubah menjadi lebih moden.

“Untuk tempahan jahit pakaian tradisi, saya mesti beri lebih perhatian kepada reka bentuk yang mereka minta sebab ada sesetengah pakaian tradisi yang sangat menjaga keaslian identiti pakaian mereka,” katanya kepada Bernama dengan menambah, sangat penting untuk dirinya menghormati dan mempelajari pantang larang etnik lain sebagai salah satu cara menghidupkan serta melestarikan pakaian tradisi etnik Sabah.

Justeru itu, dia akan sentiasa berhati-hati dengan permintaan pelanggan khususnya daripada generasi muda yang mungkin masih tidak mengetahui tentang kepentingan mengekalkan keaslian pakaian tradisi.

“Selalunya kalau pakaian tradisi macam baju Kadazan, saya boleh siapkan dalam masa sehari sahaja, kalau yang sulam pula boleh siap dalam masa seminggu bergantung kepada jenis pakaian dan perhiasan yang ada pada pakaian tu,” katanya.

 

SAMBUTAN PELANGGAN

Mengimbau kembali suasana sekitar tahun 2015, panas terik dan hiruk-pikuk tamu mingguan daerah Penampang, yang langsung tidak menguburkan semangatnya untuk membantu keluarga mengusahakan perniagaan pakaian tradisi.

“Dulu saya pernah buat kerja sambilan juga waktu tidak ramai buat tempahan baju, tapi masa buat kerja tu saya sedar yang saya lebih minat menjahit, jadi saya bertekad mahu teruskan legasi keluarga dan tidak mahu sia-siakan pengalaman yang ada,” katanya.

Bagaimanapun, sejak menyewa sebuah kedai pada tahun 2018 di daerah Penampang yang mempunyai bilangan penduduk sekitar 162,174 orang, kedainya tidak pernah putus dikunjungi pelanggan dari dalam mahupun luar negara.

“Kami juga pernah terima tempahan baju tradisi dari orang Sabah yang berhijrah ke China dan Australia,” katanya sambil menunjukkan gambar seorang pelanggan dari Australia yang memakai baju tradisi etnik Kadazan, hasil jahitannya.

Kemahiran dan hasil jahitan yang dihasilkan turut mendapat perhatian daripada orang-orang kenamaan kerana kebolehannya menyiapkan sehelai pakaian tradisi dalam jangka waktu yang singkat.

Oleh itu, Ari berasa sangat bersyukur dengan sokongan dan kepercayaan yang diperolehi serta berharap agar lebih ramai generasi muda sepertinya melibatkan diri dalam bidang ini sebagai salah satu langkah proaktif  menjaga identiti warisan Sabah daripada semakin pupus.

 

IDENTITI GENERASI MUDA

Sementara itu, seorang wartawan dan pengkaji pakaian tradisi Sabah, Ersie Anjumin, 39, berpendapat, kurangnya jati diri dan kefahaman generasi muda terhadap pakaian tradisi menyebabkan golongan ini menghadapi kecelaruan identiti.

Keadaan itu, katanya, sekali gus menyukarkan sebarang usaha untuk mengekal atau melestarikan pakaian tradisi dalam kalangan masyarakat, malah ada segelintir individu yang mudah melenting apabila ditegur.

“Akibatnya, kesilapan tersebut akan terus berulang dan berpotensi untuk mendatangkan kemudaratan lebih-lebih lagi trend sekarang yang suka ubah pakaian tradisi untuk jadi lebih bergaya sehingga boleh menyebabkan kekeliruan,” jelasnya.

Menurut Ersie, masyarakat seharusnya tahu membezakan dan menyedari bahawa pakaian tradisi yang dikontemporarikan bukanlah pakaian tradisi yang sebenar kerana ia tidak mempunyai nilai-nilai identiti bernilai seperti pakaian tradisi.

Namun mengambil inspirasi pakaian tradisi untuk diterjemahkan dalam pakaian kontemporari adalah suatu perkara yang positif selagi dilakukan dengan penuh ilmu dan hormat, malah kedua-duanya boleh bergerak maju jika dilakukan dengan cara yang betul.

Sehubungan itu, dalam memastikan identiti pakaian tradisi etnik Sabah dapat dipelihara dengan baik, orang ramai khususnya generasi muda disaran memahami dengan jelas definisi pakaian tradisi.

“Mulakan dengan etnik masing-masing, korek sedalam mungkin maklumat kerana kadangkala ada kisah yang belum diceritakan, menjadikan orang tidak tahu mengenai pakaian tradisi tersebut,” katanya.

Selain itu, penganjuran program seperti bengkel pembuatan pakaian tradisi, seminar dan pameran haruslah giat dilakukan dan dibuat lebih terbuka agar maklumat serta ilmu tentang pakaian tradisi etnik di Sabah sampai kepada khalayak yang lebih luas.

