S
elama berminggu-minggu mereka meredah dan “berkampung” jauh di dalam hutan di Sabah, bukan untuk memburu hidupan liar tetapi melaksanakan pemetaan serta mengumpul jutaan anak benih pokok hutan.
Anak benih itu kemudian ditunaskan di nurseri khas sebelum ditanam semula, menjadi asas projek pemulihan hutan di Malaysia yang boleh dikatakan antara paling berjaya di dunia - Projek Hutan Hujan Tropika Innoprise-IKEA (INIKEA) di Luason, Tawau, kira-kira 358 kilometer dari Kota Kinabalu, Sabah.
Kejayaan projek ini banyak bergantung pada wira-wira tidak didendang, antaranya penduduk tempatan termasuk golongan belia, yang membantu pakar dari segi kerja di lapangan dan mengawasi usaha-usaha pemulihan.
Projek ini dilancarkan pada Jun 1998 susulan pemeteraian memorandum persefahaman antara Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), iaitu bahagian pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah, dan Sow-a-Seed Foundation, organisasi milik IKEA yang merupakan perniagaan runcit perabot dari Sweden.
Projek bersejarah ini meliputi pemuliharaan hutan hujan seluas 14,009 hektar di Hutan Simpan Kalabakan yang merosot akibat kemarau teruk, disusuli kebakaran hutan dalam tempoh 1982 hingga 1983, selain kegiatan pembalakan.
Merupakan inisiatif pemulihan hutan Malaysia yang terbesar dan paling lama berlangsung, projek INIKEA melibatkan penanaman semula kira-kira lima juta anak pokok daripada 92 spesies pokok asal.
Pada Mac tahun ini, Bernama melaporkan pemula projek selama lebih 20 tahun itu menyasarkan usaha lebih besar - mengubah hutan hujan yang dipulihkan tersebut menjadi “Makmal Pemuliharaan Hutan Hujan Hidup” yang akan berfungsi sebagai pusat kecemerlangan ilmu pemulihan hutan hujan tropika.
PROJEK
Baru-baru ini, tiga kakitangan Kumpulan Yayasan Sabah, iaitu Vita Juin@Victor, Nizam Jaafar dan Salimang Jan Yang - antara mereka yang memainkan peranan penting dalam kejayaan inisiatif INIKEA - berkongsi pengalaman mereka dengan Bernama.
Vita, seorang renjer hutan, dibawa menyertai projek INIKEA pada 1998 sebagai penyelia nurseri; dia juga terlibat secara langsung dalam pengumpulan anak benih pokok hutan, khususnya spesies daripada keluarga Dipterocarpaceae, untuk ditunaskan dan dicambahkan.
Salimang, wanita pertama yang bekerja di tapak semaian INIKEA, juga mengumpul anak benih pokok hutan bersama-sama dengan Vita, sementara Nizam ditugaskan membuat survei dan pemetaan kawasan rosot yang akan dipulihkan.

Nizam (kiri) dan rakan sekerjanya, Jecklish Anil, dikelilingi pokok-pokok tinggi di Projek pemulihan INIKEA di Luasong, Tawau, Sabah.
Nizam yang berasal dari Tuaran, hanya berusia 20 tahun ketika menyertai INIKEA pada Jun 1998, dan tugas pertamanya ialah mengetuai pasukan lapan orang staf Yayasan Sabah melaksanakan survei dan pemetaan di kawasan yang dicadangkan untuk dipulihkan dengan hanya berbekalkan peta serta kompas.
“Kami memulakan kerja-kerja survei dan pemetaan di hulu Sungai Kalabakan, di mana kami habiskan tiga bulan berikutnya untuk menyelesaikan tugas itu.
“Kami dapati kebanyakan kawasan hutan yang terbakar itu sudah didominasi pokok mahang dan pokok renek, sekali gus menyukarkan usaha kami meneroka kawasan berkenaan.
“Kami juga terkejut apabila terserempak dengan sekumpulan individu yang masih menjalankan kegiatan pembalakan. Mereka turut terperanjat apabila diberitahu kami sedang menjalankan survei sebagai persediaan memulihkan hutan,” kata Nizam kepada Bernama.
Katanya tugas mereka mengambil masa kerana keadaan muka bumi yang berbatu-batan serta berbukit-bukau, ditambah dengan cuaca tidak menentu.
Nizam yang kini berusia 47 tahun dan bertugas sebagai pengawal sempadan Yayasan Sabah di kawasan INIKEA, masih ingat dengan jelas beberapa situasi berbahaya yang dihadapi mereka di peringkat awal projek.
“Pernah sekali kami hampir-hampir dihanyutkan kepala air. Ada juga insiden seorang daripada kami dipatuk ular, mujurlah ada seorang ahli kumpulan yang tahu cara merawat dengan menggunakan kulit batang pokok binuang. Kami juga pernah berdepan kes ahli kumpulan terkena malaria,” katanya.
Mengimbau satu kejadian pelik dan menyeramkan yang ditempuhi mereka, dia berkata: “Pasukan kami dipecahkan kepada dua kumpulan dan akan berkumpul semula pada waktu ditetapkan.
“Akan tetapi, walaupun kami dapat mendengar suara masing-masing, kumpulan saya tidak dapat berjumpa dengan kumpulan yang satu lagi, walhal hanya beberapa meter memisahkan kami,” katanya.
Boleh dikatakan dia “membesar” bersama-sama dengan projek INIKEA - yang mengambil masa lebih dua dekad untuk selesai - Nizam berharap kejayaan inisiatif itu akan menerima penghargaan dunia.
MEMULIHKAN HUTAN
Sementara itu, Vita dan Salimang menghabiskan tahun-tahun terawal projek dengan mengutip anak benih pokok hutan, khususnya pokok balak daripada keluarga Dipterocarpaceae yang merupakan komponen penting dalam ekosistem hutan hujan Borneo.
Vita berkata benih pokok bukan hanya diambil di Luasong tetapi juga dari hutan di daerah Sandakan, Lahad Datu dan Keningau.

Salimang Jan Yang, wanita pertama yang bekerja di tapak semaian INIKEA di Luasong.
Lelaki itu menyertai INIKEA pada penghujung 1998 sebagai renjer hutan kanan, bertanggungjawab menyelia nurseri Luasong di mana benih spesies pokok hutan liar dicambahkan.
“Pada peringkat awal, kami turut mendapatkan benih dan anak pokok daripada Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Innoprise-FACE Foundation (INFAPRO) di Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum,” kata Vita yang berasal dari Kuala Penyu.
INFAPRO, satu kerjasama antara Innoprise Corporation dan FACE Foundation dari Belanda, dimulakan pada 1992 bagi menanam pokok dipterocarp asal serta spesies pokok buah-buahan hutan yang menyerap karbon dioksida daripada atmosfera.
LUASONG
Vita, 57, kini bertugas sebagai pegawai penjaga di INIKEA, berkata 70 peratus daripada pokok yang ditanam semula di kawasan hutan dipulihkan di Luasong itu ialah spesies dipterocarp, 24 peratus spesies lain dan lima peratus pokok buah-buahan hutan.
“Mengutip anak benih pokok hutan sangat berbeza dengan mengutip biji benih. Kami belajar mencabut anak pokok dengan hati-hati - sebaik-baiknya pada waktu pagi dan semasa musim hujan ketika tanah lembut - bagi mengelakkan kerosakan pada akar. Anak pokok ini mesti dihantar ke tapak semaian sebelum 11 pagi,” katanya.

Vita Juin menghabiskan tahun-tahun awal di INIKEA mengumpul pohon-pohon liar.
Dia juga mengimbas satu pengalaman yang agak menakutkan: “Semasa mencari anak pokok hutan, kami terserempak dengan pemburu yang secara halus memberi amaran kepada kami agar tidak ‘mengganggu’ kawasan pemburuan mereka.”
Salimang yang menyertai INIKEA pada Jun 1998, berkata dia menyelia tumbesaran anak pokok di tapak semaian.
“Pada masa sama, saya juga terlibat mengumpul anak benih pokok liar di hutan bersama-sama dengan Vita Juin dan pekerja lain.
“Semasa musim buah, kami dapat mengutip berjuta-juta benih pokok hutan, sesetengahnya sangat kecil seperti spesies seraya. Benih-benih ini akan ditanam di nurseri.
“Mengutip anak benih pokok hutan ini mencabar… malah, kami terpaksa ‘berebut’ dengan babi hutan yang makan anak benih terbabit,” katanya.
Kini berusia 48 tahun dan telah bekerja di nurseri INIKEA hampir tiga dekad, Salimang anak jati Luasong, boleh mengenal pasti sekurang-kurangnya 70 spesies pokok.
“Ramai pelajar universiti datang ke nurseri untuk buat penyelidikan. Mereka selalu bertanya soalan yang adakala sukar untuk saya jawab. Namun begitu, saya sangat gembira dan bangga dapat memainkan peranan penting dalam projek INIKEA ini.
“Saya juga menjadi emosional apabila melihat pokok-pokok yang asalnya anak benih di nurseri kami, kini menjulang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Vita berkata impak projek INIKEA melangkaui pemulihan ekologi.
“Projek ini bukan sahaja satu kejayaan pemulihan hutan tapi turut menyediakan pekerjaan kepada lebih 700 penduduk tempatan dari Tawau, Sandakan, Keningau, Kuala Penyu serta Luasong,” katanya.
Dia berkata ramai penuntut universiti - termasuk dari luar negara, khususnya Sweden - datang dan menjalankan kajian di tapak projek INIKEA dengan sebahagiannya berjaya menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah, sarjana dan juga ijazah pertama, berdasarkan penemuan mereka.
Susulan kejayaan pemulihannya, kawasan hutan itu kini menjadi sebahagian daripada Hutan Simpan Kelas 1 Sungai Tiagu.
Projek INIKEA yang bakal memasuki bab baharu, menjadi bukti apa yang dapat dicapai menerusi kerja berpasukan, kesungguhan dan komitneb untuk melindungi serta memulihkan alam sekitar.
Yang diharapkan sekarang ialah “makmal hidup” ini akan memberi inspirasi kepada generasi akan datang selain menjadi model global bagi inisiatif pemulihan hutan.