Langkah berkenaan, tambahnya, sekaligus dapat meningkatkan kesedaran akan kepentingan menjaga warisan budaya melalui platform media sosial dan penyertaan dalam pertandingan berkaitan kebudayaan seperti Unduk Ngadau Kaamatan, Buvazoi Tavantang (Mr Kaamatan) dan Sugandoi.

Konsep kembali kepada asal dalam pertandingan unduk ngadau yang memperkenalkan rupa sebenar pakaian tradisi menjadi semakin terkenal dalam kalangan generasi muda, sekaligus menyebabkan penerimaan mereka terhadap pakaian tradisi menjadi lebih terbuka.

Namun demikian, kata Ersie, peningkatan minat seumpama itu masih terhad kepada minat luaran, dan lebih banyak penekanan perlu diberikan seperti pemahaman yang mendalam mengenai elemen-elemen penting pakaian tradisi yang sering dilupakan.

“Ada segelintir generasi muda yang teruja memakai sesuatu pakaian tradisi namun tidak mengetahui nilai dan cara pemakaian yang betul pakaian tradisi tersebut, justeru perlunya ada inisiatif terbaik dalam mengatasi perkara tersebut” katanya.

 

TONJOLKAN PAKAIAN TRADISI

Selain perlu mengekalkan keaslian budaya setiap etnik di Sabah, Yap Ken Vun, anak muda Cina yang pernah tular mengenakan pakaian tradisi Kadazandusunsewaktu Olimpik 2024 di Paris berpendapat, generasi muda perlu berani menonjolkan pakaian tradisi.

Berusia 35 tahun, pemuda berasal dari Tenom ini juga berpendapat generasi muda perlu terus mempromosi dan memperagakan kebudayaan Sabah agar terus diketahui seluruh masyarakat antarabangsa yang masih tidak mengetahui tentang keunikan budaya etnik di Sabah.

“Bagi saya, kalau bukan generasi muda yang mengangkat nama etnik Sabah di persada antarabangsa, siapa lagi yang akan buat, jadi saya sarankan orang-orang muda Sabah jangan malu untuk pakai baju tradisi masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Yap yang juga bekerja sebagai eksekutif sumber manusia di syarikat perkilangan memberitahu Bernama, dia seorang penyokong aktif bidang sukan sehingga sanggup menghabiskan duit untuk memberi sokongan kepada kontinjen Malaysia di Paris tempoh hari.

“Tujuan utama saya memakai baju tradisi Sabah waktu itu adalah untuk membuat kelainan sebab selalunya orang akan pakai busana Melayu, jadi saya menggunakan peluang ini untuk memperkenalkan pakaian tradisi kita kepada orang ramai,”katanya.

 

 

DIDIKAN ORANG TUA

Manakala bagi wanita beretnik Rungus, Rivayida Mohd Ravai, 47, didikan orang tua merupakan peringkat paling penting dalam memupuk rasa cinta dan bangga generasi muda terhadap pakaian atau budaya tradisi etnik.

“Perlunya ada kesedaran daripada ibu bapa untuk tanam sifat sayangkan identiti dan budaya tradisi warisan nenek moyang kepada anak-anak sebab mereka adalah pelapis kepada warisan etnik kita.

“Sebagai contoh, bagi etnik Rungus yang mahir membuat manik, apa salahnya kalau ilmu kemahiran itu diturunkan kepada generasi muda kita sebab saya yakin ramai anak muda yang mahu belajar tapi kurang diberi galakan atau pendedahan,” katanya yang juga seorang penjawat awam.

Oleh yang demikian, dia menyambut baik langkah yang diambil untuk mempromosikan kepelbagaian identiti dan budaya etnik Sabah seperti kraftangan, pakaian dan tarian kepada masyarakat dalam dan luar negara.

Masyarakat juga, katanya, perlu bersatu hati dalam memelihara warisan etnik nenek moyang kerana ia merupakan legasi berharga yang dimiliki oleh sesebuah ketamadunan manusia lebih-lebih lagi di negeri ini yang kaya dengan kepelbagaian etnik.

Tatkala masyarakat sibuk mengejar kemajuan dunia, tidak ramai yang menyedari sehelai pakaian atau busana tradisi etnik menjadi saksi kepada sebuah sejarah yang menyimpan pelbagai kisah mendalam.

Setiap kali seorang anak muda memilih mengenakan pakaian tradisi dan mengangkat identiti budaya, setiap kali itu jugalah tali sejarah dapat terus disambungkan sehingga ke generasi seterusnya.

Justeru, busana tradisi adalah salah satu bukti yang seharusnya menyedarkan kita mengenai sebuah warisan agung yang berakar kepada identiti yang mesti dihargai dan sentiasa dijaga agar tidak berakhir, ibarat layang-layang yang terputus talinya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan